
Sepintas Lalu
- Event: Belanjawan 2026 Malaysia MADANI
- Industri Berkaitan: Keusahawanan, Koperasi, SME/PMKS, Pembuatan, Perkhidmatan, Digital & Teknologi
- Potensi Impak:
- Akses pembiayaan lebih mudah untuk usahawan dan PMKS
- Peningkatan daya saing perniagaan
Objektif
- Menganalisis tumpuan Belanjawan 2026 terhadap sektor keusahawanan.
- Menyediakan pandangan awal tentang strategi pembangunan yang diperkenalkan kerajaan.
Rumusan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat.
Belanjawan kali keempat Kerajaan MADANI dan yang pertama bagi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) ini memperuntukkan RM470 bilion untuk Belanjawan 2026, dengan peruntukan RM338.2 bilion untuk perbelanjaan mengurus, dan RM81 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
Bagi usahawan dan SME (PMKS), ini peluang untuk melihat bagaimana kerajaan menyusun insentif, dana dan inisiatif baru agar mereka lebih kukuh menghadapi cabaran global.
Artikel ini akan mengupas inti utama belanjawan bagi usahawan yang diumumkan oleh Perdana Menteri:
Intipati Belanjawan 2026
Pertumbuhan Ekonomi dan Sektor Utama
Belanjawan 2026 menekankan pengukuhan struktur ekonomi, pembangunan mampan serta kecekapan fiskal.
- Sektor pertanian dijangka mencatat pertumbuhan sebanyak 2.2% pada 2026, meningkat daripada 1.2% pada 2025
- Sektor pembuatan, diunjur kekal stabil pada 3.0%, disokong oleh industri eksport dan domestik (3.8% pada 2025)
- Sektor perkhidmatan terus menjadi pemacu utama dengan pertumbuhan 5.2% pada 2026 (5.1% pada 2025)
- Sektor pembinaan kekal kukuh pada 6.1%, sementara sektor perlombongan dan kuari sedikit menurun kepada 1.0% pada 2026
Dari segi fiskal, perbelanjaan awam meningkat kepada RM470 bilion (berbanding RM452 bilion tahun lalu), hasil pengoptimuman dana GLIC, badan berkanun dan syarikat milik kerajaan (MKD).
Untuk tahun hadapan, Perdana Menteri berkata, kutipan hasil Kerajaan Persekutuan dianggarkan meningkat kepada RM343.1 bilion berbanding RM334.1 bilion, unjuran tahun ini.
Langkah penyasaran subsidi dijangka menjimatkan dana negara sekitar RM15.5 bilion setahun.

Fokus Utama Belanjawan 2026 Terhadap Pembangunan Industri dan Keusahawanan
A. Pembiayaan & Jaminan

Belanjawan kali ni menawarkan manfaat menyeluruh kepada pelbagai kategori usahawan termasuk PMKS, koperasi, usahawan francais, perusahaan sosial, usahawan informal, bekas pesalah, dan peniaga kecil. Perhatian khusus turut diberikan kepada usahawan Bumiputera (termasuk Sabah dan Sarawak), wanita golongan B40 serta belia.
RM50 bilion kemudahan pinjaman dan jaminan kerajaan disediakan untuk usahawan tempatan, meningkat daripada RM40 bilion sebelumnya.
- RM10 bilion dikhususkan untuk usahawan bumiputera melalui Skim Jaminan SJPP daripada keseluruhan RM30 bilion dana jaminan
- RM2.4 bilion disediakan khusus bagi kontraktor G1 hingga G4 bumiputera
- RM40 juta diperuntukkan untuk peningkatan skala syarikat bumiputera berpotensi tinggi.
- EXIM Bank menawarkan pinjaman mudah RM500 juta bagi syarikat yang terkesan oleh ketegangan tarif perdagangan global
- Institusi kewangan pembangunan (DFI) menyediakan hampir RM1 bilion pembiayaan dan geran bagi mendukung automasi serta pendigitalan proses perniagaan.
- Kerajaan memperuntukkan RM20 juta bagi syarikat pemula (start-up) untuk menghasilkan produk mekanisasi dan automasi, melalui kerjasama MPOB dan pemain industri sawit utama.
- Geran Pembangunan Pasaran MATRADE bernilai RM60 juta disediakan bagi membantu PMKS menembusi pasaran baharu termasuk Afrika, Amerika Latin dan Asia Tengah. Memudahkan PMKS mengeksport produk ciptaan Malaysia ke pasaran sedia ada dan pasaran baharu.
- RM350 juta bagi memperkasa Pusat Nadi termasuk membimbing usahawan desa menambah pendapatan melalui perniagaan dalam talian.
- Dana Pembangunan Industri NIMP sebanyak RM180 juta disediakan bagi membiayai projek berimpak tinggi.
- RM20 juta untuk Program Pembiayaan Mikro – KWAP menyediakan RM20 juta untuk program pembiayaan mikro bagi pesara, memperkasa keusahawanan di peringkat komuniti.
- Ekuinas akan membangunkan syarikat pelaburannya sehingga bersedia disenaraikan dan diambil alih oleh PNB, susulan penyatuan Ekuinas dan PHB di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB).


B. Sektor Pertanian dan Luar Bandar
Bagi meningkatkan kesejahteraan petani dan pekebun kecil:
- RM2.62 bilion disediakan untuk subsidi dan bantuan pesawah.
- RM20 juta bekalan baja foliar dan bahan kesuburan tanah kepada 6,400 pesawah
- RM100 juta untuk menaik taraf prasarana dan model sawah moden berteknologi tinggi
- RM120 juta diperuntukkan bagi membela nasib pekebun kecil.
- RM50 juta diperuntukkan untuk penyelenggaraan dan pembinaan jalan ladang di seluruh negara.
- RM20 juta disediakan untuk peniaga kecil Tamu Desa di Sabah dan Sarawak.
- Agro Bank menyediakan pembiayaan RM1.1 bilion untuk usahawan – menyokong projek pertanian termasuk Program Agropreneur NextGen KPKM yang menyediakan geran permulaan dan geran pengembangan projek pertanian
- Pengecualian cukai pendapatan 100% untuk projek baharu pengeluaran bahan makanan.
- Galakan cukai automasi sektor pertanian diperluas kepada penternakan haiwan terpilih


C. Digitalisasi dan Inovasi
- Sovereign AI Cloud akan dibangunkan oleh SKMM dengan pelaburan RM2 bilion.
- Geran Pecutan Digital Malaysia bernilai RM53 juta untuk mempercepat penggunaan AI, blockchain dan komputer kuantum.
- MyDigital ID disasarkan mencapai 15 juta pengguna menjelang akhir 2025.
- Kerangka Insentif Baharu Berasaskan Keberhasilan (OBI Framework) dilaksanakan sepenuhnya mulai suku pertama 2026 untuk sektor perkilangan dan suku kedua bagi sektor perkhidmatan.
- RM15 juta diperuntukkan bagi penganjuran Malaysia Techlympics, Minggu Sains Negara, Rehlah Sains dan Science on Wheels.

D. Perkasa Ekosistem Industri Halal
- JAKIM & HDC akan mempercepat pengeluaran sijil halal; dorong syarikat patuh piawaian
- Jaminan pembiayaan PKS Halal dinaikkan kepada 2 bilion
- SME BANK – menawarkan pembiayaan khusus kepada PMKS halal dengan dana berjumlah RM100 juta
- Taman Industri Halal Perak (Manjung) bernilai RM124 juta sebagai hub industri halal

E. Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP)
KUSKOP terus komited memperkasa sektor keusahawanan dan koperasi melalui pelbagai inisiatif strategik yang digariskan dalam Belanjawan 2026.
KUSKOP menerima peruntukan berjumlah RM1.015 bilion, meningkat daripada RM815.13 juta tahun lalu – jumlah tertinggi yang pernah diterima oleh kementerian tersebut. Pertambahan peruntukan sebanyak RM200.3 juta atau 24.6%.
KUSKOP yakin bahawa Belanjawan 2026 akan menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi negara, di samping memperkukuh pelaksanaan strategi untuk memastikan sektor PMKS terus berkembang dan kekal sebagai penyumbang kepada ekonomi Malaysia
- TAMU DESA – RM20 juta disediakan untuk menambah tapak dan ruang niaga yang dilengkapi kemudahan asas kepada peniaga kecil Tamu Desa di Sabah dan Sarawak.
- UDA – Menerajui pembangunan tanah wakaf di Pulau Pinang melalui Projek Taman Wakaf Seetee Aisah Fasa 2 dan Fasa 3 serta Taman Sultan Sallehuddin Fasa 1B dan 2B dengan nilai pelaburan hampir RM250 juta.
- TEKUN NASIONAL – Lebih RM2.5 bilion penjaman mikro disediakan TEKUN Nasional dan BSN.
- SURUHANJAYA KOPERASI Malaysia – RM50 juta peruntukan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia sebagai dana pembiayaan untuk menyokong perusahaan badan-badan koperasi seluruh negara.
- SME BANK – Program Jaguh Serantau SME Bank menyediakan pinjaman kepada PKS Bumiputera untuk menembusi pasaran eksport
- AMANAH IKHTIAR Malaysia – RM230 juta disediakan kepada AIM untuk terus menawarkan pembiayaan, menjadikan dana yang tersedia berjumlah RM2.9 bilion.
- BANK RAKYAT, SME BANK, BSN, MARA – menyediakan pembiayaan RM270 juta sokong usahawan PMKS wanita.
- SME Corp Malaysia – Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera SME Corp. Malaysia menyediakan RM12 juta untuk latihan dan bantuan perniagaan.
- MITRA, TEKUN, AIM – Kaum India turut memanfaatkan program sosioekonomi di bawah MITRA, TEKUN, dan Amanah Ikhtiar Rakyar berjumlah RM220 juta.
- PERNAS – Peruntukan sebanyak RM9 juta kepada PERNAS bagi menyokong pembangunan industri francais.
F. Pembangunan Usahawan Mikro
Sebanyak RM50 juta diperuntukkan kepada BSN untuk:
- Memberi geran perniagaan hingga RM10,000 kepada 1,000 usahawan mikro bagi membeli peralatan perniagaan.
- Menyediakan khemah penjaja, sound box dan sistem QR kepada peniaga pasar malam di Pangkor, Perak dan Kuala Tahan, Pahang.
- Menganjurkan program bimbingan keusahawanan di Penjara Penor, Pahang dan Penjara Taiping, Perak.
- Melaksanakan program pembangunan usahawan di IPT bagi melatih mahasiswa dalam bidang perniagaan.
Kesimpulan
Belanjawan 2026 memberi peluang besar kepada usahawan yang bersedia — melalui pembiayaan, jaminan, insentif teknologi dan sokongan khusus (halal, eksport).
Kejayaan sebenar terletak bukan sahaja kepada pengumuman tetapi kepada pelaksanaan yang bersasar, penyampaian yang efektif dan kemampuan usahawan memanfaatkan peluang ini.
Sebagai usahawan, mulakan langkah sekarang: rencanakan strategi, mohon skim yang sesuai, dan bina kapasiti supaya dapat bertahan dan berkembang.
Semoga Belanjawan 2026 menjadi pemangkin transformasi keusahawanan Malaysia menuju era baharu yang lebih produktif dan kompetitif.