5 Cara Efektif Tarik Pelanggan Kembali Membeli

kembali

Nak tarik pelanggan kembali membeli, macam tonton drama Korea? Saya pernah menonton sebuah drama dari Korea,  jalan ceritanya sangat menarik. Saya tahu tentang drama ini melalui review di media sosial.

Tapi masalahnya, saya tak suka dengan lakonan dari salah seorang pelakonnya yang saya rasa keterlaluan dan ada riak muka yang tidak perlu.

‘Mindset’ saya terus tertanam bahawa semua lakonannya akan begitu. Jadi, saya buat keputusan untuk tak nak lagi menonton drama lakonannya.

Itu dulu, semalam saya ternampak lagi sebuah drama Korea lakonan beliau yang saya rasakan sangat menarik. Riak mukanya tak lagi sama seperti sebelum ini dan saya telah menonton sebanyak 2 episod.

Mungkin sebelum ni dia hanya menjayakan watak dengan lakonan yang keterlaluan itu. Jika saya tak nampak klip drama yang terbaru ini, sudah tentu saya tak lagi menonton drama lakonan beliau.

Sama juga macam berniaga, jika pelanggan membeli dan tak datang kembali, sudah tentu ada sesuatu yang membuatkan mereka tak mahu lagi membeli dengan anda.

Sama ada mereka lupa, tak suka atau ada pilihan yang lebih baik. Jika anda nak mereka kembali membeli dengan anda, lakukan sesuatu sekarang. Jangan tunggu jenama anda dah tak releven baru nak buat tindakan.

Untuk memastikan pelanggan datang semula dan membuat pesanan berulang kali, terdapat 5 cara berkesan yang anda boleh gunakan.

Cara tarik pelanggan kembali semula

1. Beri layanan terbaik

Memberikan layanan yang terbaik kepada pelanggan adalah kunci utama untuk pastikan mereka kembali membeli dengan anda. Siapa je yang tak mahu dilayan dengan baik kan? Kita beli goreng pisang pun nak dilayan dengan baik.

Teknik ini juga digunakan oleh jenama-jenama  mewah untuk buat pelanggan setia dan kembali membeli dengan mereka.

Bukan anda saja yang perlu buat tindakan ini, pastikan staf anda juga mesra dengan pelanggan, membantu mereka dengan baik dan mudah untuk dihubungi. 

Janganlah asyik duduk dalam stor dengan alasan nak susun stok, pelanggan di dalam kedai dibiarkan melihat-lihat dan keluar dari kedai. Kan dah rugi!

Segera tangani sebarang isu atau aduan pelanggan dengan profesional dan efisien. Pengalaman pelanggan yang positif akan mendorong mereka untuk membeli lagi dan lagi.

2. Ganjaran kepada pelanggan yang setia

Nak buat orang setia dengan kita bukan senang, kenalah ambil hati mereka dulu sebelum mereka tunjukkan kesetiaan. Anda boleh menawarkan ganjaran kepada pelanggan yang setia. 

Contohnya berikan diskaun, hadiah atau mata ganjaran setiap kali mereka membuat pembelian. Program ini bukan sahaja meningkatkan jumlah pembelian berulang, tetapi juga membuat pelanggan merasa dihargai.

Kadang-kadang bukan  ganjaran itu yang mereka betul-betul nak, tapi mereka nak rasa dihargai dan rasa berbaloi dengan layanan yang diberikan. Lebih-lebih lagi bila dah membeli dengan jumlah yang besar.

3. Pemasaran e-mel yang berterusan

Jangan lupa, pelanggan pun manusia biasa yang tak lari dari sifat lupa. Mereka mungkin terlupa pernah membeli dengan anda. Atau mereka terlupa betapa bagusnya produk yang jenama anda keluarkan. 

Hantar e-mel yang relevan dan menarik kepada pelanggan berdasarkan pembelian mereka yang lepas. 

Berikan tawaran eksklusif, cadangan produk yang mungkin mereka minati atau maklumat tentang promosi terkini. Pastikan e-mel anda tidak kelihatan seperti spam dan tawarkan nilai kepada pelanggan.

Tak tahu nak e-mel apa? Berikan mereka tips atau tutorial menggunakan produk anda. Ingat ye, kalau pelanggan lupa, boleh ingatkkan. Tapi kalau mereka buat-buat lupa, itu masalah besar untuk syarikat anda.

4. Bina database

Betul anda perlu hantar emel, namun siapakah target pelanggan anda? Adakah anda kena hantar kepada semua orang? 

Tak, database anda perlu berkualiti dan anda jelas kepada siapa anda perlu hantarkan e-mel. Barulah pelanggan yang datang juga berkualiti. 

5. Nilai tambahan

Selain produk yang berkualiti, berikan nilai tambahan seperti panduan penggunaan produk, tutorial, atau perkhidmatan selepas jualan yang baik.

Dengan memberikan lebih dari sekadar produk, anda akan mencipta hubungan yang lebih kukuh dengan pelanggan dan menggalakkan mereka untuk kembali membeli.

Kunci tarik pelanggan

Menarik pelanggan kembali membeli adalah kunci utama untuk memastikan bisnes yang dijalankan kekal releven dan diterima ramai.

Dengan memahami dan melaksanakan strategi-strategi ini, anda boleh memastikan pelanggan merasa dihargai dan terdorong untuk kembali membeli daripada anda. 

Kejayaan dalam menarik pelanggan kembali memerlukan usaha konsisten dan komitmen untuk memberikan yang terbaik. Pendekatan yang tepat bukan sahaja menarik kembali pelanggan lama tetapi juga membuka peluang kepada lebih banyak kejayaan dalam perniagaan anda.

Artikel terbaru

Leave a Reply