Kelebihan membaca ayat al-Quran ialah setiap huruf dikira satu kebaikan yang akan dilipatgandakan menjadi 10 kebaikan.
Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Siapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, maka baginya satu kebaikan dengan bacaan itu dan satu kebaikan digandakan menjadi 10 kebaikan yang serupanya. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (Riwayat al-Tirmizi)
Kelebihan membaca itu jelas mendapat ganjaran pahala yang besar sekalipun seseorang itu tidak faham bahasa Arab.
Justeru, mana-mana surah di dalam al-Quran boleh dibaca pada bila-bila masa yang sesuai tetapi tidak boleh mengkhususkan waktu dan kelebihan tertentu melainkan ada dalil sahih yang menjelaskan perkara berkenaan.
Apa yang jelas, malam Jumaat atau hari Jumaat disunatkan kita membaca Surah al-Kahfi berdasarkan dalil hadis yang darjatnya sahih daripada Nabi SAW.
Pertama: “Barang siapa membaca al-Kahfi pada malam Jumaat, nescaya cahaya akan meneranginya antara dirinya hingga ke Baitul Atiq (Ka’bah).” (Riwayat ad-Darimi)
Kedua: “Barang siapa membaca al-Kahfi pada hari Jumaat, nescaya cahaya akan meneranginya selama waktu antara Jumaat yang satu ke Jumaat berikutnya.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)
Surah ini mempunyai 110 ayat, dan namanya diambil dari ayat ke-9 apabila disebut tentang orang orang yang berada di dalam gua (Kahfi).
5 kelebihan surah Al-Kahfi:
1. Terpelihara daripada dajjal
Antara kelebihan Surah al-Kahfi adalah seperti yang diriwayatkan Abu Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang menghafal sepuluh ayat daripada awal Surah al-Kahfi akan terpelihara daripada dajjal.” (Riwayat Muslim)
Dalam riwayat Abu Dawud pula seperti yang dikatakan oleh Qatadah, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang menghafal ayat akhir daripada Surah al- Kahfi akan terpelihara daripada fitnah Dajjal.”
Berdasarkan hadis itu, secara ringkasnya ada dua pendapat mengenai kelebihan membaca Surah al-Kahfi iaitu bacaan 10 ayat yang terawal dan 10 ayat terakhir.
Sepuluh ayat terawal memperihalkan mengenai kenyataan al-Quran dan keadaan orang yang kufur serta orang yang beriman terhadap al-Quran manakala 10 ayat yang terakhir pula menunjukkan natijah bagi mereka yang beriman dan kufur.
Dengan menghafal ayat awal dan ayat akhir surah itu akan menambahkan lagi keimanan bagi mereka yang benar-benar mentadabburkan ayat al-Quran serta mengharap pemeliharaan Allah SWT daripada fitnah dajjal.
Membaca Surah al-Kahfi pada hari Jumaat sangat digalakkan ke atas setiap Muslim tidak kira 10 ayat terawal mahupun 10 ayat terakhir atau sebahagiannya dan lebih baik membaca satu surah lengkap.
2. Dipancarkan cahaya untuknya antara 2 Jumaat
Daripada Abu Sa’id Al-Khudri RA:
“Barangsiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka akan dipancarkan cahaya untuknya di antara dua Jumaat.”
(HR Al-Hakim 2/368, al-Baihaqi 3/249. Ibnu Hajar kata ‘Hadis Hasan’ dalam Takhrij al-Azkar. Beliau kata hadis ini paling kuat tentang surah Al-Kahfi)
3. Ketenangan dan rahmat
Daripada al-Bara’ bin ‘Azib RA katanya,
“Ada seorang lelaki membaca surah al-Kahfi dan disisinya seekor kuda yang diikat dengan dua utas tali, kemudian dia nampak awan menaunginya, dan awan itu juga menaungi kudanya, tetapi kudanya lari daripada lindungan awan itu. Keesokannya lelaki itu pergi berjumpa dengan Nabi SAW lalu menceritakan apa yang telah berlaku kepadanya”,
Baginda pun bersabda,
“Perkara yang berlaku kepada engkau itu adalah al-Sakinah (ketenangan dan rahmat yang disertai dengan para malaikat) yang turun untuk mendengar bacaan ayat-ayat al-Qur’an”.
(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
4. Realiti kehidpuan
Menurut petikan buku Tafsir dan Tadabbur Surah Al-Kahfi tulisan Datuk Dr Haji Zahazan Mohamed, surah ini bukan sahaja menceritakan realiti kehidupan sebenar, tetapi membuktikan bahawa setiap yang dicatat dalam al-Quran itu bukanlah suatu kebetulan sebaliknya menjelaskan lagi setiap kebenaran.
Jika diteliti, surah ini mempunyai satu tema iaitu pertembungan antara iman dengan keduniaan.
5. Menghadapi ujian dan fitnah akhir zaman
Terdapat 4 kisah yang dsebutkan melalui surah Al-Kahfi iaitu:
i) Kisah penghuni gua – Mengisahkan tentang sekumpulan pemuda (Ashabul Kahfi) yang diuji keimanan sehingga berlindung dalam gua. Kisah ini menuntut kita agar bersahabat dengan orang soleh dan saling membimbing antara satu sama lain dalam memelihara akidah serta iman kepada Allah.
ii) Kisah 2 pemilik kebun – Mengisahkan tentang ujian dan fitnah harta benda yang menimpa mereka. Ia mengingatkan kita kepada kehidupan dunia yang akan musnah dan hari akhirat yang kekal selamanya.
iii) Kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir – Mengisahkan tentang ujian serta fitnah ilmu. Ia mengingatkan kita agar sentiasa mengamalkan sikap tawaduk dan rendah diri walaupun dikurniakan ilmu yang tinggi.
iv) Kisah Zulqarnain, Yakjuj dan Makjuj – Mengisahkan tentang Zulqarnain yang berhadapan ujian dan fitnah berkaitan kuasa. Ia mengingatkan kita kepentingan sikap tawaduk dan mengakui kekuasaan hanyalah daripada Allah SWT.
Setiap kisah ini mempunyai banyak pengajaran yang boleh dijadikan iktibar untuk kita semua.
Banyak kelebihan surah Al-Kahfi yang disampaikan melalui mesej yang amat berguna kepada manusia untuk dijadikan panduan dan peringatan.
Semoga kita sama-sama dapat mengambil iktibar dan pengajaran daripada surah ini.
4 Comments
3 LEARNING POINTS :
1. Al quran sbg pegangan dan panduan hidup bagi manusia yang beragama Islam.
2. Dengan menimba ILMU, kehidupan manusia akan lebih berfikiran luas dan lebih bermakna.
3. Jauhi sifat sombong dan riak walaupun dikurniakan ilmu yang tinggi.
– Al quran sbg pegangan dan panduan hidup bagi semua manusia kerana Al Quran adalah universal.
– Hindarkan sifat bodoh sombong pandai bongkak, bodoh tak boleh diajar pandai tak boleh ditegur.
– bantu membantu tingkatkan ekonomi dan kesejahteraan bersama.
Bagus tuan! Terima kasih kerana sudi kongsikan Learning Points tuan. Semoga bersama kita dapat amalkan setiap hari.
Bagus tuan! Terima kasih atas Learning Points tuan. Semoga kita dapat amalkan setiap hari.