Sumbangan Usahawan Kepada Masyarakat dan Negara

Usahawan bukan hanya berniaga untuk fokus kepada keuntungan semata-mata, malah mereka adalah pemangkin kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara. Pencapaian ekonomi sesebuah negara bergantung kepada usahawan mereka yang sentiasa dinamik dan maju ke hadapan.

Usahawan bukan sahaja membangunkan syarikat dan diri sendiri sahaja, malah mereka juga menggalas tanggungjawab untuk membangunkan masyarakat dan negara. Hasil daripada tindakan mereka mampu mewujudkan peluang baru yang boleh diteroka oleh masyarakat amnya.

“Jangan buat bisnes sebab nak jadi kaya. Buat bisnes sebab nak bantu orang.” – Datuk Wira Dr Azizan Osman.

Perniagaan yang dibina atas dasar untuk membantu dan memberi manfaat kepada ramai orang mampu menghasilkan pencapaian yang luar biasa. Antara sumbangan yang dilakukan oleh usahawan terhadap masyarakat dan negara adalah:

1. Menawarkan Peluang Pekerjaan.

Dengan wujudanya lebih banyak usahawan yang merintis idea dan projek baru, mereka mampu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat di luar sana. Sekaligus mengurangkan kadar pengangguran dalam negara.

Masyarakat akan lebih terlatih dan dapat menggunakan kemahiran yang ada melalui tawaran peluang pekerjaan yang sesuai. Peluang pekerjaan banyak membantu peningkatan ekonomi  penduduk setempat.

2. Meningkatkan Taraf Hidup Masyarakat.

Ini merupakan salah satu peranan penting yang sering dilakukan oleh usahawan. Iaitu memastikan kemiskinan dan kelaparan dihapuskan di kalangan masyarakat. Bukan itu sahaja, mereka juga memberikan peluang untuk masyarakat yang kurang bernasib baik untuk menerima pendidikan seperti kanak-kanak serta remaja lain.

Usahawan juga menyediakan peluang untuk mereka yang ingin meningkatkan taraf hidup dengan kerja yang bersesuai. Mereka yang berusaha sehabis baik mampu membawa diri dan keluarga keluar dari kemiskinan sekaligus meningkatkan taraf hidup.

3. Menjalankan Tanggungjawab Sosial.

Usahawan antara individu yang terlibat bagi memenuhi keperluan asas masyarakat yang sekaligus menyumbang kepada peningkatan taraf kebajikan. Para usahawan sentiasa tidak lupa memberi sumbangan peribadi berbentuk derma, zakat serta lain-lain. Ini merupakan satu bentuk kebajikan yang mulia.

Sumbangaan yang diberikan mampu memberikan peluang serta kebaikan buat ramai insan yang memerlukan di luar sana. Malah, syarikat juga mampu peroleh manfaat disebalik perkara baik yang dilakukan.

Bak kata pepatah:

“The more you give, the more you get back.”

4. Menjadi Sumber Inspirasi.

Usahawan yang berjaya semestinya menjadi inspirasi ramai orang tanpa mengira peringkat umur. Masyarakat lebih tertarik untuk terikut dan mencontohi individu yang berjaya. Sehinggakan ada sesetengahnya menjadikan usahawan sebagai idola.

Dari situ ia mampu memberikan motivasi serta keazaman yang tinggi buat masyarakat untuk capai kejayaan seperti para usahawan. Oleh sebab itulah usahawan sentiasa melakukan kerja-kerja sosial melibatkan masyarakat. Ingat, ada manfaatnya yang tersendiri dalam melakukan apa-apa kebaikan.

5. Meningkatkan Pendapatan Negara.

Hasil daripada perniagaan yang dihasilkan oleh usahawan mampu meningkatkan pendapatan negara. Cukai yang dihasilkan sangat membantu untuk pertumbuhan ekonomi negara berjalan. Antara cukai yang terhasil daripada perniagaan adalah cukai jualan, duti eksport, duti import, cukai pendapatan dan lain-lain lagi yang berkenaan.

 Perkara ini tidak dapat disangkal lagi. Perniagaan yang diusahakan dalam Malaysia berupaya untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang merangkumi kepelbagaian sektor. Lebih meningkat perkembangan sesebuah perniagaan, lebih tinggi cukai yang perlu dibayar.

6. Membangunkan Negara.

Aktiviti keusahawanan yang berterusan menjadikan segala sumber yang ada digunakan dengan berkesan. Nilai terhadap sumber yang digunakan juga akan bertambah dengan drastik. Contohnya, kawasan-kawasan terbiar mula dibangunkan untuk pembinaan kilang, kawasan rekreasi dan lain-lain.

Dengan membangunnya sesebuah kawasan untuk perindustrian atau pelancongan, banyak pertumbuhan lain yang akan menyusul antaranya perhotelan, perumahan, komplek beli belah serta pembangunan-pembangunan lain.

7. Meningkatkan Pertukaran Wang Asing.

Perniagaan yang telah menembus pasaran luar sangat membantu untuk menghasilkan pendapatan pertukaran wang asing kepada negara. Usahawan yang mengusahakan industri pelancongan antara sektor yang yang menyumbang kepada peningkatan ini.

8. Mengurangkan Kebergantungan Kepada Negara Luar.

Dengan kepelbagaian idea dan inovasi, banyak produk akan terhasil sekaligus mampu membangunkan banyak industri yang menghasilkan pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan. Dengan membangunnya pelbagai industri di dalam Malaysia, kita mampu kurangkan kebergantungan terhadap barang import. Masyarakat di Malaysia juga boleh menikmati kepelbagaian produk tempatan dan mula menyokong produk keluaran Malaysia.

Ini antara sumbangan yang dilakukan oleh para usahawan untuk masyarakat dan negara. Tidak kira sama ada sumbangan yang diberikan itu dalam nilai kecil atau besar, ia tetap merupakan usaha yang murni dan wajar dicontohi.

Untuk berada di tahap seorang usahawan berjaya, ada beberapa kemahiran penting yang perlu dikuasai. Kemahiran tersebut adalah:

1. Komunikasi.

Gagal untuk berkomunikasi adalah salah satu kunci kegagalan dalam memimpin sesebuah organisasi.” – Datuk Wira Dr Azizan Osman.

Seseorang yang bergelar usahawan perlu mempunyi kemahiran komunikasi yang baik. Komunikasi yang baik mampu menimbulkan keyakinan dan kepercayaan pelabur, pelanggan, pekerja serta masyarakat. Kemahiran berkomunikasi amat penting untuk digunakan semasa berhubung dengan pihak berkepentingan.

Sesetengah orang berpendapat tahap komunikasi seseorang usahawan itu juga menjadi kayu ukur kepada prestasi serta pencapaian syarikat.

2. Kemahiran Membuat Keputusan.

You cannot make progress without making decisions.” – Jim Rohn, usahawan Amerika Syarikat.

Membuat keputusan adalah salah satu tugas penting yang agak berat. Pemikiran yang kritis serta rasional diperlukan di dalam diri seorang usahawan. Dengan adanya nilai tersebut, seseorang usahawan berupaya untuk membuat keputusan dengan tepat.

Tugas sebagai usahawan bukanlah suatu yang mudah. Mereka tidak hanya menjaga kepentingan diri sahaja, ramai orang yang perlu dijaga dan diberikan perhatian. Oleh sebab itu, kemahiran membuat keputusan sangat penting dan perlu dimiliki oleh para usahawan.

3. Menggunakan Masa.

Jangan menunggu waktu yang tepat untuk melakukan sesuatu. Kerana waktu tidak akan pernah  tepat bagi mereka yang menunggu.” – Datuk Wira Dr Azizan Osman.

Kemahiran menggunakan masa juga merupakan satu perkara yang perlu diberikan perhatian. Gunakan masa yang ada sebaiknya untuk menghasilkan lebih banyak idea serta inovasi untuk menghasilkan produk yang lebih baik dan menepati citarasa pengguna. Gunakan masa anda dengan optimum.

Ingat!

“Siapa cepat, dia yang dapat.”

Pengurusan masa yang baik telah dipelajari oleh para usahawan jika mereka pernah bermula dari bawah. Banyak pengajaran yang diperolehi hanya berkaitan masa. Oleh sebab itu, para usahawan tidak pernah kering idea kerana mereka menggunakan masa yang ada dengan sebaiknya.

Usahawan juga perlu menggunakan masa yang ada untuk memerhati segala perjalanan kerja yang berlangsung di dalam syarikat. Ini bagi memastikan segala projek berjalan dengan lancar mengikut perancangan yang telah dibuat.

 Perniagaan merupakan satu tanggungjawab sosial yang banyak diceburi oleh pelbagai kaum dan merupakan satu fardhu kifayah yang perlu ditunaikan oleh umat Islam.

Diharap dengan perkongsian ini, anda dapat mengetahui dengan lebih dekat lagi tentang sumbangan yang dilakukan oleh usahawan terhadap masyarakat dan negara. Dengan kemahiran dan ilmu yang baik, seseorang usahawan itu mampu membawa perniagaanya ke persada dunia dan lebih memberi banyak manfaat kepada masyarakat dan negara.

Artikel terbaru

2 Comments

  • Once I initially commented I clicked the -Notify me when new comments are added- checkbox and now every time a remark is added I get 4 emails with the same comment. Is there any means youll be able to remove me from that service? Thanks!

Leave a Reply