Apabila berbicara tentang kebahagiaan, sesiapa saja pasti inginkannya. Tipulah jika ada yang menafikan keinginan tersebut. Namun, kebahagiaan itu tidak akan dapat dikecapi jika anda mempunyai negative mindset.
Jika anda memandang semua perkara dengan negatif, jadi cuba beritahu bagaimana perkara hebat dan menggembirakan mahu hadir dalam hidup?
Bagi mendapatkan kebahagiaan, anda perlu mula melatih minda untuk sentiasa berfikiran positif. Ikuti saja teknik di bawah ini bagi melakukannya.
Fokus pada perkara yang baik
Situasi dan halangan yang mencabar adalah sebahagian daripada kehidupan. Apabila anda berhadapan dengan satu perkara, fokus pada perkara yang baik tidak kira betapa kecil walaupun ia kelihatan seperti tidak penting.
Jika anda mencarinya, anda sentiasa boleh menemui sebutir mutiara disebaliknya. Sebagai contoh, jika seseorang itu membatalkan rancangan bersama anda, jangan bersedih. Mungkin waktu yang terluang itu boleh anda luangkan bagi mengikuti rancangan TV atau aktiviti lain yang anda gemari. Mudahkan?
Sentiasa bersyukur
Sebagai manusia, kita tidak pernah terlepas daripada ujian hidup. Pastinya setiap orang mempunyai masalah mereka sendiri. Perkara ini menimbulkan kesedaran bahawa kita tidak bersendirian dan ramai lagi di luar sana yang menghadapi masalah yang lebih besar.
Salah satu puncak kebahagiaan adalah apabila seseorang itu mampu mensyukuri apa yang dimiliki. Sentiasalah percaya bahawa segala masalah yang kita hadapi sekarang adalah usaha untuk mematangkan diri agar di masa hadapan kita menjadi insan yang lebih baik. Bersyukurlah untuk segala nikmat yang diperoleh tanpa kita sedar seperti keluarga, rakan dan pekerjaan.
Jangan perbesarkan hal remeh
Cuba elakkan daripada memperbesarkan sesuatu perkara kecil dengan menganggapnya sebagai satu masalah yang terlalu besar sehingga membebankan anda.
Tanya pada diri anda; “Adakah perkara ini penting untuk 5 tahun akan datang? 5 minggu atau mungkin 5 hari?”
Bila anda sudah ada kesedaran itu pastinya anda akan fikir masalah itu tidaklah begitu besar sebenarnya hingga menjejaskan mood anda sepanjang hari. Banyak lagi perkara penting yang perlu difikirkan!
Luangkan masa bersama orang positif
Aura negatif dan positif ini telah terbukti boleh ‘berjangkit’ sebenarnya. Oleh itu, pertimbangkan dengan siapa anda luangkan masa dengannya.
Pernahkah anda perasan jika seseorang dalam mood yang tidak baik boleh menjatuhkan hampir setiap orang yang berada di sekelilingnya? Seseorang yang positif pula mempunyai kesan sebaliknya kepada orang lain.
Berada di samping orang yang positif telah terbukti dapat meningkatkan keyakinan, harga diri dan meningkatkan peluang anda untuk mencapai matlamat. Pastikan diri anda berada dengan orang yang dapat menaikkan semangat dan membantu anda melihat sisi baiknya.
Mulakan setiap hari dengan positif
Buat ritual atau meditasi di mana anda memulakan setiap hari dengan sesuatu yang menggembirakan dan positif. Berikut adalah beberapa idea yang boleh dicuba:
Beritahu diri anda bahawa ia akan menjadi hari yang hebat atau anda kelihatan sangat cantik/tampan pada hari ini.
Anda juga boleh mulakan hari anda dengan mendengar lagu yang rancak dan dapat memberikan aura gembira dan positif.
Selain itu, kongsilah beberapa perkara positif dengan memberi pujian atau melakukan sesuatu yang baik buat seseorang.