Nak jadi majikan pilihan atau buangan? Sebelum itu anda tahu syarikat manakah yang menjadi pilihan utama sebagai tempat kerja terbaik? Menurut Linkedin, 10 tempat kerja pilihan utama di dunia antaranya ialah Amazon, Facebook, Google, Apple, Netflix dan The Walt Disney Company.
Dan anda nak tahu sebab utama kenapa pekerja tak sehaluan dan berhenti kerja? Antara sebab utamanya ialah, suasana tempat kerja yang tak seperti diinginkan, sindrom ‘bad boss’ di mana penyelia atau ‘immediate supervisor’ yang tak selari dengan pekerja, budaya syarikat yang tak memenuhi kehendak pekerja, dan pakej gaji dan faedah yang tak seperti diharapkan.
Nak jadi majikan bukan satu perkara yang senang. Anda sebagai seorang usahawan yang juga seorang majikan. Anda tak boleh nak besarkan perniagaan anda jika masih nak bekerja seorang diri.
Bermula daripada seorang kakitangan, lama kelamaan anda akan ada satu pasukan atau team. Bila sudah ada team, akan ada pelbagai masalah baru. Paling kerap ialah anda terpaksa berhadapan dengan kakitangan yang mudah keluar masuk.
Masalah kadar staf berhenti kerja yang tinggi boleh menjadi kayu pengukur kepada kemampuan anda sebagai majikan untuk sediakan persekitaran kerja yang terbaik untuk kakitangan anda.
Berdasarkan kajian yang pernah dijalankan oleh Harvard Business Review, terdapat peningkatan sebanyak 19% peratus kakitangan yang kekal bersama majikan dalam tempoh setahun kajian dijalankan.
Ianya berhasil apabila majikan mula menitikberatkan tentang perhubungan yang kuat dan rapat di antara majikan dan pekerja.
Antara perkara lain yang penting untuk anda menjadi majikan pilihan ialah:
- Persekitaran Kerja Yang ‘Mesra Pekerja’
Faktor imbuhan dan faedah yang diberikan oleh majikan sebenarnya bukanlah faktor utama yang menyebabkan majikan menjadi pilihan pekerja. Ramai pekerja kata, itu penting tapi tak ada gunanya juga jika dapat gaji besar tetapi terpaksa bekerja dalam persekitaran yang tak bagus, hubungan sesama pekerja dan majikan sentiasa tegang, keadaan tak bersih, stress berganda, susah untuk mendapatkan bantuan dan nasihat sesama pekerja dan majikan.
Dalam hal ini, ramai pekerja bersetuju untuk tolak ansur antara imbuhan dan persekitaran yang baik. Persekitaran yang baik menimbulkan rasa seronok untuk bekerja. Ramai pekerja sukakan ketelusan antara majikan dan pekerja.
Mereka juga mahukan majikan untuk jelaskan misi dan visi syarikat supaya mereka tahu ke mana hala tuju, dan kenapa mereka perlu buat apa yang mereka perlu buat setiap hari.
- Latihan Dan Bimbingan
Satu keperluan penting yang dikehendaki oleh pekerja ialah peluang untuk mendapatkan bimbingan dan latihan. Pekerja sebenarnya mahu diri mereka sentiasa ada peningkatan dan ada ilmu yang lebih baik untuk melakukan kerja dengan lebih baik. Ini juga untuk membantu mereka memenuhi ‘expectation’ dari majikan.
Latihan dan bimbingan juga merupakan sesuatu yang dibanggakan oleh pihak pekerja di mana, mereka rasakan bahawa majikan sangat mempercayai kebolehan mereka untuk buat sesuatu kerja dengan lebih baik jika mereka ada ilmu yang lebih baik.
Latihan dan bimbingan adalah satu faktor yang dilihat boleh meningkatkan semangat kerja. Sesi motivasi dan ‘sharing session’ dari founder atau pemilik syarikat juga dapat menjadikan pekerja lebih faham dan jelas tentang keseluruhan organisasi. Mereka juga akan rasa lebih erat dan kenal majikan mereka serta tidak rasa seperti robot yang dipaksa kerja setiap hari.
- Budaya dan Identiti
Syarikat besar seperti Google dan Facebook adalah majikan yang mempunyai pekerja dari latar belakang budaya yang berbeza. Pekerja di dua buah syarikat ini, dan beberapa syarikat lain ada yang datang dari negara lain, berbeza bangsa dan latar belakang sosial.
Dengan mewujudkan satu budaya dan identiti dalam sesebuah syarikat, pekerja akan rasa mereka adalah sama, berada dalam satu budaya dan mempunyai identiti yang sama ketika di tempat kerja.
Ada juga majikan yang berjaya menwujudkan budaya dan identiti yang terbaik sehingga pekerja merasa bangga menjadi sebahagian dari syarikat tersebut.
- Aktiviti kumpulan dan Riadah
Sedikit hiburan tak akan menjejaskan prestasi syarikat malahan boleh menjadikan pekerja lebih kreatif, lebih gembira dan mahu memberikan yang terbaik kepada syarikat.
Aktiviti sukan, aktiviti bersama keluarga semua pekerja dan aktiviti hiburan termasuklah percutian dilihat sebagai satu faktor sesebuah majikan dipilih menjadi majikan terbaik.
Seperti di Richworks, kami sangat bangga dengan budaya kerja dan identiti di sini. Walaupun kami masih lagi mencuba untuk menjadikannya lebih baik dari semasa ke semasa, tapi kami sangat jelas dengan apa yang perlu lakukan, apa semangat yang perlu tonjolkan, dan apa ‘contribution’ yang perlu beri sebaiknya.
Anda juga boleh rancang dari sekarang apa yang anda perlu buat untuk menjadi majikan pilihan. Adakah anda mahu menjadi seorang bos yang suka marah-marah atau pun bos yang dihormati oleh staf. Pilihan di tangan anda.