Networking sangat penting dalam kehidupan seharian, sebab itu perlu elakkan dari membuat kesilapan yang menjejaskan proses tersebut.
Ia bukan hanya penting untuk mereka yang sedang belajar, mencari kerja atau pekerja baru saja, sebagai pemilik perniagaan, membina networking yang kukuh boleh membawa banyak manfaat untuk perniagaan anda.
Namun, seperti mana-mana perniagaan lain, terdapat cara yang betul dan salah untuk melakukannya.
Apa itu ‘networking’
Menurut portal Investopedia, networking adalah pertukaran maklumat dan idea di kalangan orang yang mempunyai minat atau kehendak yang khusus dan boleh menghasilkan manfaat yang besar antara dua pihak atau lebih dari itu.
Kebanyakan orang lebih suka menjalinkan networking dengan orang lain dalam industri mereka sendiri. Walau bagaimanapun, adalah wajar untuk pemilik perniagaan bertemu orang dalam pelbagai bidang.
Dengan cara ini, anda boleh mempelajari tentang model perniagaan baharu, teknologi, strategi pemasaran dan sebagainya.
Jom kita lihat beberapa kesilapan biasa yang boleh menghalang kejayaan anda dalam membina networking secara profesional.
5 kesilapan usahawan dalam networking
1. Tak ada ‘game plan’
Sesetengah usahawan rasa yakin mereka boleh masuk dan selesa dalam apa sahaja majlis yang melibatkan networking.
Mereka datang tanpa sebarang objektif atau persiapan, tidak buat research terlebih dahulu dan tidak tahu siapa yang akan hadir. Ini bukanlah cara yang paling berkesan untuk membina networking yang baru.
Sebelum menghadiri apa sahaja majlis, cuba dapatkan senarai kehadiran jika boleh. Selidik profil LinkedIn mereka, laman web syarikat dan apa yang mereka telah hasilkan.
Dengan cara ini, anda boleh datang dengan beberapa topik perbualan yang relevan.
2. Buat segala-galanya tentang diri sendiri
Anda tidak dijemput ke sesebuah majlis hanya untuk menghabiskan masa dengan memonopoli perbualan atau bercakap panjang lebar tentang kehidupan peribadi atau profesional anda.
Tujuan utama networking yang berkesan adalah untuk menggunakan peluang itu mengenali orang lain dan apa yang mendorong mereka dalam perniagaan mereka.
Tanyakan soalan dan tunjukkan minat terhadap apa yang orang lain katakan. Ini bukan sahaja akan membuat anda kelihatan lebih sopan, tetapi juga membantu anda memahami bagaimana anda boleh memberi nilai kepada mereka.
3. Berkelakuan tidak profesional
Memang seronok untuk berseronok di dalam apa jua majlis, tetapi sentiasa berkelakuan profesional. Ini termasuk berkata “tolong” dan “terima kasih”, menghormati ruang peribadi orang lain dan bersikap sopan.
Nikmati proses networking anda tetapi pastikan sentiasa menghormati dan bersikap baik kepada mereka di sekeliling anda. Profesionalisme anda akan meninggalkan kesan yang baik dan bertahan lama.
4. Tak mahu bantu orang lain
Networking yang berjaya tidak bermakna anda hanya fokus kepada diri sendiri dan keperluan anda. Datanglah ke majlis dengan tujuan untuk membantu orang lain dengan kebijaksanaan dan kepakaran anda.
Bila anda membina reputasi sebagai seseorang yang suka membantu dalam networking anda, orang akan lebih cenderung untuk membantu anda sebagai balasan.
5. Gagal untuk terus berhubung
Ini mungkin kesilapan paling penting dalam peluang networking. Katakan anda bertemu beberapa orang yang hebat dalam dunia perniagaan, jangan lupa bertukar maklumat hubungan, bersetuju untuk kekal berhubung dan sebagainya.
Jika anda tidak lagi berhubung, anda mungkin kehilangan sumber penting untuk keperluan dan peluang profesional masa depan.
Dalam masa satu atau dua hari, hantar e-mel atau mesej yang diperibadikan, mengucapkan terima kasih atas masa mereka, merumuskan perbincangan sebelumnya serta mencadangkan langkah seterusnya.
Apabila anda menghubungi seseorang yang anda temui dalam konteks networking, ini menunjukkan bahawa anda berminat dengan mereka, boleh dipercayai dan proaktif.
Jangan ambil mudah semua perkara
Ada usahawan yang merasakan dirinya sudah terlalu hebat di gelanggang perniagaan, mereka tak perlukan sebarang bantuan luar untuk berjaya. Ada pula yang sebaliknya.
Walau bagaimanapun, networking sangat penting dalam apa jua jenis perniagaan yang ada di dunia ini. Nak dapatkan pelanggan juga perlukan networking, inikan pula nak tingkatkan jualan bisnes.
Jangan ambil mudah semua perkara kerana anda berada di atas atau di bawah, sedikit perubahan boleh ubah pelbagai perkara.
Dengan mengelakkan kesilapan-kesilapan ini, anda boleh memaksimumkan keberkesanan usaha networking anda.