Peperangan…dunia digemparkan apabila Presiden Russia, Vladimir Putin, pada 24 Februari mengumumkan ‘operasi tentera’ sudah bermula di Ukraine dan mengarahkan tentera negara itu meletakkan senjata serta menyerah.
Putin, dalam perutusan khas melalui televisyen, mengisytiharkan perang terhadap Ukraine tanpa menghiraukan desakan Barat dan global sejak kebelakangan ini supaya jangan melakukannya.
Menurut Ketua Ekonomi Bank Islam Mohd Afzanizam Abdul Rashid krisis Rusia-Ukraine akan menyaksikan lebih banyak impak terhadap ekonomi global terutamanya dalam fasa pemulihan akibat pandemik COVID-19.
Kesannya kepada harga minyak mentah dunia ketika ini yang melepasi harga AS$100 setong. Perkara itu amat berkait rapat tentang Rusia itu sendiri sebagai sebuah negara pengeluar utama minyak dan gas.
Selain minyak, inflasi makanan yang sedang membelenggu pengguna global dijangka menjadi bertambah buruk apabila serangan Russia ke atas Ukraine mengancam penghantaran beberapa tanaman ruji dunia.
Ukraine dan Russia secara bersama mengeluarkan lebih suku daripada dagangan gandum dunia, selain satu perlima jualan jagung.
Jika perdagangan global terganggu, ia bermakna kos lebih besar bagi peladang di seluruh dunia, yang seterusnya menyebabkan inflasi makanan menjadi lebih tinggi.
Peperangan terdahulu juga menyaksikan kesan buruk terhadap ekonomi.
1. Perang dunia pertama
Walaupun peperangan tidak berlaku di Malaya, tanah jajahan British semasa Perang Dunia pertama antara 1914-1918 rakyat biasanya mengalami penderitaan ekonomi, pergolakan sosial serta penindasan terhadap hak asasi mereka.
Ahli sosiologi terkemuka Profesor Emeritus Dato’ Abdul Rahman Embong berkata tonggak ekonomi Malaya ketika itu, getah dan timah, terjejas teruk akibat peperangan itu hingga membawa kepada penderitaan teruk terhadap pekerja dalam industri itu terutamanya pekebun kecil Melayu dan pekerja lombong timah.
Penjajah British juga mengenakan sekatan akhbar ketika itu selain menyekat eksport getah kepada musuhnya Jerman, Austria dan Turki.
Larangan eksport itu dikenakan di seluruh dunia untuk menghalang musuh daripada mengimport bahan itu melalui negara-negara berkecuali.
Malah Amerika Syarikat, yang ketika itu tidak memihak kepada mana-mana negara, juga tidak terkecuali daripada sekatan itu.
Bagaimanapun Amerika diberikan kelonggaran apabila menyertai peperangan memihak ke Britain pada tahun 1917.
Industri motor Amerika amat bergantung kepada import getah daripada empayar British.
2. Bosnia-Herzegovina
Bosnia-Herzegovina pernah menjadi perhatian dunia akibat peperangan antara 1992 hingga 1995 yang mengorbankan ratusan ribu nyawa.
Negara itu turut dikenali sebagai kumpulan negara Balkan terdiri daripada Serbia, Croatia, Slovenia dan Montenegro.
Serangan ke atas negara itu meletus selepas Presiden Republik Srpska, Radovan Karadzic mahu mengawal wilayah Serbia serta sebagai cara untuk mengusir rakyat Muslim Bosnia yang disebut sebagai Turks.
Karadzic dibantu Ratko Mladic iaitu pemimpin Tentera Republik Srpska dikatakan menyimpan dendam kepada Turki Uthmaniah yang pernah menakluk wilayah Balkan, termasuk Serbia.
Dalam konflik itu, etnik Serbia berusaha untuk melenyapkan etnik Muslim dan Croatia.
Selepas peperangan selama tiga tahun, perkembangan ekonomi dan pembangunan Bosnia amat perlahan. Kekurangan peluang pekerjaan meningkatkan lagi kadar kemiskinan.
Majoriti golongan dewasa Bosnia membuat kerja kampung manakala belia berhijrah ke negara jiran terutama Jerman untuk mencari pekerjaan.
Peperangan itu juga memusnahkan infrastruktur serta melumpuhkan ekonomi rakyat Bosnia.
3. Perang Afghanistan
Peperangan yang berlarutan selama 20 tahun itu bermula apabila Amerika Syarikat menyerang Afghanistan kerana didakwa melindungi kumpulan pengganas nombor satu dunia, Al-Qaeda yang menyerang bangunan World Trade Center pada tahun 2001.
Akhirnya, Amerika Syarikat terpaksa keluar dari Afghanistan selepas dikatakan gagal untuk menentang pengganas hasil daripada peperangan yang tercetus.
Kos yang terpaksa ditanggung oleh Amerika Syarikat dalam perang ini menyebabkan negara itu mengalami lost opportunity selama 2 dekad sepanjang perang Afghanistan.
Kira-kira USD 2.3 trilion wang yang dilaburkan terhadap perang boleh digunakan untuk membentuk pendidikan, kesihatan dan peluang pekerjaan kepada rakyat Amerika Syarikat itu sendiri.
Peperangan memberi kesan ekonomi jangka panjang, bukan sahaja kepada negara yang terlibat secara langsung malah ekonomi global.
Negara yang tidak aman akan menggugat tahap sosioekonomi negara dan dalam jangka masa yang panjang perkembangan ekonomi juga akan terbantut.
Sehubungan itu, negara harus menyediakan keselamatan dalam negara yang baik dan melindungi negara dari ancaman luar dengan kekuatan pertahanan demi kelangsungan ekonomi yang mampan.
2 Comments
Kebanyakan peperangan yang berlaku di dunia ini tidak ada satu pun yang akan mendatangkan manfaat kepada mana-mana negara yang terlibat. Kesan peperangan itu juga kadangkala akan mempengaruhi negara lain yang tidak berperang dari segi ekonomi dan sosial.
Keadaan ini akan menyebabkan kesukaran kepada seluruh masyarakat dunia dalam menjalani kehidupan harmoni dan aman. Banyak perniagaan terjejas dan harga barang naik kerana stok berkurangan.
Terima kasih diatas perkongsian.