50% Ahli KWSP Habis Simpanan Dalam 5 Tahun?

Wang Caruman

Bimbang, risau dan takut dengan keadaan ini?

Ya, inilah realitinya persediaan untuk persaraan agak menyedihkan dengan perbelanjaan hidup yang meningkat dan ditambah keadaan ekonomi yang terjejas membuatkan ramai orang hilang pekerjaan dan terkesan.

Mengikut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Alizakri Alias, 71% daripada 7.63 juta ahli aktif didapati mempunyai simpanan kurang RM50,000 yang bermakna mereka akan mempunyai hanya RM208 sebulan saja untuk dibelanjakan selama 20 tahun selepas bersara.

Katanya, membimbangkan lagi hanya 1 daripada 3 pencarum mampu mencapai simpanan asas berjumlah RM240,000 ketika bersara nanti.

“Daripada itu, selepas mereka bersara dan mengeluarkan duit daripada KWSP, 1 daripada 2 ahli KWSP akan menghauskan simpanan mereka dalam masa 5 tahun,” katanya kepada Astro Awani hujung bulan lalu.

Simpanan Masa Persaraan

Justeru itu, simpanan yang mencukupi adalah sangat penting supaya anda boleh bersara tanpa sebarang kebimbangan. Bahkan, majoriti individu bergantung kepada perancangan persaraan secara pasif, iaitu melalui caruman dibuat pada KWSP dan tidak mempunyai sumber pelan kewangan yang lain.

Kebiasaannya, seseorang memerlukan sekurang-kurangnya dua pertiga daripada jumlah gaji terakhirnya, untuk mengekalkan gaya hidup yang diingini selepas persaraan seperti kajian yang dijlankan oleh Private Pension Administrator (PPA).

Ini bermakna, jika gaji anda berjumlah RM5000 sebulan pada tahun terakhir bekerja, anda perlu sekurang-kurangnya RM3,333 sebulan selepas bersara untuk menikmati kualiti gaya hidup yang sama seperti sebelum bersara.

Perkara ini boleh diatasi jika anda mempunyai membuat perancangan dan pengurusan kewangan bagi persaraan nanti. Beberapa perkara boleh dilakukan seperti membuat simpanan sendiri, melabur dalam dana unit amanah ataupun mencari pendapatan sampingan dengan membuat bisnes secara sambilan.

Tapi, jika anda mahu membuat bisnes seboleh-bolehnya buat dengan ada ilmu, strategi dan sistem yang berkesan agar lebih cepat mencapai matlamat yang dimahukan. Tak tahu, belajar. Nak dapatkan nasihat jumpa mereka yang pakar. Semak dulu dan buat kira-kira sikit tentang kewangan anda. Adakah mencukupi bila sampai tempoh persaraan kelak?

Belanjawan 2021

Semalam, Kerajaan mengumumkan untuk pengeluaran simpanan Akaun 1 KWSP sebanyak RM500 sebulan untuk tempoh 12 bulan. Ahli yang layak boleh memohon mulai Januari 2021 dengan jumlah pengeluaran sehingga RM6,000. Selain itu,  Kerajaan juga akan membenarkan pengeluaran daripada Akaun 2 KWSP untuk membeli produk perlindungan insurans dan takaful hayat dan penyakit kritikal bagi diri sendiri dan keluarga. Malah Kerajaan, mengumumkan penurunan kadar caruman minimum syer pekerja kepada 9%, mulai Januari 2021 hingga Disember 2021, yang mengambil kira tekanan ekonomi dan juga pengurangan pendapatan ahli.

Mengulasnya, Alizakri Alias menyatakan kemudahan pengeluaran tambahan itu adalah sangat khusus dan disasarkan kepada ahli yang benar-benar memerlukan bantuan wang tunai. Ia untuk jangka pendek dan diberikan sekali seumur hidup untuk membantu meringankan beban kewangan golongan yang paling rentan dan tidak dilindungi, serta pada masa yang sama, mengekalkan mandat KWSP untuk melindungi simpanan persaraan ahli. Permohonan penambahan kemudahan pengeluaran bersasar itu akan bermula pada Januari 2021 manakala perincian lebih lanjut mengenainya akan diumumkan selewat-lewatnya pada 11 November 2020.

“Kebenaran untuk ahli mengakses simpanan persaraan KWSP mereka selain daripada yang diperuntukkan di bawah Akta KWSP 1991 adalah sesuatu yang belum pernah berlaku atau dilaksanakan sebelum ini. Simpanan dalam Akaun 1 (70% dari simpanan) telah ditetapkan untuk persaraan ahli manakala simpanan dalam Akaun 2 (30% dari simpanan) pula diperuntukkan bagi pengeluaran tertentu sahaja.

“Oleh yang demikian, keputusan ini bukanlah sesuatu yang mudah dan boleh dibuat dengan tergesa-gesa. Namun, kami telah menemui jalan tengah untuk membolehkan ahli mengakses simpanan mereka tanpa menjejaskan persaraan mereka pada masa hadapan,” jelasnya.

Bagi mereka yang memerlukan duit daripada KWSP itu nanti, gunakan dengan betul dan sebaik-baiknya bagi benda yang perlu saja bukan kehendak dimahukan. Keputusan dan tindakan anda akan menentukan di mana akan berada nanti.

Artikel terbaru

Leave a Reply