Kata orang tua-tua, banyak berjalan, luas pengalaman banyak melihat, luas pengetahuan.
Dalam keterujaan untuk melancong kadang-kadang kita terlupa perkara yang sewajarnya dilakukan, sebagaimana diajar oleh Rasulullah s.a.w.
Sebagai umat Baginda, alangkah baik jika kita mempraktikkan sunah tersebut.
Mudah-mudahan perjalanan itu diberkat dan dirahmati Ilahi.
Antara yang Nabi s.a.w lakukan ialah;
1. Niat
Baginda memulakan perjalanan dengan niat yang baik, bukan untuk tujuan maksiat, kemungkaran atau tanpa tujuan. Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa, “Seorang lelaki berkata kepada Rasulullah, ‘Wahai Rasulullah, aku akan memulakan perjalanan (musafir), jadi berikanlah nasihat kepadaku.’ Lalu Nabi bersabda, ‘Hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dan bertakbir setiap kali melewati (melalui) tempat yang tinggi. Selepas lelaki itu pergi, Nabi berdoa, ‘Ya Allah, dekatkanlah jarak perjalanannya dan permudahkanlah perjalanannya.” (HR Tirmizi)
2. Solat sunat dua rakaat
Sebelum melangkah keluar, Baginda solat sunat dua rakaat, agar Allah memudahkan segala urusan sepanjang perjalanan itu.
Hal ini dijelaskan dalam hadis bermaksud, “Tidaklah seseorang meninggalkan keluarganya yang lebih baik daripada solat sunat dua rakaat yang dilakukan tatkala berniat untuk bermusafir.” (HR Tabrani)
3. Berdoa sewaktu meninggalkan rumah
Bacalah doa sebelum keluar dari rumah. Jangan lupa membaca, “Bismillah…. dengan nama Allah, aku beriman dan bertawakal kepada Allah dan tiada yang berkuasa melainkan Allah.”
Apabila menaiki kenderaan, bacalah doa menaiki kenderaan. Sabda Baginda bermaksud, “Tiga doa yang akan dikabulkan Allah iaitu doa orang teraniaya, DOA ORANG YANG BERMUSAFIR dan doa ibu bapa terhadap anaknya.” (HR Tirmizi)
4. Mulakan perjalanan pada waktu malam
Mulakan perjalanan pada waktu malam kerana banyak faedahnya.
Selain lebih tenang, jumlah kenderaan juga berkurangan. Malah kita akan terasa begitu cepat masa berlalu.
Dalam masa yang sama, pastikan mendapat rehat secukupnya.
Sebuah hadis menceritakan tentang kelebihan berjalan pada waktu malam ialah, “Berjalanlah pada waktu malam kerana bumi dijadikan lebih pendek pada waktu malam.” (HR Abu Daud)
5. Mulakan pada hari khamis
Rasulullah suka memulakan perjalanan pada hari Khamis, la seperti dinyatakan hadis iaitu, “Rasulullah berangkat ke perang Tabuk pada hari Khamis. Baginda suka memulakan perjalanannya pada hari Khamis.” (HR Bukhari)
6. Minta izin keluarga dan ucapkan selamat tinggal
Bagi seorang anak atau isteri, mintalah izin daripada ibu bapa dan suami terlebih dahulu, sebelum keluar rumah dan ucaplah selamat tinggal kepada mereka.
Hal tersebut dinyatakan daripada kitab al-Azkar, oleh Imam Nawawi, menyatakan bahawa, “Apabila seseorang daripada kamu akan bermusafir, hendaklah meminta izin kepada saudara saudaranya, kerana sesungguhnya Allah menjadikan kebaikan pada doa mereka.”
7. Lakukan secara berkumpulan
Sekiranya mahu melancong atau berpergian ke mana mana, bawalah teman.
Ia bukan sahaja dapat dijadikan teman berbual, tetapi jika berhadapan dengan masalah, ia dapat diselesaikan dengan lebih mudah.
Andai perjalanan itu lebih daripada tiga orang, disunatkan melantik ketua.
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud, “Jika manusia mengetahui bahaya bermusafir sendirian sebagaimana aku ketahui, tentu mereka enggan bermusafir sendirian.” (HR Bukhari)
8. Jaga makanan ketika dalam perjalanan
Berhati-hatilah memilih makanan ketika dalam perjalanan.
Bukan sahaja untuk memastikan tahap kebersihan, tetapi juga melibatkan halal dan haram.
Ini dijelaskan dalam peristiwa ketika Rasulullah dan para sahabat dalam perjalanan ke perang Tabuk.
Rasulullah berhenti di sebuah tempat untuk berehat dan melepaskan penat. Kawasan tersebut dahulunya dihuni oleh kaum Tsamud.
Di situ mereka menemui sebuah perigi yang pernah digunakan oleh kaum tersebut sebagai sumber minuman dan untuk ternakan.
Lalu para sahabat mengambil airnya untuk minum dan membuat roti sebagai mengalas perut.
Apabila perkara itu sampai ke pengetahuan Rasulullah, Baginda melarang mereka dan mengarahkan agar roti tadi dibuang serta dijadikan makanan unta.
9. Bertadbir
Kita digalakkan supaya bertakbir ketika melalui tempat tinggi dan bertasbih apabila menuruninya.
Misalnya ketika menaiki kapal terbang. Daripada Jabir r.a, beliau berkata, “Apabila kami naik kami bertakbir, dan apabila turun kami bertasbih.” (HR Bukhari)
10. Lakukan sesuatu yang menghiburkan
Kita mungkin bosan menghadapi perjalanan yang panjang. Kita boleh menyanyi, berzikir atau apa sahaja yang menyeronokkan, asalkan tidak melalaikan.
Ini kerana, Rasulullah suka perjalanan yang menyenangkan.
11. Sujud syukur
Apabila tiba di destinasi lakukan sujud syukur sebagai tanda terima kasih kepada Allah kerana selamat dalam perjalanan.
12. Berdoa ketika memasuki kawasan baru
Nabi menggalakkan kita agar berdoa apabila memasuki sesuatu kawasan, sama ada kampung, daerah, negeri atau negara yang baru dikunjungi. Semoga Allah SWT permudahkan dan melindungi sepanjang perjalanan dan urusan ketika kita berada di tempat itu.
13. Minta orang musafir doakan kita
Antara doa yang paling mustajab ialah ketika bermusafir.
Oleh itu kita digalakkan untuk meminta mereka yang sedang bermusafir agar turut mendoakan kita.
Malah Baginda pernah meminta yang ingin mengerjakan umrah mendoakannya.
Perkara tersebut dijelaskan dalam hadis seperti berikut, tiga doa yang sangat mustajab iaitu doa orang yang puasa, doa orang yang dizalimi dan doa orang yang mendoakan insan lain (Ahmad dan Tirmizi.)
14. Solat qasar dan jamak
Mereka bermusafir lebih dari dua marhalah atau kira-kira 90 kilometer, dibolehkan untuk menjamak (menggabungkan solat) dan mengqasarkan (mencantumkan solat), solat Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak.
Sebagaimana disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas.
“Rasulullah menjamakkan solat Zuhur dan Asar, Maghrib dan Isyak di Madinah, di mana tidak terdapat ketakutan atau hujan.” Di dalam riwayat lain, telah dikatakan kepada Ibnu Abbas, “Mengapa Baginda melakukan begitu?” Beliau berkata, “Agar umatnya tidak dibebankan dengan kesukaran.” (HR Muslim)
15. Membeli buah tangan
Setelah pulang kembali ke rumah, bawalah buah tangan sebagai tanda ingatan untuk keluarga dan sahabat handai. la juga sebahagian daripada sunah Rasulullah.
4 Comments
Terima kasih.memberi ilmu yang baik.saya berharap tahun ni saya dapat masuk dalam kelas bimbinggan richwork..doakan saya
Terima kasih memberi ilmu yang sangat berguna untuk diamalkan
Tkasih RICHWORKS
Terima kasih atas perkongsian ilmu yang sangat berguna untuk di menafaatkan jadi rutin harian hidup apalagi saat ingin bermusafir.
Mudahan Allah izinkan jadi rezeki nyata untuk saya jadi salah seorang peserta program class bimbingan Richworks.
Aamiin…
Terima kasih atas comment anda. Semoga doa anda dimakbulkan oleh Allah SWT. Anda Kaya & Berjaya!