Pagi-pagi dah tertekan, stres dengan kerja, anak-anak, pekerja. Apa yang serba tak kena tu?
Emosi terganggu ke? Tarik nafas, tenangkan fikiran jom baca mengenai emosi.
Emosi merujuk kepada suatu perasaan dan fikiran khusus, melibatkan biologi dan psikologis serta membawa kepada kecenderungan untuk bertindak. Emosi pada dasarnya adalah dorongan untuk bertindak.
Pensyarah Jabatan Pendidikan Perubatan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd Zarawi Mat Nor berkata, ‘Emotional Intelligence’ (EQ) mempunyai lima komponen yang terdiri daripada kesedaran diri, kawalan diri, motivasi diri, empati dan juga kemahiran sosial.
Kecerdasan emosi pula mementingkan keupayaan untuk menguruskan emosi sendiri, serta sejauh mana anda melihat dan berinteraksi dengan emosi orang lain.
Semak keputusan anda buat dengan buruk atau gagal kerana emosi
Di waktu anda tenang, cuba fikir dan renung-renungkan. Sewaktu emosi mempengaruhi keputusan dalam perniagaan, apa yang berlaku.
Adakah berbeza sewaktu anda lebih rasional?
Mungkin tidak menyenangkan untuk mengingati kenangan negatif, tetapi itu adalah komponen penting untuk menjadi pemimpin yang bertanggungjawab.
Adakah anda sedar pada saat peranan yang dimainkan oleh emosi anda dalam membuat keputusan yang lemah?
Jika ya, adakah anda telah membuat langkah membina untuk terus sedar tentang kecenderungan emosi yang sama menyebabkan anda melakukan keputusan salah sebelum ini.
Jika tidak, apakah jenis rutin mental yang boleh anda lalukan supaya emosi lebih selaras dengan emosi sendiri?
Sesetengah orang dilahirkan dengan kawalan emosi yang cemerlang, tetapi kita juga boleh belajar penguasaan emosi.
Jika anda mempunyai kesedaran terhadap tahap emosi ketika itu,lebih mudah untuk anda menahan diri daripada kemarahan dan melakukan tindakan atau keputusan dengan betul.
Jiwa penyayang mudah sebar kebaikan
Orang yang emosi paling cerdas adalah orang yang penuh dengan perasaan kasih sayang. Jiwa penyayang mudah untuk menebarkan kebaikan kepada orang lain kerana melalui kasih sayang akan membina perhubungan yang lebih positif dan terbina.
Selain itu kecerdasan emosi juga akan dapat membina perasaan hormat terhadap diri sendiri dan orang lain. Orang yang terbina kecerdasan emosinya bertindak dengan lebih banyak meletakkan kepentingan orang lain mendahului keinginan dirinya sendiri.
Ini kerana orang yang menghormati dirinya akan menghormati orang lain, malah orang yang tidak menghormati dirinya tidak akan menghormati orang lain. Justeru bagi seseorang yang mempunyai emosi yang stabil akan memiliki daya hormat yang begitu tinggi terhadap dirinya dan orang-orang di sekelilingnya tanpa mengira siapapun mereka.
Kedua, kecerdasan emosi dapat dinilai melalui perasaan yang menghargai. Orang yang dalam hatinya penuh penghargaan terhadap orang lain lebih mudah mendapat penghargaan dirinya sendiri.
Penghargaan adalah satu aspek yang sangat penting kerana ia ada kaitan dengan sistem nilai terhadap diri sendiri. Orang yang mempunyai rasa menghargai lebih mudah untuk menerima apa saja yang menimpa dan mempunyai perasaan menerima lebih terbuka. Dengan kata lain mereka yang menghargai ini mempunyai jiwa kasih sayang yang amat tinggi.
Ketiga, kecerdasan emosi murah hati sebagai satu nilai yang meletakkan diri seseorang ke tahap tinggi. Orang yang bermurah hati mempunyai jiwa yang tenang dan lapang. Ini kerana orang yang murah hati akan mudah senyum, mudah menerima teguran, mudah untuk memberi, sentiasa bersyukur, tidak kedekut, dan suka bersedekah.
Begitu juga orang yang murah hati akan cepat merasa belas kasihan terhadap orang lain dan hatinya mudah lembut dan cepat tersentuh.
Ciri-ciri yang dinyatakan itu tidak akan ada bagi mereka yang mempunyai emosi negatif, kerana orang yang selalu berfikiran salah dan mudah bersangka buruk tidak akan dapat menilai sesuatu kebaikan malah selalu melihat perbuatan yang betul dari kacamata yang serong.
Maka, orang ini selalu tidak akan dapat merasai nikmat kejayaan walaupun dirinya selalu menerima kebaikan.
Orang yang mempunyai kecerdasan emosi akan lebih bermotivasi menjalani kehidupan, kerana apa saja yang ada depan mata, digunakan sebagai satu peluang untuk meraih kejayaan.
Bagi mereka, persekitaran itu adalah elemen penting untuk membina kejayaan dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi untuk mencapai matlamat kehidupan dunia dan akhirat.