Nak bina bisnes berjaya? Tak sampai dua bulan, kita nak menutup tahun ini. Cabaran sentiasa ada dan tahun depan dijangka penuh cabaran hingga ada katakan krisis 2023 adalah yang paling teruk dalam tempoh 100 tahun.
Sebab itu, saya dan RichWorks persiapkan bangsa usahawan dalam 10X Bina Bisnes Berjaya (10XBBB) baru-baru ini supaya mereka lebih bersedia.
Program tiga hari itu sedikit sebanyak akan berikan usahawan-usahawan kesedaran, panduan dan strategi yang boleh digunakan untuk mereka lebih bersedia dan lakukan tindakan segera, insya-Allah.
Buat pengetahuan anda, ketika ini saya sedang menjalankan sesi 1 on 1 dengan usahawan Titanium di bawah bimbingan kami.
Alhamdulillah, ramai usahawan ini tak fokus kepada masalah, sebaliknya fokus kepada penyelesaian.
Apa saya nak tekankan di sini ialah jangan bebankan diri anda dengan masalah berlebihan.
Usahawan kena fokus kepada apa yang nak dicapai dan belajar daripada kesilapan atau kegagalan orang lain.
Saya juga dapati 80 peratus usahawan kami menyaksikan peningkatan momentum jualan hingga ada yang pecah rekod, manakala 20 peratus lagi sedang melakukan perubahan bagi mempersiapkan bisnes masing-masing.
Kali ini, saya nak kongsikan dengan anda lima faktor luaran yang tidak boleh kita kawal, namun boleh memberikan impak kepada usahawan.
Bangsa usahawan perlu sedar dengan lima faktor luaran yang sedang dan akan berlaku di masa akan datang.
5 faktor luaran perlu anda tahu bagi bina bisnes
1. Kadar faedah yang dijangka semakin meningkat
Seperti mana yang dijangka sebelum ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) telah menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus pada Khamis (27hb Oktober 2022).
Usahawan pasti terkesan dari segi pinjaman mereka, namun langkah BNM ini suatu tindakan penting untuk mengimbangi kadar inflasi dalam negara.
Sehubungan itu, usahawan yang bersedia perlu melihat kembali kos terlibat dan melakukan perubahan yang diperlukan.
Usahawan perlu mempunyai pengurusan kewangan, terutama aliran tunai yang baik bagi memastikan kelancaran operasi bisnes.
2. Bekalan rantaian bekalan tak mencukupi
Ia melibatkan barang-barang import terutama dari China, yang mana mereka belum rancang buka ekonomi sepenuhnya lagi. Dijangka ekonomi China akan dibuka selepas Februari 2023.
3. Kenaikan harga minyak dan sumber tenaga
Dijangka ia akan berterusan kerana berkaitan dengan peperangan dan secara tak langsung akan berikan impak kepada usahawan.
4. Isu hartanah
Harga rumah dijangka meningkat dan ada yang mungkin jatuh, di samping pinjaman perumahan juga dikhuatiri banyak tak dibayar.
5. Peperangan
Bila berlakunya peperangan seperti di Ukraine, ia akan mengganggu eksport bahan mentah dari negara terlibat.