Bulan lepas, saya berpeluang untuk menghadirkan diri ke Inner Circle Meeting (ICM) kali ke-25 yang diadakan di M Resort & Hotel, Kuala Lumpur. ICM adalah program yang dianjurkan oleh RichWorks dan menghimpunkan usahawan jutawan daripada program pementoran Titanium serta Titanium Circle Plus.
Di sana, saya sempat bertegur sapa dengan salah seorang usahawan, Prof. Dato’ Dr. Noordin Darus, pengasas jenama yang dikenali ramai iaitu DND.
Bukan nak bercerita tentang produk, tapi betapa kagumnya saya melihat beliau yang bersemangat untuk mendapatkan ilmu bagi memastikan bisnes terus relevan dan mampu memberi manfaat kepada orang ramai.
Di usia yang sama, orang lain mungkin memilih untuk duduk di rumah atau di kedai kopi, tapi bukan pada beliau. Walau bagaimanapun, itu adalah pilihan masing-masing bagaimana kita nak menghabiskan masa tua nanti.
Ada je orang yang memilih untuk duduk rumah dan berbakti kepada tanah. Dan ada juga orang yang mula membela haiwan ternakan. Tak salah! Yang salah bila beranggapan, usia tua bukan waktu yang sesuai untuk terus berniaga.
Mungkin umur anda kini telah mencecah 40, 45, 50, 55 atau lebih! Dan mungkin anda dah mula terasa agak lewat untuk memulakan perniagaan. Ingatlah, usia bukan penghalang kejayaan seorang usahawan.
3 sebab usia bukan penghalang kejayaan bisnes
1. Pengalaman yang mematangkan
Sama ada pengalaman dalam perniagaan sebelum ini atau pengalaman dalam hidup, mereka yang berusia ini telah melalui pelbagai pengalaman yang mematangkan. Sudah tentu mereka juga telah berjumpa dengan pelbagai jenis ragam orang.
Pengalaman adalah suatu aset dalam diri yang sangat berharga dan tak boleh dibeli oleh sesiapa pun. Di dalam perniagaan, pengalaman memberi pelbagai kebijaksanaan dalam membuat sebarang keputusan dan mengajar kita kesabaran untuk berusaha dalam perniagaan.
2. Rangkaian sosial yang luas
Selain dari berpengalaman, rangkaian sosial mereka yang lebih berusia juga lebih luas. Ini sangat membantu dalam kejayaan perniagaan anda. Usahawan yang masih malu-malu atau enggan membina rangkaian sosial, anda dah boleh fikir-fikirkan semula untuk ubah pendirian itu. Tak rugi pun ramai kenalan jika ia sangat boleh membantu dalam bisnes anda.
3. Wang bukan lagi perkara utama
Ada dua sebab utama usahawan masih terus berniaga selepas bersara, yang pertama untuk kelangsungan hidup dan yang kedua adalah kerana nak memberi manfaat kepada masyarakat.
Bukan lah nak kata wang dah tak penting, tapi bukan lagi keutamaan. Cukup meneruskan hidup dengan selesa. Mungkin ketika ini, kebebasan menjadi prioriti. Kebebasan masa, pilihan serta kewangan.
Apabila memulakan perniagaan bukan lagi bermotifkan wang dan kekayaan semata-mata, ia memberikan sebab yang lebih baik untuk berusaha memulakan perniagaan.
Ya, masih ramai yang berniaga untuk hidup, apatah lagi usahawan yang masih menyara kehidupan anak-anak yang di bangku sekolah. Namun keutamaan mereka bukan lagi untuk merasa hidup yang mewah.
Usia bukan alasan
Sebenarnya tiada siapa pun yang terlewat dalam perniagaan walaupun anda bermula di usia 60 tahun. Asalkan ada keinginan, perjalanan seterusnya boleh diusahakan. Jadi, usia tua sebenarnya boleh menjadi kelebihan dalam dunia perniagaan jika diambil kira dengan bijak.
Umur bukan lagi alasan untuk tak boleh buat apa yang kita nak buat. Tun Mahathir pun menjadi perdana menteri kali kedua di usia 92 tahun, Colonel Sanders mengasaskan KFC sewaktu umur 66 tahun, Vera Wang melancarkan butik gaun pengantin sendiri pada usia 41 tahun dan ramai lagi.
Malah ramai juga usahawan yang berjaya di usia yang agak lewat namun tak didendangkan. Di RichWorks sahaja ada ramai usahawan yang boleh dijadikan contoh.
Mereka berjaya kerana dah memang kaya? Tidak semua. Ada yang memang kaya, ada yang mewarisi perniagaan keluarga dan ada yang bermula dari kosong. Namun mereka semua nak berjaya. Jika mereka boleh, apa alasan anda untuk katakan tidak?
Semua orang ada masa-masanya yang tersendiri. Ada yang bernasib baik berjaya pada usia yang muda dan ada pula yang terlewat sedikit. Lebih baik terlewat daripada tidak mulakan langsung.