12 Cara Memulakan Perbualan Untuk Usahawan Introvert

Untuk seorang introvert, memulakan perbualan perniagaan mungkin nampak seperti cabaran besar. Ye lah, nak bina perniagaan yang berjaya, kenalah ada networking dengan orang-orang yang dah berjaya. 

Lebih-lebih lagi bila pergi ke majlis yang melibatkan ramai pakar-pakar perniagaan. Rugi besar kalau tak ambil peluang untuk bertanya tentang rahsia kejayaan mereka!

Tak kisahlah anda introvert atau extrovert bukan penghalang untuk keinginan membina rangkaian profesional dengan usahawan yang hebat. Melalui rangkaian, anda boleh mendapatkan gambaran yang lebih luas tentang dunia perniagaan.

12 cara memulakan perbualan seorang introvert

1. Buat senarai usahawan yang anda kenal dan ingin kenali

Dalam sebuah majlis yang besar, tak perlu untuk menegur semua usahawan. Mulakan dengan orang yang anda kenali diikuti dengan siapa anda ingin kenali. Buat senarai dan asingkan mengikut kepentingan terlebih dahulu.

2. Hubungi usahawan yang anda kenali

Hubungi kenalan anda selepas membuat senarai. Mulakan dengan perbualan ringan seperti bertanya khabar dan perkembangan perniagaan. Ini agar anda tidak kekok untuk memulakan perbualan di majlis itu nanti.

Beberapa perbualan telefon boleh menjadikan anda lebih selesa dengan setiap kenalan dan membawa kepada pertemuan secara peribadi atau maya.

3. Minta kenalan kenalkan anda kepada usahawan lain

Inilah masanya untuk menggunakan kuasa networking. Jika anda membina hubungan yang baik dengan seseorang, mereka tak akan teragak-agak untuk memperkenalkan anda kepada kenalan mereka yang mungkin jauh lebih hebat.

4. Tetapkan matlamat dalam setiap perbualan

Tetapkan matlamat apa yang anda cuba capai dalam sesi networking. Jika anda menghadiri majlis untuk mendapatkan pekerjaan, fokus pada kemahiran, pengalaman dan pencapaian anda yang menjadikan anda pekerja yang baik. Jika ingin kembangkan perniagaan, fokus kepada pencapaian dan apa nilai, visi serta misi syarikat anda.

5. Anjurkan sesi networking anda

Anjurkan sesi networking tidak rasmi di kawasan anda untuk membina hubungan dengan usahawan tempatan. Bila anda yang mengetuai majlis, anda akan terasa lebih yakin  untuk menguasai perbualan dengan semua usahawan yang hadir. 

6. Pastikan sentiasa awal

Datang ke majlis lebih awal dari yang lain untuk kuasai suasana. Memulakan perbualan dengan kumpulan yang lebih kecil sebelum lebih ramai tetamu hadir supaya anda berasa lebih selesa mengadakan perbualan dengan orang lain. 

7. Hadiri majlis networking dengan kenalan usahawan lain

Pergi ke acara rangkaian dengan kenalan yang dipercayai untuk memulakan perbualan dengan usahawan lain. Bercakap dengan seseorang yang anda kenali membolehkan anda meluangkan lebih banyak masa pada sesi itu dan mereka boleh menyokong kemahiran dan perniagaan bagi pihak anda. 

8. Tanya soalan tentang perniagaan

Tanya soalan tentang pengalaman perniagaan mereka. Soalan ini menunjukkan minat anda dalam perbualan yang anda lakukan dengan mereka dan ia memberi mereka kebebasan untuk terbuka dengan anda sepanjang perbualan.

9. Jadi diri sendiri

Jika anda seorang introvert, tunjukkan diri sebenar anda. Akui bahawa anda seorang introvert dan anda baru dalam rangkaian untuk mereka lebih jelas. Jangan berlakon, nanti akan memakan diri. Dan jangan terlalu selesa dengan siapa diri anda, bimbang tidak disenangi.

10. Banyakkan mendengar

Mendengar ialah kemahiran penting untuk dikembangkan apabila anda membuat rangkaian dengan usahawan lain kerana ia mewakili minat anda terhadap latar belakang mereka. Beri perhatian penuh kepada perbualan dan berikan diri anda masa untuk menyerap apa yang mereka beritahu anda. 

11. Jangan guna telefon pintar

Simpan telefon pintar anda di dalam poket atau beg anda apabila berada di khalayak ramai. Nikmati makanan dan minuman yang disediakan di dalam majlis atau tempat anda bertemu kenalan usahawan anda. 

Beri masa dalam 1 jam untuk semak telefon jika ada perkara-perkara penting yang anda perlu tahu.

12. Ucapkan terima kasih

Hantar email atau pesanan ringkas untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana bertemu dengan anda. Jangan lupa untuk dapatkan kad perniagaan mereka apabila anda bertemu dengan mereka supaya anda mempunyai maklumat hubungan yang betul. 

Tunjukkan minat anda untuk terus berhubung dengan mereka dan bagaimana anda merancang untuk menggunakan nasihat mereka untuk memajukan kerjaya anda.

Gunakan strategi yang bersesuaian

Dalam dunia perniagaan yang dinamik, usahawan introvert turut mempunyai peluang untuk membangunkan hubungan, menjalin rangkaian dan mencapai matlamat perniagaan mereka. 

Dengan memahami dan mengamalkan strategi yang sesuai dengan personaliti introvert, usahawan dapat membuka pintu kepada peluang baru, menjana idea inovatif dan membina jaringan yang kukuh. Semoga setiap langkah yang diambil membawa kejayaan.