Kisah Penjual Kasut di Afrika: 5 Pengajaran Buat Usahawan

kasut

Bayangkan satu hari anda dihantar ke satu tempat yang tidak dikenali untuk menjual kasut. Tempat baru yang tiada siapa mengenali anda.

Tiada pelanggan, tiada permintaan yang jelas dan yang lebih mencabar, tiada siapa pun di situ yang nampak produk anda sebagai satu keperluan untuk mereka.

Apa yang anda akan buat? Balik ke tempat asal anda dan terus putus asa? Atau anda akan mencipta peluang baru di tempat baru?

Kisah dua penjual kasut ini telah diceritakan berkali-kali dalam seminar, ceramah motivasi dan kelas keusahawanan. Tapi setiap kali ia disampaikan, mesej nya tetap kuat.

Kerana ia bukan sekadar cerita tentang kasut, tapi ia adalah cerita tentang cara kita melihat dunia. Dan apa yang lebih penting, bagaimana kita melihat diri sendiri dalam dunia ini.

Dua orang penjual kasut

Satu syarikat kasut antarabangsa mahu mengembangkan pasaran ke sebuah wilayah di Afrika. 

Sebagai langkah kajian awal, mereka telah menghantar dua orang wakil jualan ke wilayah tersebut. Misi mereka sama iaitu untuk menilai potensi pasaran dan laporkan sama ada projek itu patut diteruskan di wilayah tersebut atau tidak.

Karakter kedua-dua jurujual ini sangatlah berbeza.

Jurujual yang pertama, merupakan ejen jualan senior. Pengalaman bertahun-tahun menjual kasut menjadikan dia seorang yang praktikal, teliti dan realistik. Dia percaya pada angka, data dan sejarah jualan. Dia tak suka ambil risiko dan buang masa.

Jurujual kedua pula, jauh lebih muda. Baru beberapa tahun dalam syarikat, tapi dia dikenali sebagai seseorang yang sentiasa nampak benda dari sudut yang berbeza. Idea dia kadang-kadang pelik, tapi dia berani cuba untuk capai sesuatu yang diinginkan.

Jurujual pertama tiba di sebuah perkampungan kecil. Dia berjalan sepanjang hari, memerhati penduduk setempat. Satu perkara yang jelas dilihat, semua orang hanya berkaki ayam. 

Tidak kira dewasa atau kanak-kanak, tua atau muda, mereka adalah sama. Kasut bukan sebahagian dari budaya mereka di situ.

“Macam mana nak jual kasut di tempat yang orang tak pernah pakai kasut?” fikirnya.

Dalam kepalanya, dia dah nampak kegagalan. Orang di sini tak tahu pun apa itu kasut. Susah nak educate masyarakat yang baru nak mula. Nak cipta budaya baru lebih susah. Kos tinggi, dan pulangan belum tentu.

Petang itu, dia hantar laporan pendek ke HQ:

“Tiada pasaran untuk kasut di sini kerana semua orang tidak memakai kasut. Tiada potensi jualan di sini.”

Dan malam itu, dia tidur awal. Dalam hati, lega kerana yakin dia dah buat keputusan betul.

Setibanya jurujual yang kedua, keadaannya sama. Penduduk di situ hanya berkaki ayam. Tapi dia tidak hanya memerhati. 

Dia masuk ke kedai, dan berborak dengan penduduk setempat. Dia duduk minum air di warung kecil. Dia tanya soalan ringkas:

“Pernah tak kaki luka bila jalan jauh?”

“Masa musim hujan, tak sejuk ke bila jalan atas tanah basah?”

“Pernah tengok kasut tak?”

Dan dia perasan sesuatu. Ya, mereka belum kenal kasut. Tapi mereka ada masalah kaki luka, tapak merekah, tak selesa bila jalan jauh dan macam-macam lagi. 

Mereka belum pernah pakai kasut bukan sebab tak nak, tapi sebab tak kenal dan tak pernah ada sesiapa tunjukkan kegunaan serta nilai sebenar kasut.

Peluang depan mata

Jurujual kedua tahu, ini adalah peluang besar untuknya. Dia bukan sekadar nak jual kasut, malah nak jadi orang pertama yang memperkenalkan satu budaya yang baru iaitu solusi kepada masalah yang orang kampung sendiri tak tahu ia boleh diselesaikan.

Dia berjumpa dengan ketua kampung dan meminta izin untuk buat demonstrasi dengan memberi beberapa orang penduduk mencuba pakai kasut. 

Mereka rasa selesa dan rasa bergaya. Mereka mula faham kenapa kasut penting untuk mereka.

Budak sekolah yang dulu kaki selalu luka bila berjalan jauh, kini lebih selesa untuk mengejar ilmu. Orang tua yang dulu jalan perlahan sebab sakit kaki, kini boleh jalan lebih jauh.

Penduduk mula bercakap dari mulut ke mulut, satu kampung mula bertanya, “Di mana nak beli kasut tu?”

Tanpa berlengah, malam itu juga dia hantar mesej ke HQ:

“Pasaran ini sangat luar biasa! Tiada siapa pakai kasut, semua orang adalah pelanggan berpotensi. Minta hantar stok dan bahan promosi segera. Saya yakin kita boleh jadi jenama pertama ubah hidup mereka.”

Satu masalah, dua jalan penyelesaian

Dua orang jurujual, dihantar ke tempat yang sama. Tapi seorang tengok masalah, yang seorang lagi nampak peluang. Yang satu kecewa kerana orang tak kenal produk, yang satu lagi teruja kerana orang belum pernah diperkenalkan dengan produk.

Jurujual pertama pulang dengan tangan kosong. Jurujual kedua pulang dengan impian yang sedang mula menjadi kenyataan.

Apa kita boleh belajar sebagai usahawan?

1. Mindset tentukan hala tuju

Dua orang jurujual tengok perkara yang sama, tapi apa yang mereka nampak dan jalan penyelesaiannya adalah berbeza. Dalam bisnes, mindset kita yang tentukan sama ada kita nak teruskan atau berhenti. Yang membezakan antara orang berjaya dan orang gagal, selalunya bukan modal tapi cara tengok situasi.

2. Pasaran ‘baru’ selalunya adalah ‘lombong emas’

Bila semua orang belum guna, bermakna kau boleh jadi yang pertama. Lihat sahaja Grab, Shopee dan TikTok, mereka masuk pasaran yang belum matang. Mereka cipta keperluan yang orang tak tahu mereka perlukan.

3. Jangan tunggu orang tanya baru nak jual

Kalau pelanggan tak tahu dia perlukan sesuatu, anda yang kena tunjuk kenapa dia perlukan produk tersebut. Jangan tunggu demand, tapi anda kena cipta demand.

4. Orang tak beli produk tapi beli solusi

Kalau jurujual kedua hanya fokus jual kasut, dia takkan berjaya. Tapi dia fokus pada apa masalah orang kampung, dan tunjuk bagaimana kasut selesaikan masalah mereka. 

5. Kalau anda tak mula, orang lain akan mulakan

Dalam dunia perniagaan, kalau anda takut nak masuk pasaran baru, orang lain akan masuk dan mendahului anda. Bila mereka dah bina jenama dulu, anda dah terlambat.

Buat pilihan yang betul

Kalau anda diberi peluang yang sama, apa tindakan anda? Nak jadi seperti jurujual yang pertama atau kedua? Atau mungkin anda baru sedar tindakan jurujual kedua adalah yang terbaik?

Akan ada banyak peluang yang kita nampak, tapi kita abaikan kalau kita malas berfikir. Kadang-kadang, rezeki bukan tak ada, cuma kita tak nampak.

Beri peluang pada diri anda untuk bangkit. Jika anda rasa penting untuk ubah hidup dan berfikir seperti jurujual kedua tapi tak tahu langkah pertama, daftar ke program Transformasi360: Bangkit Dari Badai pada 5-7 September ini.

Artikel berkaitan

Leave a Reply