“Syukur alhamdulillah dapat bantuan (Richwell) ini, selepas suami tak bekerja sedikit sebanyak membantu kami sekeluarga.
“Bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban kami sekeluarga, terima kasih banyak-banyak.” – Puan Zaimah Zakaria, 46 tahun.
Begitulah luahan salah seorang daripada 250 penerima bantuan kotak makanan keperluan asas daripada Pertubuhan Kebajikan RichWell (RichWell) dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor di Flat PKNS, Seksyen 7 Shah Alam baru-baru ini.
RichWell merupakan pertubuhan kebajikan di bawah RichWorks yang mensasarkan bantuan kemanusiaan, kebajikan dan kemasyarakatan sejak 2008 lagi.
Beliau bersama suami dan dua anaknya terkesan dengan krisis pandemik ini apabila suaminya tidak bekerja berikutan kilang tutup dan dua anaknya yang sukar mendapat peluang pekerjaan.
Selain itu, menurut Puan Rozita Nordin, 53 tahun, memang membantu sangat sumbangan yang diberikan RichWell ini.
Suaminya ketika PKP 3.0 lalu juga tidak dapat bekerja hingga tiada punca pendapatan. Nasib baik, Puan Rozita juga bekerja dan sedikit sebanyak dapat membantu keluarganya dengan seorang anak istimewa.
“Memang membantu sangat bantuan ini, satu keperluan barangan asas buat kami,” jelasnya lagi.
Terdahulu ketika penyerahan sumbangan RichWell kepada kariah Masjid Seksyen 7 di Flat PKNS, Naib Presiden Program Mentorship RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks), Tuan Hafiz Jasmi memberitahu, penyerahan sumbangan tersebut dibuat bagi anggota masyarakat yang terkesan dalam krisis pandemik.
Katanya, sumbangan diperolehi itu datangnya daripada para usahawan dan peserta yang bersama RichWorks.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Zakat Selangor, Saipolyazan M Yusop; Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Mohd Sabirin Mohd Sarbini; Timbalan Pengerusi & Ketua Amil Kanan, Masjid Seksyen 7, Ahmad Azmi Ibrahim dan Naib Presiden Penjenamaan dan Content RichWorks, Om Karini Karean.
Tambah Tuan Hafiz, sumbangan itu tidak akan berhenti di sini saja, RichWell masih lagi menerima sumbangan daripada usahawan-usahawan dan orang ramai yang prihatin dengan kesusahan dihadapi anggota masyarakat dalam masa ini.
Sementara itu, Tuan Saipolyazan memberitahu, pihaknya mengharapkan lebih banyak syarikat- syarikat lain dapat tampil seperti RichWorks bersama Lembaga Zakat Selangor membantu meringankan beban mereka memerlukan apatah lagi ketika pandemik.
“Selain daripada membayar zakat, mereka juga boleh melakukan program bersama dan dapat merasa sendiri bagaimana agihan dibuat.
“Pada hari ini melalui kerjasama pertubuhan kebajikan di sini, penerima akan datang dan ambil terus kotak makanan dan beredar sama ada pandu lalu atau ambil sendiri,” jelasnya.
Menurutnya, Pengerusi RichWorks yang juga mentor usahawan, Datuk Wira Dr. Azizan Osman merupakan antara penyumbang zakat di Selangor yang menjadi contoh baik untuk bantu orang dan lahirkan lebih ramai usahawan berjaya malah menunaikan zakat.
Untuk keterangan lanjut dan bersama-sama menyumbang kepada keluarga memerlukan, layari richworks.com/RichWellBantu.