Terbayang wajah-wajah yang ku sayang,
Satu-satu tersemat di kalbu
Pasti terubat rindu di hati
Menyambut kepulanganku nanti.
Seronoknya nak balik kampung, lagu raya yang berkumandang di radio membuatkan hati semakin berbunga-bunga dan tak sabar nak sampai kampung.
Duit raya dah siap masuk sampul, biskut raya yang ditempah pun dah sampai. Baju raya sedondon pun dah siap digosok.
Betul punya bersemangat nak balik beraya. Tapi dalam keghairahan untuk pulang ke kampung halaman bertemu insan tersayang, ada persiapan penting yang perlu anda lakukan.
1. Penyelenggaraan kenderaan
Penyelenggaraan kenderaan adalah satu perkara penting yang perlu dilakukan oleh pengguna jalan raya sebelum melakukan perjalanan jauh terutamanya menjelang Aidilfitri nanti.
Menurut Pensyarah Fakulti Perubatan Sains Kesihatan UPM, Prof Dr Kulanthayan KC Mani, bukan sahaja kereta perlu dipastikan selamat, malah pengguna jalan raya juga perlu berada dalam keadaan sihat dan cukup tidur sebelum memulakan perjalanan.
Supaya apabila kita dah selenggara, semasa perjalanan tak ada halangan, kalau ada breakdown semasa perjalanan maka kos untuk membaiki akan jauh lebih tinggi sebab berada di luar kawasan.
Tegas Prof Dr. Kulanthayan, dengan menyelenggara kenderaan anda, banyak risiko di atas jalan raya dapat dielakkan.
Apabila berlaku breakdown, masalah bukan sahaja kepada pemandu jalan raya itu dan keluarganya malah pengguna lain yang berada di atas jalan raya, kesesakan lalu lintas juga boleh terjadi, maka lakukan semampu boleh untuk pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum bergerak balik ke kampung halaman.
2. Penyelenggaraan diri sendiri
Kedua, kos penyelenggaraan diri sendiri juga perlu diberi perhatian, maksudnya apabila kita bersedia untuk memulakan perjalanan jauh, kita kena pastikan cukup tidur beberapa hari sebelum balik kampung.
Maksudnya di sini kualiti dan kuantiti tidur yang cukup.
Itu yang dimaksudkan selenggara diri sendiri yang mana sekiranya memandu dalam keadaan keletihan ia akan mengundang risiko kepada pemandu lain, malah akan menambah kos perjalanan.
Disebabkan kita tak cukup tidur dan mengantuk, kita akan kerap berhenti untuk berehat, dan itu akan menambahkan kos sepanjang perjalanan.
3. Ubat-ubatan
Selain digunakan ketika dalam perjalanan pulang ke kampung, boleh juga digunakan pada hari raya pertama.
Maklumlah, hari raya pertama pasti semua kedai runcit atau farmasi berdekatan akan tutup.
Jadi, sebagai langkah berjaga-jaga lebih baik beli ubat lebih awal untuk kegunaan pada bila-bila masa.
Jika anda mempunyai masalah penyakit kronik, jangan tertinggal ubat-ubatan di rumah ya.
Pastikan bawa bersama ketika pulang ke kampung. Barulah raya lebih gembira.
4. Pastikan rumah selamat
Aspek keselamatan harta benda dan kediaman perlu dititikberatkan bagi mengelak risiko kecurian dan kebakaran.
Seperti sudah menjadi kelaziman apabila tibanya musim perayaan, kes kecurian dan kebakaran meningkat. dengan jumlah kes dilaporkan lebih tinggi berbanding kebiasaan.
Masyarakat diingatkan mengambil langkah berwaspada sepanjang tiada di rumah dengan tidak meninggalkan wang tunai dan barangan kemas di kediaman masing-masing.
Sikap cuai dan kurang mengambil berat keselamatan harta benda menyebabkan kerugian lebih besar perlu ditanggung sekiranya rumah dipecah masuk penjenayah.
Justeru, pemilik kediaman perlu mengambil langkah sewajarnya bagi mengurangkan risiko kecurian dan kebakaran.
Bukan setakat kediaman peribadi, begitu juga premis perniagaan anda. Pastikan semuanya dalam keadaan selamat baru pulang ke kampung.