Masa sangat berharga buat kita semua termasuk usahawan. Salah satu cabaran besar buat mereka adalah soal pengurusan masa bagi membahagikan untuk kerja, hiburan dan sebagainya.
Cuba lihat balik apa yang anda lakukan dalam sehari itu? Berapa banyak masa digunakan untuk melakukan kerja, hiburan dan perkara-perkara lain.
Jawab dengan jujur, sebab tiada siapa akan mempersoalkan bagaimana anda menggunakan masa itu cuma ia dapat memberi kesan kepada matlamat anda nanti.
Jika anda lebih banyak meluangkan masa bagi perkara lain berbanding perniagaan, maka ia pastinya akan memberi kesan kepada hasil. Jadi kenapa anda masih mahu ‘membuang masa’ melakukan perkara-perkara lain itu?
Terdapat beberapa kemungkinan antaranya anda tidak kisah dengan keadaan sekarang atau tidak percaya boleh berjaya. Susah untuk berusaha dalam perniagaan bila anda tidak melihat hasilnya.
Hal ini menyebabkan kebanyakan perniagaan gagal pada tahun pertama disebabkan berasa ‘bosan’ sebab tak nampak results yang dimahukan.
Berapakah nilai masa anda? Cuba bayangkan jika masa itu dinilaikan dengan duit. Jika sesaat bersamaan RM1 dan dalam sehari anda mempunyai sekitar 86,400 saat bersamaan RM86,400.
Jika anda tak mengunakan dengan baik masa itu, maka duit yang akan diterima nanti juga akan lebih rendah daripada RM86,400. Cuba kira berapa duit anda perolehi dalam sehari?
Tips nak elak membazir nilai masa anda
Mengapakah nilai masa itu sangat penting? Pertama sekali kita perlu sedar bahawa apa yang anda hendak kecapi iaitu impian dan matlamat. Fikirkan matlamat jangka pendek dan panjang agar semuanya berbalik kepada keutamaan yang perlu disusun.
Ramai usahawan berjaya telah mengorbankan bukan soal duit sebaliknya masa. Mereka mengorbankan masa daripada melakukan aktiviti yang mengganggu dan tidak berikan nilai kepada soal perniagaan.