3 Akhlak & Adab Berniaga

3 Akhlak & Adab Berniaga

Dalam keghairahan menjalankan perniagaan, akhlak dan adab berniaga mesti berdasarkan kehendak agama terutama dalam mengendalikan urusan jual beli bersama pelanggan.

Sebagai contoh, kunjungan umat Islam ke bazar Ramadan adalah satu petanda yang baik kerana ia dapat meningkatkan pendapatan para peniaga dalam urusan jual beli. 

Namun dalam masa yang sama, peniaga tidak boleh sama sekali mengambil kesempatan untuk menaikkan harga makanan ataupun barang keperluan disebabkan musim perayaan.

Usahlah kerana terlalu hendak mengaut keuntungan sehingga lupa batas dan sempadan. Ingatlah akan peringatan Rasulullah SAW, “Usahawan yang jujur dan amanah akan bersama para nabi, sodiqin dan orang yang mati syahid pada hari kiamat kelak.” (Hadis riwayat At-Tirmidzi dan Ibnu Majah).

Sepatunya Ramadan menjadi bulan mendidik dan mengajar peniaga erti keikhlasan dan kejujuran. 

Berikut tiga akhlak dan adab berniaga:

Jaga hak pelanggan

Hak pelanggan perlu dijaga bagi memastikan setiap perniagaan yang dijalankan berjalan dengan baik dan dapat menjauhi semua unsur penipuan.

Dalam al-Quran berulang kali mengingatkan para peniaga supaya bersikap jujur dan melarang keras terhadap penipuan, penindasan dan penyelewengan dalam perniagaan.

Peringatan yang berulang kali ini menggambarkan bahawa penipuan dalam bentuk dan kadar yang pelbagai merupakan sesuatu yang sering terjadi dalam dunia perniagaan.

Begitu juga dalam al-Quran Allah berfirman yang bermaksud, “Dan cukupkanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil.” (Al-An‘am, 6:152) dan “Dan janganlah kamu mengurangi sukatan dan timbangan.” (Hud, 11:84). Kedua-dua ayat ini menjelaskan bahawa penipuan daripada segala segi adalah haram dalam etika perniagaan Islam.

Dengan penipuan akan rosaklah hubungan antara pembeli dan penjual, malah boleh mencetuskan perbalahan dan pergaduhan yang berpanjangan. Kesannya, sumber pendapatan peniaga turut terjejas.

Oleh itu, sifat jujur peniaga bukan sahaja dapat menghindari kesan-kesan negatif terhadap perhubungan antara peniaga dan pelanggan mereka malah turut memberi kesan kepada jumlah pendapatan hariannya.

Oleh yang demikian, kepada peniaga akhlak dan peraturan niaga mestilah sejajar dengan aturan agama. Barulah aktiviti tersebut berpahala dan hasil rezeki yang diperoleh mendapat berkat dan diredai Allah SWT, apatah lagi sewaktu Ramadan.

Jangan abai aspek kebersihan

Di sebalik mencari rezeki di bulan yang mulia ini, para peniaga juga diingatkan jangan sampai mengabaikan aspek kebersihan. 

Tahap kebersihan yang tinggi perlu dikekalkan baik dari segi makanan yang dijual mahupun pakaian dan kebersihan diri peniaga serta kebersihan di kawasan perniagaan itu perlu dititik-beratkan.

Ini kerana pelanggan yang mengutamakan kesihatan yang bersih akan memilih gerai-gerai peniaga yang betul-betul menjaga kebersihan.

Dengan adanya komitmen yang berterusan dan bertanggungjawab, para peniaga bukan sahaja akan dapat menambahkan rezeki, tetapi juga dapat mengekalkan alam sekitar yang bersih.

Apabila kebersihan itu dijaga maka akan menarik minat pelanggan membeli di gerai berkenaan berbanding gerai yang kotor.

Oleh itu, aspek kebersihan perlu dititikberatkan bagi menjamin pendapatan yang lumayan berterusan dan kesetiaan pelanggan ke gerai berkenaan.

Jujur dan ikhlas

Kesempatan dan peluang yang ada ini wajar diambil oleh para peniaga untuk terus berniaga dengan jujur dan ikhlas.

Jika ikhlas berniaga dengan menjaga akhlak dan adab sewaktu  berniaga di samping memasang niat kerana Allah SWT bukan hanya untuk mengaut untung semta-mata pastinya Allah SWT akan mempermudahkan urusan perniagaan mereka.

Begitulah mulianya Ramadan bulan yang penuh rahsia dan memberi keuntungan untuk para peniaga meraih bukan hanya amal ibadah dan pahala bahkan juga rezeki yang halal bagi menampung pendapatan seharian mereka.

Artikel terbaru

Leave a Reply