Penularan wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi kesan mendalam kepada tabiat pengguna dan ekonomi Malaysia.
Sebagai contoh, peningkatan penggunaan digital seperti pembelajaran dalam talian, membeli-belah dalam talian, dan pembayaran dalam talian secara tiba-tiba menjadi normal baharu buat negara.
Wabak dan pandemik mengubah gelagat pengguna. Gelagat pengguna sedia ada boleh dikekalkan, diubahsuai, atau gelagat baharu dijana pasca pandemik.
Nak tahu 4 kategori gelagat pengguna ini hasil kajian pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat serta Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bertajuk gelagat pengguna, penjanaan dan pengembangan kekayaan pasca COVID-19.
1. Kategori Kitar Semula
Individu yang berada di dalam kategori ini disifatkan sebagai golongan yang sudah selesa dengan gelagat mereka sebelum Covid-19.
Orang-orang ini lebih suka membeli dalam talian, menggunakan komunikasi maya, lebih suka bekerja dari rumah, dan lebih suka penjarakan sosial.
Mereka tidak suka perhimpunan sosial dan lebih suka tinggal di rumah. Mereka suka melayari internet dan melakukan hampir semuanya dalam talian kerana mereka berasa selamat dan selesa.
Ini bermakna Covid-19 tidak memberi impak besar yang boleh mengubah gelagat mereka.
Oleh kerana kehidupan mereka yang kurang bergaul, orang-orang ini biasanya “introverts” yang menghargai perkhidmatan dalam talian.
Kajian mendapati introvert lebih setia dan berpuas hati dengan kemudahan perbankan dalam talian berbanding ekstrovert kerana mereka lebih suka menjalankan urusan tanpa perlu bersemuka dengan pegawai perbankan.
2. Kategori Norma Baharu
Bukti menunjukkan bahawa dengan kehadiran penyakit maut dan kekurangan intervensi farmaseutikal, orang ramai akan mengubah gelagat mereka untuk mengelakkan jangkitan.
Oleh itu, orang ramai perlu menyesuaikan diri dengan normal baharu, yang bermaksud cara hidup baru.
Banyak kajian melaporkan dan membincangkan bagaimana Covid-19 mengubah gelagat pengguna.
Oleh itu, kami mencadangkan kategori normal baru pengguna muncul pasca pandemik.
Golongan di bawah kategori ini adalah yang paling prihatin terhadap kesan pandemik ke atas mereka.
Mereka cepat menyesuaikan diri dengan keadaan semasa dengan menyesuaikan norma-norma baru kerana kebimbangan yang tercetus akibat pandemik.
Pendukung normal baru mengaplikasikan teknologi lebih daripada kebiasaan, misalnya mereka kini lebih suka bekerja dari rumah dan menggunakan platform dalam talian untuk berkomunikasi dan membeli belah. Dalam dunia penjarakan sosial pasca pandemik , teknologi akan terus memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan pengguna.
Sebaliknya, tidak bereaksi pula menjana dua lagi kategori gelagat pasca pandemik iaitu kembali ke tabiat lama dan norma baharu yang sederhana.
3. Kategori Kembali ke Tabiat Lama
Pengguna akan kembali kepada tabiat lama mereka melainkan pandemik ini membawa perubahan ketara kepada kehidupan mereka.
Kajian yang dijalankan mengenai vaksinasi influenza sebelum dan selepas pandemik influenza 2009 di Beijing, China mendapati, ada golongan yang menolak suntikan vaksin dan terus menjalani kehidupan seperti sebelum pandemik.
Sebab utama adalah bahawa orang-orang ini mendakwa bahawa mereka tidak mungkin dijangkiti virus influenza.
Oleh kerana influenza tidak memberi mereka perubahan yang ketara, mereka terus kembali ke tabiat lama mereka.
Oleh itu, kita mengandaikan bahawa mereka yang kembali ke kategori Kembali ke tabiat lama tetap tidak acuh kepada pandemik dan terus berkelakuan seperti biasa kerana mereka tidak berasa terjejas secara langsung oleh pandemik.
Mereka tidak melihat pandemik ini sebagai ancaman serius kepada diri sendiri dan kepada masyarakat secara umum.
Oleh itu, mereka enggan menyesuaikan diri dengan norma-norma baru.
4. Kategori Norma Baru Sederhana
Mereka yang berada di bawah kategori ini biasanya suka bergaul, sering keluar dan berfikiran terbuka.
Mereka sentiasa suka bersemuka dengan orang lain tetapi dalam keadaan tertentu mereka juga tidak mempunyai masalah menggunakan platform mesyuarat atas talian.
Semasa krisis pandemik, selain menjadi celik teknologi dengan membeli secara atas talian, mereka juga masih berpegang kepada tabiat lama mereka seperti pergi membeli-belah dan makan di restoran.
Namun, pada kali ini mereka sanggup mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan keselamatan tambahan dengan mematuhi peraturan dan tatacara yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Golongan norma baru yang sederhana masih keluar dan membeli-belah atau menjamu selera di restoran yang mereka gemari, namun pada masa yang sama masih mematuhi semua peraturan dengan baik.
Setelah mengetahui kategori ini, mungkin lebih mudah anda merancang strategi dalam perniagaan.