Hampir 1,000 gelandangan di ibu kota menjadi tempat lambakan makanan yang tidak habis dijual di bazar-bazar Ramadan sehingga sebahagian besarnya ditinggalkan begitu sahaja di kaki lima kedai dan bahu jalan.
Lambakan juadah iftar berlaku apabila rakyat kini kurang berbelanja di bazar-bazar Ramadan dan sekadar membeli sedikit juadah untuk berbuka puasa.
Dalam pada itu, makanan yang tidak habis dimakan di bufet Ramadan dari restoran-restoran juga disedekahkan kepada gelandangan sehingga berlaku lambakan juadah berbuka puasa yang kemudian bertukar menjadi sampah.
Tabiat membazir makanan setiap kali ketibaan bulan Ramadan harus dihentikan kerana secara tidak langsung merugikan ekonomi dan kewangan keluarga.
Situasi membazir makanan pada bulan puasa dilihat melebihi hari-hari biasa terutama di bazar Ramadan atau melalui hidangan bufet pihak tertentu.
Seruan itu bukan bermakna tidak menggalakkan orang ramai membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan atau gerai tetapi berbelanja serta mengambil sikap bersederhana.
Membeli juadah berbuka puasa itu tidak salah kerana kita turut membantu ekonomi sesama Muslim.
Mereka berniaga mencari rezeki dan kita memang digalakkan menyokong perniagaan mereka. Apa yang menjadi masalah adalah segelintir kita membeli juadah mengikut hawa nafsu dan selera kelaparan kita.
Ibnu Mas’ud menjelaskan, pembaziran adalah perbuatan mengeluarkan atau menggunakan harta pada jalan yang tidak betul iaitu tidak pada jalan yang diperintahkan oleh Allah serta tidak berlandaskan tuntutan sunah Rasulullah SAW.
Ibnu Kathir pula mentakrifkan pembaziran sebagai perbuatan mensia-siakan nikmat Allah kepada perkara maksiat yang melanggar perintah Allah.
Islam amat melarang umatnya melakukan pembaziran sehingga Allah menyifatkan orang yang suka membazir itu sebagai saudara syaitan.
Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang melakukan pembaziran ialah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Surah al-Isra’, ayat 27)
Selain itu, ada juga dalam kalangan peniaga bazar Ramadan menjual makanan dan minuman dengan harga tidak munasabah serta tidak mencapai kualiti yang diharapkan pembeli.
Sikap tamakkan keuntungan lumayan sudah tersasar daripada matlamat perniagaan mengikut sunah Rasulullah SAW dan mencari keredaan Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda mengenai sifat tamak ini menerusi sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya, seandainya anak Adam diberikan satu lembah yang penuh dengan emas, pasti dia akan ingin memiliki lembah yang kedua, dan seandainya dia sudah diberikan yang kedua, pasti dia ingin mempunyai yang ketiga. Tidak ada yang dapat menutup perut anak Adam kecuali tanah, dan Allah SWT Maha Menerima taubat bagi siapa saja yang bertaubat.
Hadis itu menjelaskan sikap segelintir manusia yang tamakkan harta.
Oleh itu, di dalam hadis itu manusia disuruh bertaubat kepada Allah SWT atas sikap mazmumahnya itu. Allah SWT menerima taubat orang yang ikhlas, jujur dan benar.
Apa yang menyedihkan, pembaziran berlaku pada bulan Ramadan. Sepatutnya umat Islam bersikap sederhana dalam segala aspek kehidupan.
Sebagai bangsa usahawan, jadilah individu yang bijak. Bagi mengelak pembaziran kita boleh menganggarkan jumlah yang sewajarnya untuk dijual pada hari tersebut.
Contohnya jualan ketika hari bekerja adalah lebih tinggi berbanding waktu cuti. Maka, kuantiti untuk disediakan pada waktu cuti adalah rendah berbanding hari biasa. Jika ada lebihan mungkin jumlah itu tidak terlalu banyak.