5 Cara Usahawan Tunjukkan Penghargaan Pada Staf

Apabila seorang usahawan ingin mengembangkan perniagaan, sudah pasti perlu menggajikan pekerja. Usahawan tak boleh berjaya seorang diri, tetapi memerlukan team yang bergerak bersama untuk mencapai matlamat yang sama. 

Setiap seorang staf yang digajikan mempunyai peranan mereka yang tersendiri, jika tidak masakan kita membuat keputusan untuk menggajikan mereka. 

Lumrah pekerja datang dan pergi, ada yang bagus ada yang tidak. Yang bagus kita raikan yang tidak kita usahakan untuk dia menjadi bagus agar kejayaan mereka juga dapat diraikan.

Tak salah untuk meraikan staf. Ini akan membuatkan mereka rasa dihargai setelah berhempas-pulas untuk syarikat dan mereka akan termotivasi untuk lebih produktif. 

Menghargai pekerja juga boleh mengurangkan risiko pekerja berhenti kerja. Kenapa nak tinggalkan syarikat yang menghargai mereka sedangkan susah untuk dapat budaya kerja begitu di luar sana.

Seorang pemimpin yang hebat selalu dihargai kerana mereka sering menghargai staf. Give and take. Anda nak dapat yang terbaik, anda perlu menjadi yang terbaik terlebih dahulu.

Luangkan sedikit masa untuk belajar tentang cara menunjukkan penghargaan kepada pekerja dengan berkesan untuk manfaat bersama di tempat kerja. Berikut ialah 5 idea untuk menunjukkan penghargaan kepada pekerja.

1. Gunakan media sosial

Kita hidup di dalam era dunia digital di mana media sosial menjadi salah-satu platform untuk membuat hebahan tentang perkembangan semasa diri sendiri mahupun keadaan sekeliling. 

Tak ada salahnya jika anda mengumumkan pencapaian pekerja anda di media sosial. Mereka akan nampak penghargaan yang anda berikan kepada mereka.

2. Sambutan hari lahir

Tak perlu bawa ke restoran mewah untuk meraikan, ucapan dan nyanyian lagu selamat hari jadi sudah cukup membuatkan pekerja anda terasa dihargai. 

Nak beri lebih lagi, anda boleh fikirkan untuk beri hadiah yang mereka suka. Atau mungkin berikan mereka cuti tambahan pada hari ulang tahun kelahiran mereka.

3. Beri peluang hadiri kursus dan latihan

Pekerja yang mampu memberikan hasil kerja yang baik adalah pekerja harapan dan penting berada dalam syarikat untuk capai matlamat bersama. 

Apa salahnya hantar mereka untuk menghadiri kursus dan latihan untuk melatih diri menjadi lebih baik. Kalau mendatangkan kebaikan, tak salah melaburkan sedikit wang untuk perkembangan profesional mereka.

4. Hadiah tanda penghargaan

Kalau boleh beri hari ini, kenapa nak tunggu hari jadi? Hadiah boleh diberi pada bila-bila masa untuk menunjukkan penghargaan majikan terhadap pencapaian pekerja. Mereka pasti akan gembira dan bersemangat untuk berusaha buat lebih lagi.

5. Ambil berat

Menunjukkan penghargaan kepada pekerja adalah tentang membina rasa berterima kasih dan mencipta hubungan baik antara majikan dan pekerja. Ikhlaskan diri untuk mengambil berat tentang pekerja anda dan perkara yang mereka mahukan. 

Tak semestinya semua anda kena tunaikan, perlu lihat juga kemampuan dan tahap kewangan syarikat. Aturkan pertemuan dengan pekerja untuk mendengar keperluan dan luahan mereka.

Nak tunjukkan penghargaan kepada staf tak susah. Yang penting anda ada usaha itu. Praktikkan di tempat kerja, anda akan dapat hasilkan hubungan antara majikan dan pekerja yang lebih baik.

Artikel terbaru

2 Comments

Leave a Reply