“Alaa.. dah terlambatlah saya nak mulakan perniagaan secara online. Pesaing dah lama buat, susah nak naik nanti!”
Siapa usahawan yang ada mindset macam ni? Bila ada perkembangan teknologi terbaru, tak nak explore. Nantilah, tunggulah, tak yakinlah dan macam-macam alasan demi alasan yang diberi.
Tapi bila usahawan lain dah mulakan dulu, rasa dah terlambat pula nak buat. Terus rasa down. Sudahnya tak ada apa-apa tindakan yang dilakukan. Pesaing makin kaya, perniagaan anda makin teruk.
Sebenarnya belum terlambat jika nak mulakan perniagaan secara online sekarang. Dunia digital ni masih berkembang dan insya-Allah akan terus berkembang pesat. Masih ramai lagi orang yang gemar mencari produk dan perkhidmatan secara online.
Jarang mereka membeli sekadar beli tanpa buat research produk mana yang terbaik, bukan terus membeli. Jadi, peluang berniaga secara online itu masih terbuka luas untuk semua usahawan yang baru nak bermula buat perubahan. Anda berikan yang terbaik, sudah tentu ada akan mendapat yang terbaik.
Fikirkan semula strategi pemasaran dan cari peluang yang sesuai dengan trend sekarang. Jangan risau sangat, banyak platform dan bantuan yang boleh membantu perniagaan online online anda untuk terus berkembang maju..
5 sebab usahawan perlu berniaga secara online
1. Sebagai langkah persediaan
Zaman sekarang adalah zaman yang tak boleh nak dijangka apa yang bakal berlaku. Seperti PKP yang lalu, siapa yang sangka akan berlaku bencana sehingga kita semua tak boleh nak keluar rumah? Sampai boleh dikenakan tindakan lah kalau langgar peraturan.
Dek kerana tak boleh keluar rumah, banyak perniagaan yang tak boleh beroperasi. Ada yang hampir muflis dan ada juga yang dah tutup perniagaan kerana tak mampu nak tampung segala kos yang ada.
Mereka yang mampu bertahan adalah mereka yang bersedia dengan lebih awal. Dan salah satu persediaan awal mereka adalah dengan onlinekan perniagaan.
2. Extra income
Kos hidup dah makin meningkat. Tak kira lah anda ada kedai fizikal atau tidak, pasti ramai antara kita yang inginkan pendapatan tambahan untuk menampung kos hidup serta perniagaan. Dengan pendapatan tambahan, boleh lah nak menikmati gaya hidup yang lebih baik.
Nak tambah aset ke, bawa keluarga bercuti, membeli-belah atau mungkin nak berikan pendidikan extra untuk anak-anak. Kadang-kadang, pendapatan secara online lebih lumayan dari pendapatan secara offline.
3. Di mana-mana sahaja dan menjimatkan masa
Perniagaan secara online, di mana-mana pun boleh. Di rumah atau pejabat, terpulang kepada keselesaan anda. Tak perlu ambil masa nak cari pelanggan secara bersemuka. Dah jimat masa untuk bersiap, perjalanan dan sebagainya.
Tapi anda tetap perlu sediakan tempat untuk simpan stok dan barangan keperluan perniagaan anda melainkan bisnes dropship.
Jika nak balik ke kampung atau melancong ke satu dunia pun, anda masih boleh menjalankan perniagaan secara online. Yang penting, kena lah ada talian internet!
4. Pasaran yang luas
Pengguna internet dan media sosial di dunia ini sangat ramai, bukan di Malaysia sahaja. Di mana lagi anda nak capai keseluruhan pasaran Malaysia dan juga antarabangsa dengan cepat jika bukan secara online?
Tapi jangan bermimpi nak capai pasaran yang luas jika tak ada tindakan yang betul. Anda perlu jalankan kempen marketing secara besar-besaran. Impian dah besar, tindakan pun kena lah besar. Yang penting, banyakkan bersabar dan trust the process.
5. Melibatkan kos yang rendah
Dengan peningkatan teknologi, kos menjalankan perniagaan secara online adalah jauh lebih murah jika nak dibandingkan secara offline. Lebih-lebih lagi dengan menggunakan media sosial.
Peluang ini membolehkan sesiapa sahaja memulakan perniagaan online kerana semua usahawan kini mampu untuk berniaga!
Tak perlu lagi modal yang besar untuk membayar sewa kedai dengan kos ribuan ringgit setiap bulan, serta kos pengubahsuaian kedai yang mungkin memakan belanja puluhan ribu ringgit. Bil-bil pun menjadi semakin murah.
Jangan terkejut, ada usahawan yang menjadi jutawan dengan hanya berniaga secara online. Tapi! Kenalah sesuaikan dengan model perniagaan anda.
Pemasaran secara online
Sebenarnya ramai je usahawan yang dah tahu berniaga secara online ni banyak kelebihan, namun masih tak nak buat tindakan kerana tak pasti dengan hasilnya. Sampai bila-bila pun anda tak akan nampak hasilnya jika tak bermula.
Perlu juga diingat, bukan semua perniagaan sesuai dibuat secara online. Terutama sekali perniagaan yang melibatkan perkhidmatan. Namun untuk marketing, platform online adalah salah satu medium yang terbaik!