Israk Dan Mikraj, Mengakui Kebesaran Allah SWT

Israk Dan Mikraj, Mengakui Kebesaran Allah SWT

Israk dan Mikraj banyak memberikan pengajaran kepada umat Islam termasuk dalam soal rantaian kehidupan – susah ke senang kemudian susah ataupun terus senang yang biasanya berlaku disamping mengukuhkan dan mengakui kebesaran Allah SWT.

Peristiwa penting ini menyaksikan pengembaraan agung Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Palestin (Israk) dan ke langit bertemu Allah SWT (Mikraj) hanya dalam tempoh sebahagian malam saja.

Peristiwa Israk Mikraj tertulis di dalam al-Quran, Firman Allah :

سُبْحَـٰنَ ٱلَّذِىٓ أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِۦ لَيْلًا مِّنَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ إِلَى ٱلْمَسْجِدِ ٱلْأَقْصَا ٱلَّذِى بَـٰرَكْنَا حَوْلَهُۥ لِنُرِيَهُۥ مِنْ ءَايَـٰتِنَآ ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ

Maksudnya : “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Isra’ : 1)

Ketika itu Baginda bukan saja diuji dari segi dakwah, malah ujian paling besar apabila isterinya, Saidatina Khadijah R.A dan bapa saudara, Abu Thalib meninggal dunia. Bapa saudara Baginda merupakan benteng yang menghalang daripada ugutan puak Quraisy.

Pengalaman Baginda melalui pengalaman Israk dan Mikraj yang juga menjadi petunjuk kepada manusia bahawa di sebalik kesusahan bakal menanti kesenangan.

Menurut ulama, situasi yang berlaku terhadap Rasulullah, di sebalik kesusahan dan kesenangan membuatkan Baginda menjadi hebat. Agama tidak mengajar kita untuk takut dengan kesusahan sebaliknya cari jalan, berusaha dan berserah serta bertawakal kepada Allah SWT.

Umat Islam akan bertawakal kepada Allah SWT untuk mendapatkan apa yang diinginkan kerana yakin hanya kepada-Nya yang memiliki kekuasaan kita boleh menyerahkan segala-galanya.

Justeru itu, bangsa usahawan perlulah yakin dan berserah kepada Allah SWT selepas berusaha dan bertindak bagi mencapai apa yang disasarkan. Yakinlah jika anda susah, selepas kesusahan itu pasti akan ada kesenangan.

Selain itu, perjalanan dilalui Nabi Muhammad SAW ketika Israk dan Mikraj juga adalah mukjizat ditunjukkan Allah SWT yang membuktikan kekuasaan-Nya untuk melanggar aturan alam iaitu disebut sebagai ‘sunatullah’.

Bahkan peristiwa ini merupakan satu ujian kepada umat Islam sama ada mereka betul-betul beriman ataupun tidak. Ini dinyatakan oleh Allah SWT :

وَمَا جَعَلْنَا ٱلرُّءْيَا ٱلَّتِىٓ أَرَيْنَـٰكَ إِلَّا فِتْنَةً لِّلنَّاسِ وَٱلشَّجَرَةَ ٱلْمَلْعُونَةَ فِى ٱلْقُرْءَانِ ۚ وَنُخَوِّفُهُمْ فَمَا يَزِيدُهُمْ إِلَّا طُغْيَـٰنًا كَبِيرًا

Maksudnya : “Dan tiadalah Kami menjadikan pandangan (pada malam Mikraj) yang telah kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia; dan (demikian juga Kami jadikan) pokok yang dilaknat di dalam Al-Quran; dan Kami beri mereka takut (dengan berbagai-bagai amaran) maka semuanya itu tidak menambahkan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau.”(Surah Al-Isra’ : 60)

Mengikut Sheikh Amin Al-Syanqiti dalam Adwa’ Al-Bayan Fi Idhah Al-Quran Bi Al-Quran, Allah menjadikan apa yang diperlihatkan kepada Nabi SAW daripada perkara dan peristiwa yang pelik dan ajaib pada malam Israk Mikraj adalah sebagai satu ujian kepada orang ramai.

Ini kerana ada di antara yang tidak langsung mempercayai apa yang dikhabarkan oleh Rasulullah. Ada yang mengatakan bahawa ianya tidak mungkin berlaku. Mereka mengatakan juga bagaimana mungkin Baginda solat di Baitul Maqdis dan pergi ke langit ke-7 serta melihat keseluruhannya pada satu malam sahaja kemudian pada waktu pagi berada di Mekah. Inilah satu ujian kepada mereka yang ragu-ragu.

Pengajaran dan iktibar buat diri kita :

1) Umat Islam perlu meyakini peristiwa Israk dan Mikraj dan maksud tersurat dan tersiratnya.

2) Mentauhidkan Allah S.W.T serta menyifatkan-Nya dengan segala kesempurnaan dan mensucikan-Nya dari segala kekurangan.

3) Menolak golongan yang hanya berpegang kepada logik akal semata-mata hingga menafikan wahya Allah SWT .

4) Dirikan solat 5 waktu bagi diri dan keluarga walau di mana anda berada.

Artikel terbaru

Leave a Reply