Aplikasi media sosial TikTok telah menamatkan perkhidmatan beli-belah dalam taliannya di Indonesia untuk mematuhi peraturan baharu dalam ekonomi terbesar Asia Tenggara itu pada 4 Oktober yang lalu.
Menurut kerajaan Indonesia, peraturan itu bertujuan untuk membantu melindungi peruncit fizikal dan dalam talian tempatan.
Indonesia ialah negara pertama yang merintis perkhidmatan aplikasi e-dagang pada tahun 2021 dan menjadi salah satu pasaran terbesar untuk TikTok Shop.
Minggu lalu, Indonesia mengumumkan peraturan yang akan memaksa TikTok memisahkan ciri beli-belahnya daripada perkhidmatan perkongsian video popular di negara itu.
“Kini, e-dagang tidak boleh menjadi media sosial. Ia dipisahkan,” ujar Menteri Perdagangan Indonesia, Zulkifli Hasan.
Beliau juga memberitahu platform media sosial itu mempunyai masa seminggu untuk mematuhi peraturan baharu atau berisiko kehilangan lesen untuk beroperasi di negara tersebut.
Pengumuman itu dibuat selepas Presiden Indonesia, Joko Widodo bulan lalu menegaskan bahawa mereka perlu berhati-hati dengan e-dagang kerana ia boleh menjadi buruk jika tiada sebarang peraturan dikenakan.
“Keutamaan kami adalah untuk terus mematuhi undang-undang dan peraturan tempatan,” kata TikTok dalam satu kenyataan pada Selasa lalu.
“Oleh itu, kami tidak lagi akan mengadakan lagi transaksi e-dagang di TikTok Shop Indonesia,” tambahnya.
Peruncitan dalam talian di Indonesia telah melonjak dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Nilai jualan e-dagang akan meningkat lebih enam kali ganda antara 2018 dan tahun depan untuk mencecah 689 trilion rupiah Indonesia ($44 bilion; £36.5 bilion), menurut bank pusat negara itu.
TikTok Shop telah mengembangkan bahagian pasarannya sejak dilancarkan dua tahun lalu ke dalam pasaran beli-belah dalam talian Indonesia yang sebelum ini didominasi oleh platform seperti Tokopedia, Shopee dan Lazada.
Negara dengan lebih daripada 278 juta orang ini adalah ‘rumah’ kepada 125 juta pengguna TikTok. Jumlah itu termasuklah enam juta penjual dan berjuta-juta lagi pengguna yang memperoleh wang menggunakan TikTok Shop bagi mempromosikan barangan.
Pada bulan Jun lalu, ketua eksekutif syarikat Shou Zi Chew melawat Indonesia dan bercadang untuk melabur berbilion dolar di rantau ini dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Pertumbuhan peruncit dalam talian memberi kesan besar kepada pemilik kedai fizikal seperti Sukmamalingga, usahawan yang mempunyai kedai menjual pakaian muslimah seperti kaftan di Pasar Tanah Abang di Jakarta sejak sembilan tahun yang lalu.
“Tiada seorang pun pelanggan saya dari wilayah di Indonesia membeli-belah lagi walaupun saya sering menghantar gambar model pakaian baharu,” katanya kepada BBC News Indonesia.
Angka kerajaan menunjukkan terdapat lebih 64 juta perniagaan kecil dikenali sebagai perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang menyumbang hampir dua pertiga daripada ekonomi Indonesia.
Peraturan baharu itu merupakan satu lagi halangan untuk TikTok yang telah menjadi perhatian di Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan United Kingdom, di mana Parlimen telah mengharamkan aplikasi itu daripada rangkaiannya di atas faktor keselamatan.