Macam mana nak jadi usahawan yang berjaya kalau masa pun tak boleh nak jaga?
“Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesan ke atas kebenaran, dan berpesan-pesan ke atas kesabaran.” Surah Al-‘Asr ayat 1-3.
Untuk berjaya sebagai usahawan walaupun dengan masa yang terhad, fokus pada pengurusan tugas yang bijak dan memberi tumpuan kepada aktiviti yang memberikan kesan signifikan terhadap perniagaan anda.
Pengurusan masa yang berkesan boleh meningkatkan produktiviti dan memastikan keutamaan anda dirancang dengan betul. Terdapat pelbagai strategi yang boleh digunakan untuk menguruskan masa dengan berkesan.
Pengurusan masa adalah proses untuk memaksimumkan produktiviti dalam kehidupan serta kerja dengan menetapkan matlamat, mengatur ruang kerja dan merancang cara membahagikan masa.
Usahawan yang pandai menguruskan masa dengan baik memahami cara mengutamakan tugas, mengelakkan penangguhan dan menikmati keseimbangan kehidupan kerja.
11 tips menjaga masa
1. Analisis masa anda
Periksa segala tugasan yang ada untuk mengetahui berapa banyak masa yang dihabiskan untuk projek tertentu. Ini membantu anda merancang masa dengan lebih terperinci. Tulis setiap satu tugasan walau sekecil-kecil tugasan yang ada agar tak tertinggal.
2. Tetapkan had masa untuk setiap tugas
Menetapkan masa untuk tugasan membantu anda untuk kekal fokus dan mengelakkan dari sifat bertangguh. Pastikan setiap tugasan selesai dalam jangka waktu yang ditetapkan.
3. Rancang hujung minggu anda
Ambil masa di hujung minggu untuk membuat rancangan sepanjang minggu bekerja. Ini membantu berikan tumpuan untuk perkara yang akan datang.
Perancangan membantu anda mengambil kira sebarang kejadian yang tidak dijangka yang mungkin berlaku. Jika tak mampu merancang untuk masa sebulan, rancang untuk seminggu. Jika tidak, rancang untuk hari esoknya. Konsisten dengan perancangan, anda akan tambah baik dari menjaga masa semasa ke semasa.
4. Dahulukan yang paling penting
Cuba selesaikan tugasan yang paling sukar dan penting terlebih dulu, kemudian diikuti dengan tugasan yang mudah. Ini membantu anda dari berasa bimbang tentang tugasan yang belum lagi selesai.
5. Agihkan tugasan
Ada masanya, mungkin lebih baik mengagihkan tugas yang mudah kepada pekerja yang mampu untuk melakukannya. Dengan ini, anda akan mempunyai lebih banyak masa untuk menumpukan perhatian pada tugas yang lebih penting atau lebih besar.
6. Jauhi dari gangguan
Semasa menjalankan tugas, elak dari menumpukan perhatian pada perkara yang tidak penting seperti melihat telefon, bergosip atau tidur. Tak apa jika berehat sebentar, tapi janganlah sampai makan masa yang terlalu lama sehingga tertangguh segala kerja.
7. Susun ruang kerja
Jangan buang masa dengan mencari barang tak jumpa. Ingatkan salah letak, rupanya terhalang dengan barang yang tak penting di ruang kerja. Dari buang masa begini, lebih baik susun setiap barangan dengan baik.
Yang mana perlu, letak atas meja. Yang kurang perlu, letak di dalam laci. Yang tak perlu langsung, fikir-fikirkanlah untuk berikan pada mereka yang memerlukan atau kitar semula.
8. Belajar untuk berkata ‘tidak’
Jika anda sentiasa berkata ya kepada semua yang diminta, anda mungkin nampak bagus. Tapi jika berterusan, orang akan ambil kesempatan dan anda akan hilang masa untuk diri sendiri. Belajar katakan tidak kepada orang jika anda sudah mempunyai projek yang mencukupi untuk mengisi masa anda.
9. Utamakan kesihatan
Percayalah, ada masa yang banyak pun tak akan cukup jika sakit. Ini kerana anda tak akan mampu lakukan apa-apa ketika sakit dan kerja akan semakin bertambah. Selitkan masa untuk bersenam dan amalkan pemakanan yang berkhasiat.
10. Fikirkan kualiti, bukan kuantiti
Pastikan setiap tugas yang anda lakukan adalah penting. Tumpukan perhatian untuk membawa nilai dengan setiap tugas dan cuba elakkan memikirkan kuantiti.
11. Jangan multitask
Tumpukan pada satu tugas dalam satu masa dan elakkan multitasking jika anda ingin menjadi produktif.
Seimbangkan masa
Kejayaan bukan semata-mata terletak pada jumlah jam kerja yang dilaburkan, tetapi juga sebaliknya. Penting untuk memiliki kesedaran terhadap nilai dan menghindari dari terjebak dalam tugasan yang tidak memberi nilai tambah.
Ketahui matlamat perniagaan anda dengan jelas dan tentukan keutamaan untuk tugas-tugas yang menyokong pencapaian matlamat tersebut. Gunakan teknologi untuk memudahkan kerja anda.
Penting juga untuk menjaga keseimbangan antara kehidupan peribadi dan kerja. Sediakan masa untuk berehat agar dapat bekerja dengan lebih efisien.