11 Rahsia Bina Perniagaan Perkongsian Yang Menguntungkan Dan Rendah Risiko

Boleh percaya ke rakan kongsi bisnes

Menceburi bidang perniagaan memang banyak cabarannya. Antara liku-liku dugaan dalam berniaga yang kita sering dengar adalah dikhianati atau ditipu. Ini adalah risiko biasa yang sering terjadi tidak kira jika bisnes anda kecil atau besar. Inikan pula jika anda menubuhkan atau melebarkan sayap perniagaan perkongsian melalui rakan kongsi? 

Namun, melantik rakan kongsi tidak dapat dielakkan jika kita mahukan sokongan dalam memperkasakan perniagaan. Yang sedihnya, ramai berdepan masalah apabila rakan kongsi yang diharap memberi sokongan rupanya hanya menjadi beban dan masalah dalam syarikat. Ini sangat merugikan masa dan wang ringgit malah silap haribulan ianya melibatkan kredibiliti jika ia membabitkan campur tangan mahkamah.

Sebab itu ramai yang mempersoalkan tentang keboleh percayaan membina perniagaan perkongsian. Bagi RichWorks sendiri, kami berdepan dengan pelbagai keluhan dan masalah para usahawan dan sudah pasti menjadi tanggungjawab kami untuk memberi anda pendedahan dan bimbingan tentang isu ini.

Sebelum kita pergi jauh, kami ingin mengingatkan anda bahawa boleh percaya atau tidak pada rakan kongsi bukan bergantung pada nasib anda semata-mata tetapi persediaan anda sendiri. Jadi, fahami dahulu apakah keperluan perkongsian sebelum kita mengupas risiko yang perlu anda hadapi.

Antaranya keperluan rakan kongsi ialah:

  • Membantu mengurangkan kos permulaan perniagaan (start-up cost).
  • Mudah untuk menguruskan perniagaan kerana adanya pembahagian tanggungjawab dan juga kerja pengurusan.
  • Risiko yang akan dihadapi boleh dibahagi sama rata dengan rakan kongsi.
  • Rakan kongsi anda akan menjadi pembekal semangat dan motivasi untuk perniagaan.
  • Membantu mengembangkan idea baru dalam syarikat
  • Berkongsi dan saling menyumbang kebolehan dan kepakaran yang berbeza dalam syarikat.
Perniagaan Perkongsian, Partnership, Joint Venture

Sudah pasti apabila melihat pada keperluan perkongsian, semua terasa indah belaka. Namun rakan kongsi juga mempunyai risiko tersendiri. Kami senaraikan risiko yang selalu terjadi di kalangan perniagaan perkongsian. Antaranya

  • Anda tidak mempunyai hak mutlak dalam syarikat. Semuanya dibahagi mengikut persetujuan bersama.
  • Keuntungan yang diperolehi juga perlu dibahagi ikut persetujuan.
  • Apa saja tindakan rakan kongsi anda, anda juga boleh terbabit sama ada baik atau buruk.
  • Merugikan masa dan wang ringgit jika rakan kongsi berpecah atau bermasalah.
  • Perselisihan faham mudah berlaku jika tiada komunikasi yang baik antara anda dan rakan kongsi.

Melihat pada risiko yang ada ini, ramai peniaga dan usahawan tertanya-tanya bagaimana membina perkongsian yang boleh dipercayai? Kami senaraikan buat anda perkara yang perlu diambil kira untuk membina perkongsian yang kukuh dan saksama untuk anda dan rakan kongsi anda.

11 Perkara Yang Perlu Diambil Kira Untuk Membina Perniagaan Perkongsian Yang Menguntungkan

  1. Buat rujukan sendiri kelebihan rakan kongsi tersebut
    Fikir masak-masak dan senaraikan kelebihan usahasama bersama rakan kongsi tersebut. Jangan sekali buat persetujuan hanya kerana anda percaya suara hati anda. Dalam perniagaan perkongsian, suara hati bukanlah jaminan.

    Sebaliknya, senaraikan adakah rakan tersebut mempunyai kekuatan networking, pengalaman, kepakaran, pengetahuan luas, mempunyai masa untuk syarikat dan tidak pasif. Kelebihan-kelebihan ini akan membantu membina syarikat yang berdaya saing. 
  2. Kenali lebih dalam partner atau rakan kongsi anda.
    Setelah melihat kelebihan beliau, jangan tutup mata pada kekurangan yang mungkin tidak anda sedari. Jangan ambil mudah siapa rakan kongsi anda. Hanya kerana rakan kongsi tersebut mempunyai akademi yang tinggi atau pengalaman luas, tidak semestinya semua kepercayaan perlu diletak di bahu mereka.

    Sebaliknya, selidik dengan terperinci rekod jenayah jika ada, dakwaan mahkamah atau rekod kewangan (Sama ada black list atau tidak) sebelum melakukan apa-apa perjanjian. Kedengaran seperti anda mementingkan diri tetapi inilah yang harus anda lakukan untuk melindungi perniagaan perkongsiandan masa depan bersama. 
  3. Kenal lama atau ada pertalian darah bukan jaminan
    Ini adalah hakikat yang ramai peniaga terlepas pandang. Pada sesetengah peniaga, hanya kerana kenalan lama dan saudara-mara atau adik beradik, semua urusan diserahkan membuta tuli.

    Hinggakan perjanjian pun cukup dengan perjanjian mulut. Sebaliknya, anda harus bina komunikasi bertulis supaya tiada pergaduhan kemudian hari yang boleh memutuskan pertalian kekeluargaan atau persahabatan.
  4. Tidak semestinya anda dan rakan kongsi perlu sama dari segala segi
    Memang betul sebagai rakan kongsi, sudah pasti kita mengharapkan setiap pendapat saling seiring namun anda perlu tahu, persamaan yang berlebihan akan mengurangkan kreativiti antara anda dan rakan kongsi anda.

    Seelok-eloknya, anda dan mereka harus meraikan perbezaan terutama dari segi pendapat, kepakaran dan juga pendidikan.
  5. Kena bersemuka dan berbincang secara terbuka
    Perkara utama dalam sesebuah perkongsian adalah saling satu tujuan dan sefahaman. Jadi, setelah masing-masing bersetuju untuk pengkongsian, adalah sangat penting untuk kedua belah pihak untuk selalu bersemuka dan berbincang semua perkara berkenaan peranan masing-masing.

    Berbincang dan berterus-terang dalam semua perkara. Sekiranya tidak dibincangkan dan disimpan di dalam hati takut nanti perkara kecil itu akan menjadi punca masalah di masa depan.

    Ini juga penting untuk mengelakkan salah faham dan bermasam-muka dan timbul curiga antara satu sama lain di kemudian hari. Bukan itu sahaja ianya pasti akan melibatkan kerugian masa dan duit juga. 
  6. Kena jelas penunjuk prestasi syarikat
    Kena ada kayu pengukur supaya jelas pada dua-dua parti yang bekerjasama. Bayangkan kalau target atau projection tidak dicapai? Pasti akan berlaku salah faham dan perselisihan pendapat.

    Adalah lebih baik untuk jelas tentang jangkaan dan sumbangan masing-masing sebelum tandatangan sebarang perjanjian. Penunjuk prestasi akan menyediakan pemahaman yang lebih jelas tentang prestasi syarikat kepada kedua-dua pihak.

    Sekiranya ada sebarang perubahan atau prestasi tidak seperti yang diharapkan, perbincangan segera boleh dibuat untuk mencari jalan penyelesaian yang lebih baik.
  7. Rancang jalan keluar dari business dengan teliti
    Selalunya bila nak bina usaha sama, peniaga akan fokus pada perkara yang indah-indah sahaja untuk dibincangkan. Mereka lupa untuk merancang sekiranya berlaku perpecahan atau ingin tamatkan kontrak perjanjian.

    Jadi, sebelum apa-apa terjadi, periksa dulu adakah undang-undang ada termaktub berkenaan usaha sama ini? Apakah langkah yang adil bagi kedua-dua belah pihak sekiranya perkara ini berlaku?

    Adakah satu pihak yang ingin meneruskan business ini patut membeli share company dari pihak yang satu lagi? Atau bagaimana yang sepatutnya boleh dipersetujui bersama dan dimasukan dengan jelas ke dalam perjanjian usahasama ini?

    Memang kita tidak mahu berpisah apabila sudah merancang untung keuntungan bersama tapi siapa boleh jamin sesuatu hubungan akan berkekalan?

    Jadi daripada mengelakan jatuh ditimpa tangga adalah lebih baik semua kemungkinan yang boleh terjadi disebut dan dipersetujui bersama di dalam perjanjian usaha sama.
  8. Lantik penasihat yang betul
    Kadang-kadang, peniaga main pilih sahaja sesiapa untuk jadi penasihat dalam hal usaha sama ini. Selalunya ada yang sanggup rujuk penasihat yang tidak pernah pun buat usaha sama atau paling teruk, business pun tak pernah buat.

    Kalau syarikat besar, mereka akan melantik badan penasihat yang profesional yang bertauliah untuk jadi penasihat. Yurannya juga tinggi. Sebenarnya, jika anda ingin jimat kos,  memadai dengan melantik peguam yang berpengalaman dalam bidang usaha sama ini.

    Cuma pastikan peguam tersebut ada result yang bagus, berpengetahuan, kreatif dan yang penting apa yang dinasihati itu praktikal dan mengikut lunas undang-undang sedia ada. 
  9. Tanda Tangan surat perjanjian
    Setelah semua langkah di atas dilaksanakan, tibalah masa untuk tanda tangan perjanjian. Senaraikan semua kepentingan untuk diri kita dan syarikat dalam pelbagai aspek seperti tujuan sebenar usaha sama ini, pembahagian keuntungan, tanggungan kerugian, pembahagian kos, jumlah share, skop-skop kerja dan tanggungjawab.

    Bersikap teliti dan senaraikanlah juga tentang syarat-syarat tertentu yang perlu dipatuhi kedua belah pihak, perkara-perkara yang dipersetujui dan tidak dipersetujui kerana semua ketelitian ini akan melindungi anda dan rakan kongsi di masa hadapan. 
  10. Buat rekod yang lengkap
    Rekod yang lengkap ini termasuklah agreement, semua minit mesyuarat, financial rekod, operation rekod dan semua rekod yang ada. Kena jelas siapa yang akan memegang rekod-rekod ini, di mana mereka simpan, siapa boleh access pada semua rekod ini.

    Begitu juga bagaimana record ini dijaga dan siapa bertanggung jawab menjaganya. Semua peniaga tahu kepentingan menjaga rekod tapi dalam hal usaha sama rekod akan jadi sangat berguna bila berlaku perkara tidak diingini di masa depan.

    Jika kedua-dua pihak melantik key leader masing-masing untuk bertanggung jawab pada usaha sama ini, akan jadi masalah bila rekod tidak disimpan dengan teratur. Bila mereka tiada lagi, pengganti akan ada masalah untuk mencari semula rekod ini atau terpaksa tanya merata tempat untuk korek semula bukti.

    Rekod-rekod juga sentiasa dipantau dan tidak boleh sesuka hati tambah, padam atau betulkan tanpa persetujuan atau pengetahuan kedua belah pihak.
  11. Be professional!
    Setelah anda dan rakan kongsi merancang, membina, membuat persetujuan bertulis, dan mempunyai sistem rekod yang bagus, inilah masa untuk menjayakan usahasama anda dengan penuh dedikasi.

    Jangan mudah tersentap atau terasa atas teguran dan juga arahan. Jadilah rakan kongsi yang profesional! Apa sahaja untuk kebaikan syarikat diterima dengan hati terbuka tanpa perlu emosi berlebihan. Dengan itu, segala masalah dapat diselesaikan dengan mudah dan perancangan syarikat dapat dilaksanakan tanpa perlu berhenti separuh jalan.

Dengan semua perancangan teliti ini, anda lebih bersedia berdepan dengan risiko dalam perkongsian. Apa yang penting adalah anda dan rakan kongsi dapat meneruskan usahasama tanpa perlu saling ragu dan bertelagah. Sentiasalah memikirkan bersama akibat dari tindakan supaya perniagaan perkongsian anda tidak terjejas hanya kerana masalah dari anda mahupun rakan kongsi.

Artikel terbaru

Leave a Reply