10 Keajaiban Bumi Makkah

10 Keajaiban Bumi Makkah

Alhamdulillah segala kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana setelah lebih dua tahun pandemik melanda akhirnya jemaah haji dari seluruh dunia dapat berhimpun di tanah suci Makkah untuk menunaikan fardu haji, rukun Islam yang kelima. Begitu juga dengan ibadah umrah.

Destinasi idaman seluruh umat Islam yang menanti giliran saban tahun. Menjelang beberapa hari sebelum wukuf, sangat mendebarkan walaupun masing-masing sedang teruja menantikan saat itu.

Pengalaman yang amat berharga ini tidak akan dilupakan sampai bila-bila terutama bagi yang pernah menyaksikan kehebatan perhimpunan agung itu.

Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibina untuk (tempat beribadat) manusia, ialah Baitullah di Bakkah (Mekah) yang diberkati dan menjadi petunjuk bagi semua manusia. (Surah Ali ‘Imran: ayat 96). Nabi SAW pula bersabda dalam satu hadis sahih: “Sesungguhnya kota ini, Allah telah memuliakannya pada hari penciptaan langit dan bumi. Ia adalah kota suci dengan dasar kemuliaan yang Allah tetapkan sampai hari Kiamat.” (HR. Bukhari, Muslim dan lain-lain)

Di samping itu, marilah kita mengenali tempat yang cukup istimewa di tanah suci Makkah untuk memahami keistimewaannya yang dikongsikan oleh Prof Madya Dr Azlan Shaiful Baharum. Antaranya:

1.   Masjidil Haram dan Kaabah

Masjid ini terletak di Kota Makkah. Ia dibina mengelilingi Kaabah iaitu kiblat umat Islam apabila menunaikan solat 5 waktu. Menurut sejarah, Kaabah pertama sekali dibina Nabi Adam dengan bantuan para malaikat.

Nabi Ibrahim dengan bantuan anak baginda, Nabi Ismail memperbaiki Kaabah dan akhirnya ia semakin luas generasi demi generasi hingga hari ini. Para ahli sejarah mengatakan Kaabah dibina semula antara lima hingga 12 kali.

2.   Multazam

Multazam ialah suatu ruang dengan keluasan sepanjang 2 meter terletak antara Hajar Aswad dan Pintu Kaabah. Multazam antara tempat doa seseorang itu dikabulkan dan diterima Allah.

Sunat berdoa di Multazam dengan meletakkan atau menempakan pipi, dada, lengan tangan dan kedua tapak tangan padanya (Multazam) kerana begitulah cara baginda Nabi Muhammad SAW seraya berdoa kepada Allah.

3.   Maqam Ibrahim

Maqam Ibrahim bukan kubur Nabi Ibrahim. Ia bangunan kecil di sebelah timur Kaabah. Di dalam bangunan kecil ini ada sebiji batu yang diturunkan Allah dari syurga bersama dengan Hajarul Aswad.

Di atas batu itu Nabi Ibrahim berdiri di waktu baginda membangunkan Kaabah dan puteranya Nabi Ismail memberikan batu kepadanya. Batu itu dipelihara oleh Allah, sekarang ini sudah ditutup dengan perak. Bekas kedua-dua tapak kaki Nabi Ibrahim masih jelas kelihatan.

4.   Hijir Ismail

Hijir Ismail merupakan pagar batu berlingkar 1.5 meter dan terletak berhampiran dengan Kaabah. Ia dibangunkan Nabi Ibrahim sewaktu baginda membangunkan Kaabah. Hijir Ismail pada mulanya pagar batu sederhana sahaja.

Kemudian raja yang berkuasa membangunkan pagar batu itu dengan batu marmar semula. Sabda Rasulullah Hijir Ismail itu termasuk dalam Kaabah.

Orang yang sudah mengerjakan tawaf disunatkan mengerjakan solat sunat dua rakaat di Hijir Ismail selepas berdoa dan solat sunat di Maqam Ibrahim.

5.   Telaga zam-zam

Air zam-zam mempunyai keistimewaan dan keberkatan kerana boleh menyembuhkan penyakit, menghilangkan dahaga serta mengenyangkan perut yang lapar.

Keistimewaan dan keberkatan itu disebut dalam sebuah hadis Nabi yang bermaksud: “Daripada Ibnu Abbas r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik air di muka bumi ialah air zam-zam, ia merupakan makanan yang mengenyangkan dan penawar bagi penyakit.” (Riwayat-At Tabrani dan Ibnu Hibban)

Kawasan telaga zam-zam kini ditutup pihak berkuasa Arab Saudi pada awal 2005 akibat masalah ketidakfahaman jemaah umrah dan haji tentang adab di situ.

6.   Hajarul Aswad

Hajarul Aswad terletak di penjuru keempat Kaabah. Ia diturunkan dari syurga. Menurut sejarah, Hajarul Aswad diturunkan Allah dari langit ke atas Jabal Qubais. Ia merupakan sebiji permata putih yang lebih putih dari salji, tetapi lama- kelamaan menjadi hitam disebabkan dosa manusia.

Daripada Ibnu Abbas katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Hajarul Aswad diturunkan dari syurga dan berwarna lebih putih daripada susu. Dosa manusia (anak Adam) menyebabkannya menjadi hitam.” (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi)

7.   Bukit Safa dan Bukit Marwa

Dua bukit terletak di Masjidil Haram tempat umat Islam berulang-alik tujuh kali dalam ibadah sa’ie dan merupakan satu perbuatan bagi mengingati peristiwa Siti Hajar yang berulang-alik di antara Bukit Safa dan Marwah mencari air untuk dirinya sendiri dan anaknya Nabi Ismail.

Ada ahli sejarah menyatakan tentang peristiwa berulang-aliknya tentera Muslimin di antara kedua-duanya ketika awal kemunculan Islam bagi menunjukkan kehebatan mereka serta menggerunkan musuh.

8.   Padang Arafah

Padang Arafah merupakan kawasan terbuka dan luas di sebelah timur luar Makkah dan di sinilah umat Islam menunaikan rukun haji iaitu wukuf.

Wukuf di padang Arafah antara satu rukun haji iaitu Wukuf di Padang Arafah pada 9 Zulhijjah bermaksud berhenti seketika di padang itu.

Berada di Padang Arafah (tempat paling mustajab doa pada masa itu) dalam suasana panas terik memberi gambaran sebenar kepada umat Islam mengenai keadaan di Padang Mahsyar.

9.   Muzdalifah

Suatu kawasan yang terletak di antara Mina dan Arafah. Kawasan ini merupakan sebahagian daripada mercu tanda tanah Suci (al-Masyair al-Muqaddasah).

Umat Islam yang menunaikan ibadah Haji pada bulan Zulhijjah adalah diminta untuk berada di Muzdalifah sekurang-kurangnya dari selepas waktu malam pada 10 Zulhijjah (menurut ulama al-Syafie), iaitu ibadah bermalam (Mabit) di sana.

10.   Mina

Sebuah lembah padang pasir terletak sekitar 5 kilometer dari kota Makkah. Mina paling dikenali sebagai tempat pelaksanaan ibadat melontar jamrah dalam ibadah haji.

Di sini tempat pelaksanaan ibadat melontar batu ke arah jamrah sebagai simbolik tindakan Nabi Ibrahim ketika mengusir syaitan yang cuba menganggu baginda menjalankan perintah Allah SWT iaitu menyembelih puteranya sendiri Nabi Ismail.

Di sini juga ada tiga jamrah yang digunakan untuk ibadat melontar iaitu Jamratul Aqabah, Jamratul Ula, dan Jamratul Wusta.

Di tempat ini jemaah haji diwajibkan bermalam ketika musim haji berlangsung dalam bulan Zulhijjah.

Ramai yang berniat dan bercita-cita untuk menunaikan haji dan umrah bersama pasangan dan ahli keluarga.

Semoga kita dapat menjejakkan kaki ke tanah suci untuk menunaikan haji dan umrah sebelum memejamkan mata buat selamanya. Amin.

Artikel terbaru

2 Comments

  • Rakiah ishak

    Saya dah sampai ke bumi barakah Mekah dan Madinah dalam umrah pertama saya,Alhamdulillah , sungguh barakah dan tenang..InnshaaAllah kalau diizinkan ada rezeki dan kesihatan yang baik ,saya akan pergi lagi mengunjungi bumi barakah itu ..aamiinn.Doakan saya

Leave a Reply