Anda rasa kecewa kerana masih belum menemui titik manis dalam kerjaya anda? Rasa dah terlewat dan sudah terlepas peluang untuk mencapai kejayaan?
Jika ya, dengarkan ini: anda tidak pernah terlalu tua dan masih belum terlambat untuk menggenggam kejayaan biarpun anda sudah berusia 40-50an.
Malah, penyelidik di AARP mendapati bahawa kakitangan yang lebih tua (berumur 50 tahun dan ke atas) lebih berharga kepada majikan berbanding rakan sejawat mereka yang lebih muda, disebabkan oleh tahap penglibatan, kestabilan, produktiviti dan pengalaman yang tinggi dalam kerjaya mereka selain keupayaan untuk membimbing rakan sekerja serta menyelesaikan masalah secara kreatif.
- Ava DuVernay
Pengarah filem yang memenangi anugerah itu mula-mula ‘memegang’ kamera pada usia 32 tahun
Ava DuVernay tidak pernah pergi ke institusi perfileman. Kerjayanya bermula di CBS News, di mana dia menjadi pelatih dalam membantu membuat liputan mengenai kes perbicaraan pembunuhan O.J. Simpson.
Dia kemudian beralih kepada bidang publisiti dengan bekerja di 20th Century Fox dan Savoy Pictures sebelum memulakan firma perhubungan awamnya sendiri, Agensi DuVernay yang sangat berjaya.
Walau bagaimanapun, dia sentiasa mempunyai minat terhadap dunia perfileman. Beliau pun memulakan langkah dengan mengarahkan filem pendek pertamanya, Saturday Night Life yang berdurasi selama 12 minit. Filem itu telah menjadi sebahagian daripada Showtime’s Black Filmmaker Showcase.
Hari ini, dia adalah calon Anugerah Akademi dan pemenang Anugerah Emmy, BAFTA dan Peabody selepas berjaya menghasilkan filem yang hebat seperti Selma dan 13th, sebuah dokumentari yang dicalonkan Oscar.
Menerajui filem Disney, A Wrinkle in Time, dia telah menjadi pengarah wanita Afrika-Amerika pertama yang mengarahkan filem dengan bajet lebih $100 juta.
- Samuel L. Jackson
Mendapat watak dalam filem terkenal ketika berusia 40 tahun
Penerbit, pelakon dan pengarang yang dicalonkan Oscar iaitu Samuel L. Jackson pertama kali dapat memegang watak utama dalam filem School Daze arahan Spike Lee pada tahun 1988 ketika dia berusia 40 tahun.
Sebelum itu, Jackson membina reputasinya sebagai pelakon pentas teater. Sejak itu, Samuel L. Jackson terus sibuk membintangi lebih daripada 100 buah filem termasuklah Do the Right Thing, Jurassic Park,Pulp Fiction, trilogi prekuel Star Wars dan Die Hard with a Vengeance.
Selain itu, dia juga turut memegang karakter sebagai Nick Fury dalam siri filem Marvel yang mana watak itu direka berdasarkan karakter dan penampilannya sendiri.
Pada tahun 2011, Guinness Book of World Records menyenaraikannya sebagai pelakon filem dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman.
- Vera Wang
Pada usia 40 tahun, dia mereka pakaian perkahwinan pertamanya (miliknya sendiri!) sebelum memulakan empayar fesyennya yang kini menjadi sebuah empayar lagenda.
Sebelum mengecapi kemasyhuran sebagai pereka busana pengantin, dia sebenarnya sebelum ini pernah menjadi seorang peluncur ski yang berhasrat ke Olimpik (dia tidak berjaya mendapatkan tempatnya dalam pasukan), editor fesyen di Vogue, tempatnya bekerja selama hampir 20 tahun dan pengarah reka bentuk di Ralph Lauren.
Semasa Wang merancang perkahwinannya sendiri pada tahun 1989, dia menghadapi masalah untuk mencari pakaian yang sesuai dengan estetika moden mengikut cita rasa fesyennya. Jadi, dia memilih untuk melakar sendiri dan bekerjasama dengan pereka untuk menciptanya.
Pada tahun berikutnya, dengan sedikit bantuan kewangan daripada bapanya, dia membuka butik pengantinnya sendiri di Hotel Carlyle, Manhattan.
Hari ini, ratusan selebriti termasuklah Michelle Obama, Jennifer Lopez, Kardashians, Chelsea Clinton dan Alicia Keys tetap menyarungkan rekaannya dan Forbes menganggarkan bahawa asetnya bernilai lebih $630 juta.