Selalu kita dengar, tips untuk jaga keseimbangan kerja dan kehidupan pekerja. Jarang kita dengar tips untuk usahawan.
Bila difikir-fikirkan semula, kesihatan mental diri kita sendiri pun penting juga. Bila mental kita bagus, barulah boleh nak jaga mental pekerja yang lain.
Menjaga keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi adalah satu kewajipan, bukan lagi pilihan.
Sebagai usahawan, tanggungjawab anda bukan sahaja memastikan perniagaan berjalan lancar, tetapi juga menjaga kesihatan fizikal dan mental anda.
Cara membantu mencapai keseimbangan yang sihat dan berterusan
1. Mulakan dengan kesihatan anda
Kejayaan perniagaan bermula dengan kesihatan anda sendiri. Tanpa kesihatan yang baik, sukar untuk mengekalkan produktiviti dan semangat kerja.
Berikut adalah beberapa langkah asas untuk menjaga kesihatan anda:
- Makan secara sihat: Pilih makanan yang berkhasiat dan seimbang.
- Kekal terhidrat: Minum air secukupnya setiap hari.
- Bersenam: Luangkan masa untuk berjalan atau melakukan aktiviti fizikal yang lain.
- Tidur yang cukup: Pastikan anda mendapat tidur yang berkualiti setiap malam.
Kesihatan mental juga penting, jadi jangan abaikan kesihatan mental anda. Jika anda merasa cemas atau tertekan, pertimbangkan untuk mendapatkan bantuan profesional.
Dengan menghadiri sesi terapi boleh membantu anda menguruskan tekanan dan meningkatkan kesejahteraan mental anda.
2. Tak perlu terlalu ‘perfect’
Betul, jika nak buat apa-apa kenalah sempurna. Tapi istilah sempurna itu sudah cukup dan tidak perlu terlalu sempurna. Jika anda mampu, apa salahnya. Tapi jangan memaksa diri sehingga menjadi punca tekanan yang tidak perlu.
Tak perlu mengejar kesempurnaan dalam setiap aspek kerja anda. Sebaliknya, fokuslah pada melakukan yang terbaik dan kemudian lepaskan. Dengan cara ini, anda akan merasa lebih bebas dari tekanan yang berkaitan dengan kerja.
2. Uruskan masa dengan berkesan
Dengan mengutamakan tugas berdasarkan urgensi dan kepentingannya, anda dapat mengelakkan perasaan terburu-buru dari satu tugas ke tugas yang lain. Ia terbahagi seperti berikut:
- Tugas yang mendesak dan penting: Perlukan tindakan segera.
- Tugas penting tetapi tidak mendesak: Perlukan perhatian dalam masa terdekat.
- Tugas tidak penting: Boleh diserahkan kepada orang lain.
- Tugas tidak penting dan tidak mendesak: Boleh ditangguhkan atau diabaikan.
3. Jauhi gajet sementara waktu
Teknologi sangat penting dalam perniagaan mahupun kehidupan peribadi kita. Namun, tak perlulah 24 jam dengan gajet.
Ambil sedikit masa untuk semak jadual anda, semak akaun media sosial anda dan sebagainya. Kemudian, letak di tepi untuk anda fokus kepada aktiviti lain.
Anda boleh mula berjalan-jalan, membaca buku atau melakukan aktiviti yang tidak melibatkan skrin. Ini boleh membantu menyegarkan semula minda anda.
Dan penting juga untuk mendapatkan tidur yang cukup!
4. Tetapkan batasan dengan jelas
Sama ada anda mengamalkan polisi “pintu terbuka” dengan pekerja atau hanya boleh dihubungi dalam kes kecemasan, adalah baik untuk menetapkan batasan bagi diri sendiri dan pasukan anda. Contohnya:
- Jangan fikirkan tentang perniagaan selepas waktu kerja.
- Tekankan bahawa anda hanya akan membalas email semasa waktu kerja.
- Gunakan komputer dan telefon yang berbeza untuk kerja dan urusan peribadi.
- Tetapkan waktu yang sesuai untuk perundingan di pejabat.
Pada mulanya memang susah nak buat semua orang ikut cara yang anda dah tetapkan, tapi lama-kelamaan orang akan menghormati batasan ini apabila mereka memahami bila dan mengapa mereka boleh menghubungi anda.
5. Bersedia untuk belajar dari kesilapan
Kalau mudah untuk seimbangkan antara kerja dan kehidupan seharian, mesti semua orang tak ada masalah ‘burnout’. Hakikatnya, tak mudah.
Kadang-kadang, kita tak perasan dah buat keputusan yang salah. Tak apa, jadikan pengajaran dan belajar dari kesilapan. Jangan lupa, kesilapan itu adalah proses pembelajaran sebelum berjaya.
Peranan anda sangat penting
Sebagai seorang usahawan, anda memainkan peranan yang sangat penting dalam perniagaan. Tanpa anda, perniagaan yang dijalankan tidak akan pernah wujud.
Utamakan kesihatan fizikal dan mental anda agar dapat menjadi seorang pemimpin yang baik di dalam organisasi yang anda sendiri bina.
Pekerja akan selalu tiru apa yang mereka nampak. Kalau anda menjadi pemimpin yang baik, mereka akan turut menjadi pekerja yang baik. Insya-Allah.