Usahawan, sejauh mana anda kenal dengan pekerja anda? Ada bos, akan jaga jarak dengan pekerja mereka. Ada bos yang lain pula, akan rapatkan hubungan untuk mereka lebih mesra dan selesa.
Bukanlah rapat seperti kawan, tapi cukup menjalinkan hubungan yang baik untuk membuatkan suasana di tempat kerja lebih positif.
Betul, mempunyai hubungan yang baik antara bos dan pekerja sangatlah penting. Tapi sebelum itu, anda wajib untuk lebih kenal dengan mereka.
Sebagai pemilik perniagaan, anda pasti sudah tahu betapa pentingnya kepimpinan yang berkesan. Komunikasi adalah kunci nombor satu bagi pemimpin perniagaan yang hebat.
Tetapi, kemahiran komunikasi yang kuat lebih dari sekadar pandai bercakap semata-semata, ia juga perlukan tindakan dari anda untuk dicontohi.
Penting untuk kenal pekerja anda
Sejauh mana pekerja anda tahu tentang asal-usul perniagaan anda?
Kenapa anda menubuhkan perniagaan, pengorbanan yang anda terpaksa buat, apa yang memberi inspirasi kepada anda untuk berjaya dan apa misi dan visi syarikat, adakah mereka dah tahu?
Mereka mungkin dah tahu banyak perkara tentang syarikat dan diri anda sendiri, tapi sejauh mana pula anda kenal dengan pekerja anda? Adakah mereka sekadar pekerja di mata anda?
6 tips bina hubungan baik dengan pekerja
1. Mudah didekati
Sejauh mana pekerja anda mempunyai akses untuk berjumpa dengan anda secara berkala? Pertimbangkan untuk selalu buat perjumpaan dengan pekerja agar lebih dekat dengan mereka.
Mungkin ada yang malu untuk meluahkan masalah depan ramai orang, buat sesi one on one untuk beri peluang pada mereka untuk mendekati anda secara peribadi.
Dengan cara ini, pekerja akan rasa lebih selesa untuk berkongsi idea, masalah, atau pendapat mereka dengan anda.
Tapi ingat ye, anda tak perlu jadi orang yang sentiasa selesaikan masalah pekerja sehingga masalah anda sendiri terabai. Mereka akan berpotensi untuk tidak berdikari dan bergantung harap kepada anda.
Macam anak kita, kalau dimanjakan mereka tak tahu nak selesaikan sesuatu perkara sendiri. Begitu jugalah dengan pekerja.
2. Beri perhatian pada minat mereka
Selain waktu bekerja, semua pekerja anda mempunyai dunia luar mereka yang tersendiri. Mereka juga ada situasi yang menyentuh emosi atau apa sahaja.
Tak salah untuk anda ambil tahu tentang aktiviti mereka, beri semangat serta galakan. Tunjukkan sokongan yang ikhlas untuk membina kepercayaan dan hubungan. Lagipun, ini adalah perkara yang betul untuk dilakukan.
3. Peka dengan keadaan di tempat kerja
Tiada siapa yang mahu bekerja dalam persekitaran yang sukar atau mencabar. Walaupun tidak semua perniagaan mampu melakukan pengubahsuaian besar atau naik taraf besar, membuat penambahbaikan kecil kepada persekitaran kerja menunjukkan keprihatinan terhadap pekerja anda.
4. Adakan aktiviti sosial di luar pejabat
Bersosial dengan pekerja di luar waktu kerja boleh membawa kepada penemuan yang mengejutkan dan berharga. Seperti dapat hasil melombong emas.
Siapa sangka admin yang pendiam itu sebenarnya pakar sosial media dan banyak hasilkan content yang menarik. Ada yang lain pula, rupanya boleh bercakap tiga bahasa!
Sebahagian daripada penemuan luar ini mungkin memberi manfaat kepada perniagaan anda.
5. Wujudkan sistem ganjaran yang mampu dicapai
Melaksanakan sistem ganjaran bukan sahaja bakal menggalakkan produktiviti. Ia juga berfungsi sebagai barometer untuk melihat sejauh mana pekerja anda bermotivasi, yang seterusnya memberi anda lebih banyak gambaran tentang gaya kerja dan motivasi mereka.
6. Berikan dorongan pada impian mereka
Sewaktu ditemuduga dulu, pernah tak anda dapat soalan “Di mana anda melihat diri anda dalam masa lima tahun lagi?”. Atau pernah tak anda yang buat temuduga dan bertanyakan soalan yang sama?
Jika difikir-fikirkan balik, apa yang mereka jawab adakah jujur dari hati atau jawapan tu wujud sebab nak dapat jawatan yang dimohon?
Inilah masanya untuk dapatkan jawapan sebenar dari tuan punya badan. Bila berbual dengan lebih santai, jawapan yang diberikan sudah pasti lebih jujur.
Dan tak salah jika anda berikan khidmat nasihat percuma bagaimana mereka boleh capai matlamat yang diimpikan.
Bina kepercayaan pekerja
Hubungan yang baik antara majikan dan pekerja adalah asas kepada persekitaran kerja yang positif.
Bukan sahaja dapat meningkatkan kepuasan kerja mereka tetapi juga meningkatkan prestasi dan kesetiaan mereka terhadap syarikat.
Ambil masa untuk mengenali pekerja anda secara individu menunjukkan bahawa anda menghargai mereka bukan hanya sebagai pekerja tetapi sebagai individu yang menyumbang kepada kejayaan syarikat.
Ini juga membantu membina kepercayaan dan rasa hormat yang lebih mendalam, yang merupakan asas kepada hubungan kerja yang baik.
Semoga artikel ini memberikan anda inspirasi dan panduan untuk membina hubungan yang lebih baik dan positif dengan pekerja anda.