Meraih pelanggan mungkin tidaklah sesukar mendapatkan kesetiaan mereka.
Syarikat-syarikat yang benar-benar mengutamakan pelanggan tahu bahawa adalah penting untuk membina hubungan yang saling menguntungkan di mana terdapat manfaat untuk kedua-dua pihak daripada pertukaran maklumat dan perkhidmatan.
Walaupun kini segalanya tentang dunia digital, namun perhubungan di antara manusia tetap menjadi pilihan ramai kerana nilainya tidak sama seperti yang lain.
Bagi memberikan yang terbaik untuk pelanggan anda, mari lihat 5 cara untuk membina perhubungan yang positif bersama mereka.
1. Minta keizinan untuk mendapatkan data
Sama ada anda berhubung dengan pelanggan melalui telefon, e-mel atau web, anda perlu terlebih dahulu meminta kebenaran untuk bertanya bagi mengumpul maklumat yang diperlukan.
Anda bukan sahaja harus meminta kebenaran malah jika tidak berhubung secara langsung melalui e-mel atau web, anda juga harus menyemak semula jika kebenaran telah diberikan oleh pelanggan anda dan mereka masih bersetuju untuk memberikan maklumat.
Menjaga privasi apabila mula membina hubungan dengan pelanggan adalah penting bagi menunjukkan rasa hormat anda terhadap mereka.
2. Mesti saling memberi manfaat
Apabila pelanggan anda telah bersetuju untuk memberikan maklumat, anda perlu berterima kasih kepada mereka sebagai tanda penghargaan dengan segera.
Ia boleh jadi semudah menawarkan kupon untuk produk anda, panduan percuma, e-buku mengenai topik yang berkaitan atau apa-apa keistimewaan istimewa.
Perkara lain yang perlu diingat ialah jangan bebankan mereka dengan bertanya pelbagai perkara sekaligus. Oleh kerana objektif anda adalah untuk membina hubungan jangka masa panjang, maka anda boleh melengkapkan maklumat yang anda perlukan mengikut timeline yang sesuai.
Cara ini juga memberikan kelebihan tambahan kerana ia dapat meningkatkan kekerapan perbualan bersama pelanggan.
3. Buat mereka rasa istimewa
Kini, kita dapat lihat pelbagai jenama di pasaran menawarkan keahlian kelab terutamanya kepada pengguna setia mereka. Ini biasanya memberikan lebih banyak keistimewaan disasarkan dan malah memberi peluang kepada pelanggan untuk melihat dan mencuba produk baharu.
Ini mungkin salah satu daripada ‘win-win situation’ yang lebih besar yang boleh dibangunkan bersama pelanggan anda. Walau bagaimanapun, ia memerlukan sebuah pasukan yang berdedikasi dan komited dalam organisasi anda untuk menguruskannya.
Pelanggan dalam kategori ini sememangnya antara yang paling berminat dengan promosi yang anda tawarkan dan sentiasa berharap untuk menerima perkembangan terkini jenama anda selain mendapat berita tergempar terlebih dahulu sebelum orang lain.
4. Pastikan hubungan sentiasa baik
Sebaik sahaja anda mula membina hubungan dengan pelanggan, anda mesti terus dapatkan perhatian mereka dengan menawarkan pelbagai maklumat, berita, foto, video atau artikel yang menarik.
Ini mungkin boleh jadi suatu tekanan, jadi anda juga mungkin mahu mempertimbangkan untuk memasukkan kandungan yang dihasilkan oleh pelanggan seperti video testimoni, gambar, ulasan dan sebagainya.
Ini bukan sahaja dapat memastikan kandungan dikemas kini secara berterusan, malah ia juga dapat membuatkan pelanggan rasa dihargai apabila mereka turut serta dalam kandungan yang disiarkan di platform anda.
5. Sentiasa menawarkan jalan keluar yang mudah
Hati manusia ini berbolak balik. Sebaik sahaja anda telah membuat hubungan dengan pelanggan anda, anda harus sedar akan hakikat bahawa mereka mungkin berubah fikiran dan ingin berhenti daripada menjadi ahli kelab yang ditawarkan.
Jadikan ini proses secepat dan semudah mungkin. Ini menunjukkan rasa hormat terhadap pelanggan anda dan masa mereka. Ini juga membolehkan mereka keluar dengan pendapat positif tentang anda dan jenama yang diwakili.
Anda tidak akan tahu, mereka mungkin berubah fikiran, kekal atau kembali semula dalam masa terdekat. Siapa tahu bukan?