“Ya, sama (kembali ke Melaka). Saya telah dapat pingat emas pada Olimpik Tokyo 2020 dengan berlatih di Melaka.
“Jadi tiada apa yang mustahil, hanya perlu percaya kepada Tuhan, percaya kepada jurulatih dan percaya kepada diri sendiri. Buat yang terbaik dalam latihan,” kata atlet Filipina yang merangkul pingat emas pertama buat negaranya ketika sidang media baru-baru ini.
Hidilyn DIaz yang berusia 30 tahun memenangi pingat emas acara 55 kilogram wanita kelmarin dengan melakukan angkatan seberat 224 kilogram untuk mengatasi wakil China, Liao Qiuyin, dan atlet Kazakhstan, Zulfiya Chinshanlo, malah memecahkan rekod Sukan Olimpik.
Meskipun terkandas di Malaysia ketika pandemik sejak Februari tahun lalu, ia tak mematahkan semangat dan impian serta keinginannya untuk mencapai kejayaan dalam temasya Sukan Olimpik Tokyo.
Diaz pada mulanya agak resah terpaksa berlatih di gimnasium sementara yang dikelilingi pokok pisang dan rambutan – tempat latihan yang mustahil mampu memberikan emas kepadanya di Olimpik Tokyo.
Ibarat berlatih di belakang rumah di sebuah kampung di Kersang Tua, Jasin, Melaka, Diaz tetap fokus dalam persediaan dan konsisten melakukan latihannya bagi mengharungi cabaran dalam Sukan Olimpik.
“Saya sudah bersedia. Saya tidak dapat mengatakan berapa peratus, tetapi saya berada di sana – fikiran saya ada, hati saya ada, secara fizikalnya ada,” katanya kepada AFP dalam satu temu bual pada Mei lalu ketika berehat dari persiapan terakhirnya untuk menyertai Sukan Olimpik keempat buat dirinya.
Beliau awalnya datang berlatih di Malaysia pada Februari 2020 kerana jurulatihnya dari Cina, Gao Kaiwen, berpendapat itu lebih baik untuk dirinya jika mahu memberi tumpuan untuk layak ke Tokyo.
Tetapi dalam beberapa minggu berlaku sekatan pergerakan akibat C0vid-19 yang menyebabkan Diaz berhadapan dengan situasi di mana gimnasium ditutup, tidak ada akses kepada peralatan angkat berat dan ketidakpastian sama ada sukan itu akan diadakan atau tidak.
“Pada mulanya ada banyak kegelisahan, ketakutan, dan kebimbangan kerana kami berada di Malaysia – kami tidak tahu di mana harus tinggal, kami tidak tahu di mana untuk berlatih,” ujarnya.
Selama berbulan-bulan Diaz dan jurulatihnya – “Team HD” – ‘terperangkap’ di sebuah blok pangsapuri di ibu kota Kuala Lumpur di mana mereka harus berhati-hati agar tidak memecahkan lantai berjubin ketika berlatih dengan angkat berat.
Dalam masa sama, Diaz juga sempat mencari masa untuk mengumpulkan wang melalui sesi latihan online untuk mengedarkan bungkusan makanan kepada keluarga miskin di kampung halamannya yang menderita akibat pandemik.
Pada bulan Oktober tahun lalu, Diaz dan pasukannya berpindah ke kawasan perkampungan di Kersang Tua, Jasin, Melaka di mana mereka tinggal di rumah dimiliki oleh seorang pegawai persatuan angkat berat Malaysia.
Diaz menggunakan gimnasium yang terletak berdekatan rumah yang ditumpangnya itu, tetapi apabila sekatan pergerakan diperketat memaksanya untuk bersenam di tempat letak kereta di rumah itu.
Beliau juga terpaksa bertarung dengan cuaca panas di tempat terbuka berbanding latihan di gimnasium yang ada pendingin hawa.
“Setiap kali ada sekatan perjalanan, dunia kami benar-benar terhenti dan anda tidak tahu apa yang harus dilakukan dan anda terkejut.
“Sekiranya saya tidak mempunyai Team HD, saya mengaku tidak akan berada di sini, saya akan pulang ke Filipina,” ujarnya lagi.
Masalah itu memberi kesan kepada Diaz, yang hanya meraih di tempat keempat di Kejohanan Asia di Tashkent pada April lalu, pertandingan pertamanya selepas lebih dari satu tahun. Itu cukup untuk mendapatkannya tempat di Olimpiknya, tetapi jauh dari yang terbaik, akuinya.
Diaz menjalani kuarantin 10 hari lagi setelah kembali, enam hari dikurung di bilik hotel dengan empat hari terakhir di rumah, menggunakan basikal senaman, dumbbell dan gelang getah untuk mengekalkan kecergasan dan kekuatannya.
Dia bertekad supaya berada dalam keadaan terbaik untuk Olimpik, yang dibuka dalam masa dua bulan iaitu pada 23 Julai.
“Sudah tentu tekanan sangat tinggi… semua orang mengharapkan saya memenangi pingat emas di Tokyo.”
“Saya terima keadaan ini. Saya hanya memberitahu diri saya untuk fokus pada teknik, fokus pada kerja yang akan datang. Saya tidak mahu berjanji untuk menang emas, saya hanya mahu melakukannya,” tegasnya.
Ketika dalam sidang akhbar selepas mencapai kemenangan itu, Diaz menzahirkan kesyukuran kerana dapat berada di Malaysia.
“Perjalanan saya ke Tokyo 2020 amat mencabar. Saya amat bersyukur kepada Tuhan kerana menghantar saya ke Malaysia untuk berlatih dengan baik.
“Dia mengirimkan kepada saya ramai orang seperti komuniti angkat berat dan Filipina di Malaysia, yang banyak membantu saya dalam perjalanan ini.
“Saya berterima kasih kepada orang di Jasin, Melaka, yang memberikan saya tempat tinggal dan gimnasium ketika saya berada dalam kegusaran tidak tahu untuk pergi ke mana. Saya mungkin tidak berada di rumah tetapi saya berasakan seperti berada di rumah sewaktu di Malaysia.
“Kepada seluruh rakan saya di Melaka dan semua warga Malaysia yang membantu saya, terima kasih banyak kerana membantu kami. Saya mungkin tidak dapat melaluinya atau memenangi pingat emas ini tanpa anda.
“Terima kasih, Malaysia Boleh,” kata sang juara itu.
Beliau juga akan kembali ke Melaka selepas ini. Baginya, latihan masih perlu diteruskan untuk mengekalkan prestasinya.
“Kita tidak selalu akan menjadi juara dan masih perlu berlatih dan berusaha keras.
“Saya fikir Melaka adalah tempat terbaik untuk saya boleh fokus dan buat latihan ketika pandemik ini,” katanya lagi.
Apakah yang usahawan boleh pelajari daripada kisah Hidilyn Diaz ini?
Sebenarnya terdapat banyak perkara yang boleh kita belajar daripada kisah perjalanan Hidilyn Diaz ini.
Beliau merupakan seorang anak pengayuh beca yang berasal dari sebuah kampung miskin berhampiran pelabuhan Zamboanga di Mindanao.
Diaz tidak bertemu keluarganya sejak Disember 2019 lagi dengan terpaksa mengorbankan masa bersama keluarga, rakan-rakan, belajar dan kerja di Tentera Udara Filipina.
Walaupun berdepan cabaran dan kesukaran ketika pandemik, Diaz dan team tetap berjuang dan mencari jalan bagaimana dapat meneruskan latihan bagi mempersiapkan diri.
Meskipun hanya meraih di tempat keempat di Kejohanan Asia di Tashkent pada Apri lalu, Diaz dalam tempoh dua bulan fokus pada apa yang boleh dilakukan untuk tingkatkan prestasinya bagi Sukan Olimpik ini.
Beliau ada keinginan sangat tinggi, tidak mahu berjanjikan emas pertama buat negaranya sebalik hanya mahu melakukannya!
Meskipun sibuk dengan latihannya sebelum ini, Diaz tidak lupa tentang keadaan masyarakat di kampung apabila mencari dana bagi mengedarkan bungkusan makanan kepada keluarga memerlukan ekoran pandemik ini.
Diaz tidak lupa untuk membantu mereka yang memerlukan di luar sana meskipun dia mempunyai cabaran dan kesusahan.
Tak mudah mengalah, cari jalan dan lakukan apa yang ada di tangannya. Seperti yang dikatakan MenThor, Datuk Wira Dr Azizan Osman agar mulakan apa di tangan anda bermaksud lakukan apa yang anda tahu dan boleh lakukan ketika ini.
Diaz menggunakan apa yang ada, ketika dikuarantin sebelum ini selepas ke luar negara, beliau tetap membuat latihan.
Ekoran gimnasium ditutup, Diaz berlatih saja di belakang rumah, di tempat letak kereta yang terbuka meskipun dengan keadaan panas.
Jika usahawan berdepan dalam situasi sama, adakah anda akan menyerah begitu saja atau cari jalan apa yang boleh dilakukan?
Ingat pesan Datuk Wira, fokus kepada apa yang berada dalam kawalan anda.
Moga kisah Diaz ini dapat menjadikan inspirasi buat usahawan-usahawan di luar sana dan moga atlet Malaysia pada Sukan Olimpik kali ini juga akan berjaya merangkul pingat emas pertama buat Malaysia. InsyaAllah.