5 Cara Mudah Bagi Dapatkan Keberkatan Hidup

5 Cara Mudah Bagi Dapatkan Keberkatan Hidup

Setiap insan pastinya mahukan hidup yang tenang, bahagia dan berjaya di dunia ini.

Dalam mengejar nikmat dunia, mungkin kadang kala kita lalai hingga terlupa mengejar nikmat akhirat yang lebih besar di sana nanti.

Namun begitu, ada juga di kalangan kita yang hidupnya terasa kosong walaupun sudah mengecap pelbagai kejayaan, kekayaan dan kemahsyuran dalam hidup.

Soal ini mungkin berkait rapat dengan amalan kehidupan kita hingga kehilangan keberkatan dalam hidup.

Bagi mendapatkan keberkatan hidup, ia sebenarnya bermula dengan rutin kita di pagi hari lagi.

Menurut sabda Rasulullah SAW, “Syaitan akan mengikat tengkuk salah seorang daripada kalian saat tidur dengan tiga ikatan, dia akan membisikkan kepadamu bahawa malam masih panjang, jika dia terbangun lalu berzikir kepada ALLAH, terlepaslah satu ikatan, jika dia berwuduk, maka lepaslah dua ikatan dan jika dia melanjutkan dengan solat, maka lepaslah seluruh ikatan itu sehingga pada pagi harinya dia mulai dengan penuh semangat dan jiwanya pun sihat, namun jika tidak, maka dia akan memasuki waktu pagi dengan jiwa yang keji dan penuh kemalasan.” (Riwayat Bukhari)

Buat mereka yang tercari-cari cara untuk mendapatkan keberkatan, ini antara amalan yang boleh dilakukan dalam kehidupan seharian anda.

1. Zikir

Menurut perkongsian di Sinar Harian, amalan berzikir sebenarnya akan memberikan semangat dan banyak urusan anda akan dipermudahkan Allah. Ia boleh dibaca sebaik sahaja masuk waktu Subuh.

2. Hafal Al-Quran

Lazimnya, orang yang menghafal al-Quran lazimnya akan menggunakan waktu pagi kerana pada waktu itulah otak akan mudah menerimanya. Jika dilakukan dengan penuh fokus dan penghayatan,  kita akan mendapat kebaikannya bukan hanya sepanjang hari, bahkan sepanjang hidup. InsyaAllah.

3. Ikhlas dan bersungguh

Jika melakukan sesuatu perkara, lakukanlah dengan penuh ikhlas dan bersungguh-sungguh. Kita mungkin tidak nampak kesannya sekarang tapi percayalah, Allah akan memberikan ganjarannya dalam keadaan yang tidak disangka-sangka.

4. Mandi sebelum Subuh

Tahukah anda, mandi sebelum Subuh memberi manfaat tersendiri pada tubuh badan? Cuba bangun di awal hari dan segarkanlah diri anda dengan mandian pagi agar hilang rasa lesu dan mengantuk. Kesegarannya hanya anda sahaja yang akan dapat rasai.

5. Solat Dhuha

Solat Dhuha, walaupun hukumnya hanya sunat muakkad atau sunat yang dituntut, namun ia menjadi amalan yang sering dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Oleh itu, marilah kita amalkan dan contohi apa yang dilakukan oleh baginda hingga menjadi rutin dalam hidup kita.

Semoga seumur hidup kita memperoleh keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT, di dunia dan akhirat.

Artikel terbaru

2 Comments

Leave a Reply