Bisnes boleh ditafsirkan sebagai peperangan. Di dalam peperangan, ada musuh. Di dalam bisnes, ada pesaing. Ini realiti dalam peperangan dan bisnes.
Askar-askar yang ingin masuk ke dalam medan pertempuran harus ada strategi dalam menghadapi musuh.
Begitu juga bisnes, memerlukan strategi, bukan dilakukan dengan sambil lewa melainkan anda berniaga untuk gagal.
Saya tak mahu gagal, sebaliknya berjaya dan terus berjaya. Melalui perniagaan, saya mahu beri manfaat kepada lebih ramai orang. Saya pasti, anda juga begitu.
Jom kita lihat apa ilmu medan perang yang boleh dibawa ke dalam bisnes.
1. Risikan
Kejayaan tentera Jepun dalam Perang Dunia Kedua dibantu dengan perisik-perisik yang dihantar sebelum peperangan bermula.
Pegawai tentera Jepun menyamar sebagai tukang gunting rambut, ada tentera lain menyamar sebagai petani.
Hasilnya, tentera Jepun memperoleh maklumat muka bumi Tanah Melayu dengan tepat dan digunakan sebaiknya untuk merancang strategi peperangan.
Dalam dunia perniagaan, pasti kita mempunyai pesaing. Bukan kita seorang sahaja yang jual produk kecantikan, pakaian, dan macam-macam produk lagi.
Contohnya, saya jual kain tudung. Ada ramai lagi yang jual kain tudung. Macam-macam fesyen dan harga.
Kita perlu bersaing secara sihat. Kita perlu melakukan ‘risikan’ kepada pesaing juga. Kita perlu rajin melawat laman web dan platform media sosial mereka.
Lihat strategi yang mereka guna seperti promosi, harga, testimoni, dan kandungan untuk di nilai dan dipelajari.
Daripada situ kita boleh tambah baik kekurangan dalam perniagaan dan merangka strategi baharu.
2. Pantas ke medan perang
Anda suka membaca? Ini antara buku yang mesti anda baca. The Art of War Plus The Art Of Marketing dan 6 “Killer’ Marketing Lessons from Sun Tzu’s “Art of War”.
Di dalam buku Sun Tzu’s, Art of War in Marketing ada menyatakan, “sesiapa yang sampai dahulu dan menguasai medan peperangan mempunyai masa untuk membuat persiapan sementara menunggu kehadiran musuh, manakala mereka yang sampai lewat akan berperang dalam keadaan lemah dan letih.”
Mentor Usahawan, Datuk Wira Dr. Azizan Osman pun selalu ingatkan kita, kejayaan datangnya daripada 80% persediaan.
Dalam dunia perniagaan kita juga mesti bertindak pantas. Bukan tunggu dan lihat, nanti dan nanti.
“Nantilah aku buat live, nantilah aku buat platform digital. Alamat cepatlah perniagaan itu ‘meninggal’.
Menjalankan perniagaan kita juga mesti bergerak pantas. Lebih depan, lebih laju berbanding pesaing.
3. Peka setiap masa
Tentera sentiasa siap siaga. Hari-hari belajar, hari-hari berlatih.
Pegawai dan anggota tentera juga bijak membaca ‘perkiraan keadaan.’
Jalankan perniagaan pun anda kena peka. Peka dengan keadaan semasa. Apa yang terkini.
Bangsa usahawan mesti ada ilmu yang up to date dan sedar dengan perubahan apa yang berlaku.
Pesaing dah buat bisnes secara digital, tak kan anda masih tunggu pelanggan datang ke kedai semata-mata?
Bayaran dah guna QR Kod, masuk kedai anda masih lagi tiada pilihan bayaran. Tunai sahaja!
Nak berjaya dalam perniagaan anda perlu peka dengan segala perubahan itu.
4. Kepimpinan
Ini sangat penting, panglima angkatan tentera adalah pemimpin yang baik.
Bukan setakat dalam mengatur strategi peperangan, termasuk membakar dan memastikan semangat tenteranya sentiasa berada pada tahap terbaik dan tertinggi sebilang masa.
Ilmu kepimpinan dalam perniagaan juga begitu. Jangan kalah awal dalam ‘peperangan’ kerana kata-kata anda kepada anak buah yang tak membina langsung.
Jika kata-kata anda buat anak buah hilang energy, anda ada masalah dalam kepimpinan.
Pemimpin juga mesti bijak mengawal emosi dalam apa jua keadaan, terutamanya di saat genting dan kecemasan.
Bukan ada cabaran, dah rasa gagal dan lari. Waktu ini anda mesti lebih pantas dan jadi lebih luar biasa daripada biasa.