Kumpul Pahala Bukan Dosa, 5 Etika Guna Media Sosial

Kumpul Pahala Bukan Dosa, 5 Etika Guna Media Sosial

Hanya dihujung jari. Mungkin ketika sedang baca artikel ini pun anda membacanya menerusi telefon pintar sahaja. Tak perlu buka laptop pun dah boleh baca.

Perkakasan dan peralatan yang berasaskan peranti bercirikan kecekapan teknologi sudah menjadi lumrah masa kini.

Setiap kerja harian kita banyak bergantung kepada pelbagai perkakasan moden yang memberikan kemudahan dalam kehidupan.

Hal itu termasuk dalam bidang komunikasi dan perhubungan yang jelas menunjukkan peralatan peranti moden menjadi medium utama digunakan.

Malahan, cara penyebaran maklumat dan berita juga menjadi satu sebaran meluas menerusi penggunaan media sosial seperti Facebook.

Laman media sosial seolah-olah menjadi medan serba guna untuk menyalurkan apa sahaja bahan untuk tatapan orang lain.

Dalam kebaikkan ada juga yang guna untuk tujuan yang tidak sepatutnya.

Namun, sejak kebelakangan ini didapati terdapat segelintir penggunaan media sosial yang lebih ke arah menaburkan benih fitnah dan menyebarkan dengan sewenang-wenangnya sesuatu bahan laporan yang kurang dipastikan kesahihannya.

Demikian jugalah dengan sesuatu yang berbentuk hasutan, sindir-menyindir dan menyiarkan bahan ala provokasi melampau.

Situasi seperti ini sangat jauh daripada kebaikan dan amat terlarang dalam agama.

 Seharusnya platform media sosial diguna pakai sebagai antara saluran yang menjuruskan kepada kebaikan dan kemanfaatan.

Sekarang kita sedang melalui era kehidupan yang berbentuk zaman infobesity yang merujuk kepada maksud lambakan maklumat.

Maklumat apa sahaja dengan mudahnya diperoleh hanya dengan sentuhan jari-jemari sahaja.

Justeru, media sosial yang memuatkan bahan berunsur fitnah dan unsur negatif akan cepat tersebar luas, sekali gus mampu mempengaruhi corak gaya pemikiran anggota masyarakat.

Sesungguhnya, semasa menggunakan media sosial ada ketika kita tidak sedar yang kita sedang melakukan sesuatu yang ditegah di sisi agama.

Lantaran mengikut emosi, apa sahaja luahan hati terhambur meniti jemari untuk mengukir kata tanpa batas pertimbangan.

Pusat Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkongsi 5 etika penggunaan media sosial.

1.   Tidak menceburkan diri terhadap perkara tidak diketahui

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati nurani, semuanya itu akan diminta pertanggungjawabannya”. Surah al-Isra’ ayat 36.

2.   Jangan timbul kekeliruan dalam masyarakat

Tidak berkata atau mengeluarkan pendapat terhadap khabar angin yang akan mendorong kepada fitnah dan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

 Inilah kaedah yang sering digunapakai oleh musuh-musuh negara dan para pengkhianat anak bangsa.

Mereka menyebarkan berita-berita palsu atau memutarbelitkan maklumat yang tidak diketahui sumbernya sehingga sukar untuk mengenalpasti sama ada ianya benar atau palsu.

Bahkan mereka juga menambah info-info lain berbentuk gambar atau video bertujuan untuk menjadikannya sebahagian dari maklumat asal seterusnya menyebabkan kesulitan kepada pembaca membezakan maklumat yang betul atau salah.

Tujuan pemalsuan ini berkemungkinan disebabkan faktor politik, sosial, ekonomi atau ketenteraan selain daripada kebencian, dendam dan ingin mengancam keamanan masyarakat.

3.   Elak melakukan sindiran dan penghinaan

Mencegah diri daripada melakukan sindiran dan penghinaan terhadap orang lain sama ada dalam bentuk gambar atau komen kerana menghormati orang lain itu merupakan satu kewajipan di sisi syariat dan moral.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

” Wahai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan lelaki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela antara satu sama lain dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandungi ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. Surah al-Hujurat ayat 11.

4.   Menjaga aib

Mengelakkan diri dari menyebarkan sesuatu perkara tentang seseorang terutama perkara yang dituntut syariat untuk menjaganya dan tidak menyebarkannya kepada orang ramai seperti aurat, aib dan sebagainya kerana ia terkait dengan perihal penyebaran perkara-perkara keji kepada masyarakat.

Ini merupakan suatu dosa yang telah diberi amaran oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

“Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar perbuatan yang sangat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, mereka mendapat azab yang pedih di dunia dan di akhirat “. Surah an-Nur ayat 19.

5.   Leka dan lalai

Menjaga waktu agar tidak membuang masa pada perkara yang tidak berfaedah. Tidaklah sesuai bagi seseorang manusia menghabiskan umurnya untuk berbual-bual di media sosial tanpa memberi faedah kepadanya.

 Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tidak berguna.” Surah al-Mukminun ayat 3.

Jangan lupa gunakan laman media sosial untuk meningkatkan jualan seperti pemasan. Jadikan ia mengaut keuntungan perniagaan bukan dosa. 

Artikel terbaru

2 Comments

Leave a Reply