Perjalanan sebagai usahawan tak sah kalau tak ada cabaran dan perlukan kemahiran. Satu perkara yang pasti, jika nak maju kita tak boleh berhenti belajar.
Kemahiran yang anda miliki hari ini mungkin cukup untuk bertahan, tetapi untuk berkembang lebih jauh anda perlu sentiasa meningkatkan pengetahuan yang lebih besar.
Sama ada anda baru memulakan perniagaan atau sudah lama dalam industri, memperbaiki kemahiran adalah langkah penting untuk menjana perkembangan bisnes dan mencipta peluang yang baru.
Bayangkan bisnes anda seperti pokok. Kalau nak ia tumbuh subur, anda perlu beri baja, air dan cahaya yang cukup. Begitu juga dengan diri anda sebagai usahawan, kemahiran anda adalah baja yang akan menyuburkan bisnes supaya terus berkembang.
Soalnya sekarang, bagaimana nak bermula?
4 cara kembangkan kemahiran
1. Membaca untuk tambah ilmu dan kemahiran
Pemimpin perniagaan yang berjaya, selalunya memang suka membaca. Mereka sibuk, tak banyak masa lapang, tapi mereka akan mencari masa untuk membaca.
Contohnya, Bill Gates baca 50 buku setahun, Mark Cuban luangkan 3 jam sehari membaca, dan Warren Buffet pula baca 500 muka surat setiap hari!
Lagi banyak anda membaca, lagi banyak perkara yang akan anda tahu. Setiap bahan bacaan, topiknya mungkin ada yang sama. Tapi isinya belum tentu sama. Anda hanya akan tahu bila anda dah mula membaca.
Kenapa membaca penting untuk usahawan? Artikel di Forbes pernah kupas perkara ini, dan ada beberapa sebab yang kukuh:
- Buku keusahawanan penuh dengan ilmu teknikal, pandangan yang berharga serta motivasi buat usahawan yang nak berjaya. Contohnya, buku tentang kegagalan bisnes boleh bantu anda elak buat kesilapan sama yang boleh mengelak dari kegagalan yang berulang.
- Dapat mendalami sesuatu topik. Membaca perlukan ketenangan dan bila anda dalam keadaan yang bertenang, lebih mudah nak fokus jika nak dibandingkan dengan menonton video.
- Membaca bagus untuk otak dan membantu bina laluan saraf baru, tingkatkan daya ingatan dan tambahkan kosa kata.
Ada cara untuk luangkan masa membaca buat orang yang selalu sibuk dengan tugasan harian, iaitu curi masa! Kalau rasa sibuk sangat, cuba tengok balik jadual anda. Kurangkan masa tengok TV atau skrol media sosial.
Luangkan masa ketika rehat makan tengah hari, sebelum tidur atau masa menunggu seperti dalam jammed, menunggu giliran di klinik dan sebagainya.
2. Manfaatkan masa dengan dengar Podcast
Podcast adalah cara terbaik untuk belajar sambil buat aktiviti lain. Ada banyak topik yang boleh anda pilih, termasuk bisnes, pemasaran dan strategi pengurusan. Pilih je mana-mana speaker yang anda suka.
Antara manfaat mendengar podcast:
- Belajar dari pakar-pakar industri.
- Ikuti perkembangan terkini dalam dunia bisnes.
- Dapatkan tips dan strategi pengurusan.
- Tingkatkan motivasi dan inspirasi diri.
Kalau nak bandingkan dengan membaca, dengar podcast kurang fokus dari membaca. Lebih-lebih lagi bila buat dua kerja dalam satu masa. Tapi tak salah pun sebab anda hanya perlu mendengar.
Anda boleh dengar semasa memandu, bersenam atau buat kerja rumah. Contohnya, kalau anda berjalan pagi, sambil itu bolehla dengar podcast. Anda akan dapat dua manfaat dalam satu masa!
3. Cari mentor yang terbukti hasilnya
Mentor ni adalah orang yang anda boleh jadikan rujukan serta panduan. Mereka mempunyai banyak ilmu serta pengalaman yang boleh membantu anda membina bisnes yang berjaya.
Konsep mentor bukan sesuatu yang baru, sejak zaman Homer’s Odyssey lagi dah ada!
Zaman sekarang, lagilah mudah nak dapatkan mentor yang bagi panduan untuk bisnes anda. Tapi pastikan anda pilih mentor yang betul untuk kembangkan kemahiran bisnes anda. Jangan sekadar tangkap muat je, pastikan duit dilaburkan untuk sesuatu yang berbaloi.
Pelaburan untuk ilmu, insya-Allah akan memberi manfaat yang lebih untuk bisnes anda.
4. Hadir acara yang menggalakkan sesi ‘networking’
Acara seperti ini biasanya ada penceramah jemputan yang berkongsikan ilmu terkini dalam industri. Selain itu, anda boleh bersembang dengan peserta lain dan berkongsi ilmu serta pengalaman masing-masing.
Dengan ini, anda juga mungkin secara tak langsung dapat mencari idea atau jalan untuk menyelesaikan masalah serta cabaran dalam bisnes yang anda sedang jalankan.
Acara seperti ini tidak berlaku dengan kerap. Bila ada peluang, gunakan sebaiknya. Jangan sombong, pastikan anda bertanya apa yang perlu. Tapi, sesi seperti ini bukan hanya untuk menerima saja. Anda juga perlu memberi ilmu dan pengetahuan yang ada kepada usahawan lain yang memerlukan.
Jangan berhenti belajar
Kesimpulannya, nak kembangkan kemahiran untuk perkembangan bisnes perlukan ilmu. Untuk ada ilmu, kita perlu belajar. 4 cara di atas adalah antara cara yang boleh digunakan untuk belajar dan tingkatkan kemahiran bisnes.
Belajar adalah proses sepanjang hayat, tak ada tarikh luput untuk menimba ilmu dan meningkatkan kemahiran. Lebih-lebih lagi untuk kita yang nak kembangkan bisnes. Memang perlukan usaha, tapi hasilnya sangat berbaloi.
Bila nak give up, selalu ingat bahawa orang yang berjaya adalah orang yang buat sampai jadi. Orang yang gagal pula akan berhenti separuh jalan dan cari sesuatu yang baru berulang kali.
Jadi, jangan berhenti belajar! Semakin banyak ilmu, semakin jauh anda boleh pergi dalam dunia bisnes ini.