Tentukan Produk / Servis Yang Anda Tawarkan

Jika anda mahu menceburi bidang bisnes, anda harus tahu bidang ini sangat luas. Perniagaan bukan sekadar jual beli semata-mata. Bagaimana anda mampu meyakinkan pelanggan dan memberi khidmat terbaik jika anda tidak faham tentang produk dan servis anda? Bagaimana pula jika anda tidak tahu fungsi produk dan servis anda? Pasti susah untuk anda meyakinkan pembeli. Jadi, anda harus menentukan awal-awal apa yang anda ingin tawarkan. Lakukan langkah ini jika anda masih dalam proses merancang perniagaan.

Pertama:

Tanya diri anda, adakah perniagaan anda kelak berasaskan produk atau servis? Anda sudah memilih model perniagaan sebelumnya jadi pasti mudah untuk anda menentukannya.

Kedua:

Dari pilihan servis / produk ini pula ada cabang yang lain seperti jika anda memilih produk, apa produk anda? Anda perlu lebih spesifik supaya tidak hilang fokus.

Contoh cabang bagi produk dan servis adalah seperti berikut:

  • Kecantikan
  • Makanan
  • Kesihatan
  • Fesyen
  • Automotif
  • Teknologi
  • Pendidikan

Dan macam-macam lagi.

Jadi, mana satu pilihan anda? Dalam cabang-cabang tersebut juga, ada pelbagai kategori yang perlu anda tumpukan agar anda lebih faham produk atau servis yang anda tawarkan seperti siapakah atau apakah sasaran anda.

Jika anda memilih produk. Pastikan anda tahu adakah produk anda untuk orang tua, dewasa, remaja atau kanak-kanak? Apakah tujuan produk tersebut? Adakah untuk kulit sensitif, masalah rambut gugur ataupun untuk kuruskan badan?

Manakala jika anda memilih servis, tanya diri anda adakah servis ini untuk informasi, pendidikan, rundingan atau khidmat pelanggan lain? Contohnya jika anda ingin membuka syarikat perunding guaman. Anda harus tahu adakah ia merangkumi sivil, jenayah atau syariah? Begitu juga jika anda membuka pusat khidmat perlancongan. Anda perlu tahu adakah anda mensasarkan domestik atau luar negara? Bayangkan jika anda menawarkan khidmat perlancongan luar negara tetapi anda tidak tahu apa kelebihan di negara tersebut. Pasti sukar anda mempromosi tempat tersebut, bukan?

Dengan langkah yang tersenarai tersebut, anda akan lebih yakin pada produk / atau servis anda sekali gus memudahkan anda membuat langkah permasaran seterusnya kelak. Kesilapan peniaga yang baru merancang untuk bermula adalah dengan memilih produk dan servis tanpa memahami semua perkara ini. Malah, ada juga yang memilih untuk menjual pelbagai servis dan produk yang berlainan demi keuntungan cepat. Perkara ini akan membuatkan mereka hilang fokus dan gagal mensasarkan tahap keuntungan yang mereka inginkan.

Artikel terbaru

6 Comments

Leave a Reply