Bisnes pada waktu ini perlu mengikut peredaran teknologi, merebut peluang yang ada dan pastikan keberadaan mereka terutama dalam dunia digitalisasi agar tidak ketinggalan.
Transformasi digital membolehkan cara baru kepada sesebuah bisnes untuk menyampaikan nilai kepada pelanggan-pelanggan dan orang ramai di luar sana. Ia juga mengubah landskap persaingan dan keadaan pasaran ketika ini.
Sehubungan itu, perubahan teknologi – digitalisasi bukanlah sesuatu yang baharu. Lihat saja pergerakan manusia, dulunya kita menggunakan haiwan tunggangan untuk pergi ke sesuatu tempat dengan mengambil masa yang lama, sebelum terciptanya kenderaan automotif.
Kemudian kenderaan yang dicipta itu juga menyaksikan transformasi – pembaharuan dan penambahbaikan hingga lebih selesa, mudah dan pantas dengan kenderaan yang anda saksikan hari ini.
Begitu juga dalam sesebuah bisnes, dahulunya hanya dijalankan secara fizikal dengan adanya premis untuk beroperasi. Kini tanpa premis fizikal pun, bisnes boleh beroperasi dan memasarkan produk atau servis mereka secara online melalui platform e-dagang, media sosial, laman web dan sebagainya.
Kelebihan Teknologi Digital
Penggunaan teknologi digital dapat meningkatkan hasil, mengurangkan kos operasi, meningkatkan kepuasan pelanggan, rakan kongsi malah pekerja anda.
Selain itu, penggunaan digital juga dapat mengembangkan capaian anda bukan hanya di pasaran tempatan malah antarabangsa jika digunakan sebaiknya.
Mengikut kaji selidik Digital PKS Malaysia 2018 yang dilaksanakan oleh SME Corp Malaysia dan Huawei Technologies Malaysia Sdn Bhd, majoriti PKS telah pun menggunakan komputer dan internet sebagai medium operasi perniagaan.
Bagi tempoh 2016 hingga 31 Mei 2020, sebanyak 322, 834 PKS telah menyertai platform e-dagang manakala sebanyak 171,776 PKS telah menghadiri latihan melalui pelbagai program daripada rakan strategik e-dagang, persatuan dan agensi kerajaan.
Langkah Kerajaan
Kerajaan juga mahu memperkasakan pendigitalan PKS yang mana sebahagian besar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bergantung pada sektor ini.
“Apa sahaja dasar yang dilakukan oleh kerajaan, baik dahulu mahupun sekarang, tumpuan utama adalah memastikan sektor ini terus hidup. Jika tidak ia akan membawa kesan yang sangat besar kerana membabitkan tenaga kerja yang ramai.
“Satu perkara yang saya nak tekankan ialah pendigitalan ekonomi. Keputusan telah dibuat supaya saya mempengerusikan Majlis Digital Negara dan Revolusi Industri 4.0 untuk kita lihat dengan lebih teliti… bagaimana kita boleh percepatkan proses pendigitalan ini,”
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh SME Corp Malaysia mengenai adaptasi ICT dalam kalangan PKS, terdapat peningkatan dari segi pembabitan PKS dalam perniagaan online iaitu sebanyak 26% kepada 37% pada 2018.
Bagi 2019, penyertaan PKS dalam perniagaan online adalah sebanyak 35.3 peratus. Sehingga 31 Januari 2020, sebanyak 276,176 entiti telah berdaftar sebagai perniagaan online melalui pendaftaran di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Justeru itu, sebagai usahawan yang mahu dan nak membina bisnes yang berkembang hingga ke tahap lebih tinggi perlulah sentiasa tambah baik dan upgrade, ilmu, teknologi dan inovasi yang ada.
Perkara ini dapat buatkan anda lebih ke depan berbanding pesaing-pesaing lain yang masih berada pada tahap sama. Secara tak langsung, orang ramai pun boleh melihat bisnes mana yang memberikan nilai yang lebih baik untuk mereka.
Apatah lagi, ketika berdepan halangan dan cabaran baru seperti yang bermulanya pandemik Covid-19 di negara hinggakan sektor ekonomi terpaksa ditutup beberapa bulan. Apa akan terjadi jika tiada pendigitalan kepada bisnes terutama PKS?
Bolehkah bisnes terus bertahan dalam keadaan di mana orang ramai tidak boleh keluar rumah tanpa sebarang keperluan? Tidak boleh, sebab itu dilihat kebanyakan bisnes mula beralih dan beri tumpuan kepada teknologi pendigitalan, online dan sebagainya.
Pengunaan internet pun menunjukkan peningkatan mendadak dalam tempoh berkenaan. Anda boleh baca lebih lanjut dalam artikel di sini.