Mendaftarkan Perniagaan

Di mana-mana negara anda berada, perniagaan harus didaftarkan secara legal dan mempunyai lesen sah. Ini akan memudahkan perniagaan anda dirujuk bagi urusan pencukaian dan juga untuk mendapatkan bantuan atau dana di kemudian hari.

Di Malaysia, pendaftaran boleh dibuat secara atas talian melalui perkhidmatan Ezbiz Online ataupun pergi ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Bawa dokumen pengenalan lengkap untuk memudahkan urusan anda.

Syarat kelayakan untuk mendaftar adalah:

  1. Pemilik perniagaan merupakan warganegara atau penduduk tetap dan mestilah berumur lapan belas (18) tahun dan ke atas; dan
  2. Perniagaan yang didaftarkan perlu memenuhi Seksyen 2 : Tafsiran “perniagaan” di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 & Kaedah-kaedah Pendaftaran Perniagaan 1957;
  3. Perniagaan yang dijalankan mestilah beroperasi di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Di samping itu, anda perlu mematuhi prosedur bagi pendaftaran perniagaan iaitu:

  1. Pemilik atau rakan kongsi hendaklah mendaftarkan perniagaan (pemilik tunggal/perkongsian) tidak lewat 30 hari dari tarikh permulaan perniagaan.
  2. Perniagaan boleh didaftarkan menggunakan nama sendiri atau nama tred.
    1. Nama sendiri – Perniagaan yang menggunakan nama sendiri (Bentuk Perniagaan: Milikan Tunggal) seperti di kad pengenalan. (Contoh: Ali Ahmad Enterprise)
    1. Nama Tred – Perniagaan yang menggunakan nama tred yang dicipta/direka bagi tujuan komersial (Bentuk Perniagaan: Milikan Tunggal atau Perkongsian tidak melebihi dua puluh (20) orang. (Contoh: Indah Maju Construction, Restoran Seri Nelayan, Nirmala Trading & Services).

Untuk anda lebih bersedia, kami lampirkan prinsip pendaftaran dan permohonan nama perniagaan di SSM secara ringkas untuk rujukan iaitu:

Elakkan Penggunaan Bahasa Dan Ejaan Yang Salah

Nama hendaklah menggunakan laras Bahasa dan ejaan yang betul. Penggunaan campuran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris adalah dibenarkan jika penggunaannya adalah untuk menggambarkan jenis perniagaan dan mestilah mengikut laras Bahasa yang betul seperti: Padu Construction bukan Construction Padu atau Kedai Dobi Power bukan Power Kedai Dobi. Sekiranya nama mengandungi perkataan yang bukan dari Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris atau rekaan, makna atau asal usul perkataan tersebut hendaklah diberikan.

Elakkan Nama Yang Tidak Terlalu Umum

Nama yang dipohon mestilah mempunyai nama identiti dan tidak terlalu umum. Nama adalah dianggap umum jika menggunakan perkataan biasa (common words) atau hanya menunjukkan aktiviti. Contohnya; Technology Resources.

Elakkan Dari Menyerupai Nama Perniagaan Yang Telah Didaftarkan Atau Dalam Simpanan

Nama Perniagaan adalah dikatakan sama/serupa jika hanya dibezakan oleh penggunaan perkataan atau simbol seperti simbol ‘&’, palang atau titik. Contohnya, A-B-C Trading adalah sama dengan A.B.C. Trading.

Bukan Nama-Nama Yang Kurang Sopan, Menghina atau Mengelirukan

Pastikan nama yang dicadangkan tidak mengandungi atau mempunyai unsur-unsur nama yang lucah atau dianggap menghina atau mencerca. Anda juga tidak boleh meletakkan nama yang dianggap mengelirukan dari segi identiti kerana tidak seiring dengan jenis perniagaan. Sebagai contoh: Restoran Maju (Menjalankan aktiviti menjual pakaian) atau Karate Academy (Menjalankan aktiviti menjual makanan)

Sebenarnya, banyak lagi prinsip pemilihan nama yang perlu anda patuhi ketika mendaftar di SSM. Namun yang paling penting adalah anda daftarkan perniagaan anda ini. Anda perlu tahu bahawa seseorang yang menjalankan perniagaan tanpa mendaftarkan perniagaan adalah melakukan suatu kesalahan di bawah Akta Pendaftaran perniagaan 1956 dan jika disabit kesalahan dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua (2) tahun atau kedua-duanya.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh menjengah ke laman web SSM sendiri iaitu www.ssm.com.my

Artikel terbaru

Leave a Reply