Serius ke ada usahawan bunuh diri? Macam berat je kes ni…kalau ikut undang-undang ni memang dah jatuh kes berat. Tapi apa yang kami nak kongsikan bukan pasal usahawan bunuh diri dia sendiri dengan cara gantung diri, terjun bangunan atau minum racun…tapi bunuh diri dengan cara yang tak sepatutnya dilakukan oleh semua usahawan. Apa benda tu?
Digelar seorang usahawan, mestilah banggakan, boleh buat banyak duit, ada pejabat sendiri, ada pekerja sendiri, ejen dan stokis yang ramai, boleh pakai kereta import dari luar negara dan banyak lagi la.
Tambah pulak kita di zaman teknologi, zaman media sosial ni, lagi lah membuak-buak perasaan nak share semua pencapaian. Kejayaan kita dekat media sosial biar ramai orang dapat tengok. Selfie dengan kereta mewah, rumah besar, duit berkepuk-kepuk kononnya nak buat orang terinspirasi, nak orang ramai juga berjaya seperti anda tetapi ada beberapa faktor yang ramai usahawan terlepas pandang atau tak sedar tentang perkara ni.
Ada 3 kesalahan yang usahawan buat menjerut leher mereka sendiri! Berpunca dari kesalahan ini membuatkan mereka diburu oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana CUKAI!!
- Show Off atau Menunjuk-nunjuk Kekayaan di Media Sosial
Perangai founder-founder masa kini. Selfie is a lifestyle katanya. Perangai suka menunjuk-nunjuk kekayaan di Facebook, Instagram, Twitter dan sebagainya dah menjadi satu kebiasaan bagi mereka. Betul la tu…dah ada media sosial, dekat situ la kita nak share semua benda kan…boleh selfie, buat Live.. tapi sebelum tu jadi lah bijak dulu. Nak menunjuk tu tak salah, tapi cuba ingat dan sedar diri adakah anda dah bayar cukai? Ada banyak cukai yang tertunggak?
Dalam petikan akhbar Berita Harian pada 10 November 2018 yang bertajuk ‘LHDN tubuh unit khas pantau kekayaan luar biasa dikongsi di media sosial’
Menurut pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengatakan, pihak mereka telah menubuhkan satu unit khas untuk menyiasat mana-mana individu atau pemilik perniagaan yang menunjukkan sebarang harta kekayaan luar biasa di media sosial. LHDN akan semak sama ada individu itu sudah mempunyai rekod pengisytiharan pendapatan atau belum dan sejauh mana kekayaan yang ditunjukkan itu setara dengan rekod berkenaan.
Sampai ke media sosial pun pihak lembaga akan menghantui anda. Tapi sebenarnya kalau anda bijak, patuh dan bayar cukai dengan betul, anda tak perlu takut pun. Nak berselfie sakan pun tak salah. Tapi kena beringat jugak…takut penjenayah pulak yang cari anda.
- Tidak Daftar, Tidak Nyatakan Pendapatan dan Tidak Bayar Cukai
Berani berselfie tu dah satu hal, yang buat hal lagi teruk bila anda tidak mendaftar permohonan di LHDN, tidak nyatakan pendapatan dan paling teruk tidak bayar cukai langsung. Alasan ramai kata tak ada duit, bisnes tak untung tapi dalam media sosial pergi tayang macam-macam harta yang anda. Bijak ke bijak tu?
Adalah lagi baik anda daftar sahaja di LHDN, sentiasa nyatakan pendapatan dan yang penting bayar cukai tanpa gagal. Memang nak kena bayar sentiasa ke? Tidak…andai kata perniagaan anda tidak untung, anda tak perlu bayar pun cukai pendapatan perniagaan anda…sebab cukai pendapatan perniagaan bukan dikira berdasarkan berapa banyak duit yang anda ada atau simpan di dalam bank, tapi dikira berdasarkan keuntungan tahunan perniagaan.
- Tiada Dokumen atau Rekod Penting Untuk Semakan LHDN
Yang ni sangatlah tidak bijak. Anda dah tak bayar cukai, menunjuk-nunjuk pulak tu, bila LHDN datang nak buat audit atau semakan, anda tak ada langsung sebarang dokumen penting atau rekod yang diperlukan oleh LHDN. Dah tu, macam mana nak buktikan pada mereka yang anda kononnya tak mampu nak bayar cukai? Ni lah yang dikatakan jerut leher sendiri.
Wajib untuk semua usahawan simpan 3 file penting ni:
- Bank Statement
- Invoice
- Payment Voucher
Kenapa wajib? Cukup dengan 3 file ni je pihak lembaga nak kenalpasti tahap aliran tunai perniagaan anda, kemana perginya duit perniagaan dan apa tujuan atau sebab setiap transaksi keluar masuk duit perniagaan anda.
Jadi lepas ni anda boleh mula pertimbangkan untuk jadi usahawan lebih bijak dan lebih berhati-hati. Tak salah nak selfie dengan harta anda, tapi perlu beringat juga tentang keselamatan diri anda dan keluarga. Ramai penjenayah di luar sana yang memerhati. Tak mustahil bila-bila masa anda juga boleh menjadi mangsa.