Ubah 5 Mentaliti Ini Jika Nak Berjaya Dalam Perniagaan

Zaman dulu, usahawan berniaga hanya sekadar berniaga. Tak apa jika tak buat jualan yang tinggi, cukup sekadar mampu sara diri dan keluarga. 

Tapi hari ini dunia dah berubah, usahawan dah tak boleh ada mentaliti yang sama macam zaman mak ayah kita dulu. Persaingan tidak sengit seperti sekarang, jadi mereka boleh berniaga dengan tenang. Lebih-lebih lagi tanpa media sosial, mereka tak tahu apa yang sedang berlaku di tempat lain berbanding hari ini di mana segalanya di hujung jari.

Jangan terkejut, walaupun dunia teknologi semakin canggih, masih ramai usahawan yang ada mentaliti seperti dulu. Nak jualan yang menguntungkan, tapi terlalu pasrah dengan hasil yang tak seberapa tanpa usaha dan tak nak beri komitmen. 

Jauhi mentaliti ini jika nak bina perniagaan yang berjaya!

5 mentaliti yang usahawan perlu diubah

1. Asalkan ada keuntungan, ok je dengan perniagaan hanya cukup makan

Nampak macam ok tapi selalu mengeluh apa yang dihasilkan tak setimpal dengan tenaga yang dikeluarkan. Tak ada langsung inisiatif untuk tingkatkan perniagaan. 

Jangan teruskan mentaliti yang sebegini jika tak nak terus berada di tempat yang sama. Nak jadi usahawan yang berjaya tak boleh rasa terlalu selesa dengan apa yang ada dalam tangan sekarang.

2. Tak apa tak daftar perniagaan atau syarikat

Mentaliti ini selalunya ada pada usahawan yang berniaga secara kecil-kecilan, berniaga atas talian mahupun perniagaan di rumah. Usahawan perlu ingat, walau di mana anda berniaga dan tak kira apa yang anda niagakan, daftar perniagaan itu adalah kewajipan. 

Bukan saja memudahkan isytiharkan cukai nanti, malah dapat mengelakkan dari jenama dicuri oleh pesaing. Jangan marah bila pesaing daftarkan jenama anda jika anda ambil ringan bahagian mendaftarkan jenama ini.

3. Ilmu perniagaan tak penting pun

Paling bahaya bila usahawan sudah mula ada mentaliti sebegini! Usahawan dan ilmu tak boleh dipisahkan. Mungkin 10 tahun dulu anda dah ada ilmu perniagaan yang buatkan bisnes anda berjaya, namun perniagaan hari ini dah tak sama. 

Terlalu banyak perubahan yang berlaku sepanjang 10 tahun ini. Jika masih boleh diguna pakai, kenapa bisnes ‘stuck’ dan susah nak ‘grow’?

4. Pemasaran tak penting, kalau pelanggan nak dia akan cari

Jika perniagaan anda satu-satunya dalam dunia, anda boleh ada mentaliti yang sebegini. Jika tidak, lupakan. Pesaing berlumba-lumba nak buat pelanggan nampak, jika tak buat sesuatu, perniagaan anda akan tenggelam. 

Lama-lama pelanggan yang sedia ada juga tak mustahil pergi pada pesaing anda dek kerana selalu nampak jenama mereka.

Lebih-lebih lagi sekarang kita berada di zaman segalanya di hujung jari. Jika susah nak dapatkan produk atau perkhidmatan anda, maka mereka berkemungkinan akan pergi kepada pesaing.

5. Buat perniagaan untuk diri sendiri dan tak perlukan pewaris

Sayanglah penat lelah bangunkan perniagaan, tapi tak ada matlamat jangka panjang. Usahawan perlu ada pewaris yang menyambung perniagaan apabila anda tiada di dunia kelak atau mungkin ingin bersara awal. 

Bila sebut pewaris, mesti ramai ingat perlu diwariskan kepada anak-anak. Tak, pewaris tidak semestinya datang dari ahli keluarga terdekat! Ia mungkin juga dari kalangan pekerja, rakan atau sesiapa sahaja yang anda selesa dan mahu wariskan perniagaan anda agar tak hilang ditelan zaman.

Usahawan perlu ada mentaliti orang berjaya

Nak berjaya kenalah ada mentaliti orang yang berjaya. Jika tak, susah anda nak berada di suatu tahap yang tinggi. Duduklah di bawah sampai bila-bila. 

Cari mentor dengan hasil yang terbukti: Kita bukannya pakar, jadi carilah yang pakar untuk tunjukkan arah tuju perniagaan anda. Jangan sombong dalam menuntut ilmu, nanti sendiri yang rugi!

Daftarkan perniagaan: Banyak kelebihan buat usahawan dan perniagaan jika mendaftar. Dengan cukai perniagaan yang dikenakan, usahawan pasti akan lebih bersemangat untuk naikkan jualan syarikat.

Terlibat dengan teknologi: Hari ini, teknologi sangat berkuasa. Jika tak memanfaatkan teknologi yang ada, sangat rugi. Mulakan dengan yang mudah dulu iaitu penggunaan media sosial sebagai platform pemasaran anda.

Ubah mentaliti untuk membentuk kejayaan perniagaan

Perjalanan ke arah kejayaan bukan hanya mengenai strategi perniagaan, tetapi juga melibatkan perubahan dalam cara kita memandang cabaran dan peluang. Dengan mengubah mentaliti untuk menjadi lebih positif, adaptif dan fokus pada pertumbuhan, anda sedang membuka pintu kepada potensi yang belum tergali.

Setiap kegagalan adalah satu langkah mendekati kejayaan dan setiap cabaran adalah peluang untuk belajar dan berkembang. Dengan melihat cabaran sebagai penjuru menuju kejayaan, anda sedang mencipta landasan untuk pencapaian yang berkekalan dalam perniagaan.

Ubahlah mentaliti, raihlah kejayaan dan teruslah menjadi agen perubahan dalam dunia perniagaan.