Bekerja dengan Gen Z, kadang-kadang rasa macam masuk ke dalam satu dunia yang terlalu baru bagi generasi yang sebelumnya.
Jika anda seorang usahawan, majikan atau pengurus, anda mungkin sudah berhadapan dengan cabaran dan ciri unik yang datang bersama Gen Z di tempat kerja.
Sebaliknya, jika anda sebahagian daripada Gen Z, anda mungkin juga berasa kecewa apabila rakan sekerja yang lebih tua tidak memahami gaya anda.
Namun sebenarnya, bekerja dengan Gen Z tidaklah membebankan. Generasi berbeza, tapi mereka masih boleh dilentur untuk menjadi pekerja yang hebat.
Setiap orang hebat bermula dengan peluang dan ilmu. Berikan mereka peluang dan ajar mereka untuk menjadi orang yang hebat. Ia juga boleh menjadi pengalaman yang menarik dan memuaskan jika semua pihak ada nilai yang sama.
Kalau Gen Z anda dah putus asa, macam mana nak bekerja dengan Generasi Alpha yang akan datang?
PERHATIAN: Tips ini tidak terpakai kepada semua Gen Z kerana ramai juga yang boleh masuk dengan persekitaran kerja generasi sebelum mereka.
Jangan pening kepala bekerja dengan Gen Z
1. Fahami asas-asas penting berkaitan Gen Z
Sebelum kita bercakap tentang cara bekerja dengan mereka, mari kita fahami siapa Gen Z. Mereka membesar dengan telefon pintar di tangan dan internet di hujung jari.
Mereka juga telah menyaksikan abang dan kakak milenial mereka menghadapi cabaran ekonomi, serta mengalami ketidakstabilan yang dibawa oleh pandemik COVID-19. Ini menjadikan mereka berhati-hati tetapi juga berani.
Apa yang Mendorong Gen Z:
- Mereka tidak pernah hidup tanpa internet, jadi komunikasi digital adalah bahasa semula jadi mereka, daripada teks kepada video call, TikTok dan sebagainya.
- Mereka menghargai kebebasan tetapi juga suka bekerjasama dalam persekitaran yang lebih fleksibel dan digital.
- Mahu kerja mereka bermakna dan memilih syarikat yang sepadan dengan nilai seperti kelestarian dan kepelbagaian.
- Gen Z lebih suka mencipta laluan sendiri. Berpindah kerja untuk mencari pengalaman baharu? Normal bagi mereka.
2. Bertutur dalam bahasa mereka
Salah satu cara untuk tarik minat dan mudah bekerja dengan Gen Z adalah dengan berkomunikasi cara mereka. Dalam masa yang sama, buat mereka suka untuk berkomunikasi cara anda juga. Lama kelamaan, jurang komunikasi antara dua generasi akan berkurang.
3. Fleksibiliti adalah Kunci
Jika anda masih terikat dengan kerja mesti berlaku antara jam 9 pagi hingga 5 petang, sudah tiba masanya untuk ubah fikiran. Gen Z sangat menghargai fleksibiliti sama ada dari segi lokasi kerja, waktu kerja atau cara bekerja.
Bagaimana Anda Boleh Fleksibel:
- Pandemik telah memperkenalkan ‘bekerja dari rumah’ dan ramai yang suka dengan kaedah kerja baru ini. Biarkan mereka bekerja dari tempat yang paling produktif bagi mereka.
- Gen Z mahu kawalan ke atas masa mereka. Jika mereka dapat mencapai matlamat tanpa mengikut waktu kerja yang kaku, biarkan mereka melakukannya.
- Percayakan mereka untuk menyelesaikan tugas dan tumpukan pada keputusan, bukan pada proses.
4. Peluang perkembangan karier adalah kunci kesetiaan
Gen Z adalah golongan yang bercita-cita tinggi dan suka belajar. Jika mereka merasakan kerja mereka tidak memberi apa-apa perkembangan, mereka tidak akan kekal lama. Cara terbaik untuk mengekalkan minat mereka adalah dengan melabur dalam perkembangan mereka.
5. Kerja berdasarkan tujuan
Generasi ini bukan bekerja semata-mata mahu gaji tetapi mereka juga mahu rasa bangga dengan tempat mereka bekerja. Mereka amat mengambil berat tentang apa yang syarikat anda perjuangkan dan akan cepat menyedari jika nilai syarikat tidak sepadan dengan mereka.
6. Utamakan kesihatan mental
Gen Z lebih terbuka tentang kesihatan mental berbanding generasi terdahulu. Mereka memahami kepentingan kesejahteraan dan menjangkakan majikan mereka untuk menyokong mereka dalam menguruskan tekanan.
Bagaimana Anda Boleh Menyokong Kesihatan Mental Mereka:
- Tawarkan akses kepada kaunseling, hari kesihatan mental atau program kesejahteraan.
- Gen Z tidak begitu memuja ‘hustle culture’. Mereka perlukan ‘work life balance’.
- Promosikan persekitaran di mana ia baik untuk bercakap tentang kesihatan mental. Ini membantu pekerja berasa difahami dan disokong secara penuh.
7. Berikan ruang untuk berinovasi
Gen Z mempunyai perspektif yang segar dan tidak takut untuk mencetuskan perubahan. Namun, jika tempat kerja terlalu kaku, kreativiti mereka boleh terbantut.
Bagaimana Anda Boleh Menyokong Kreativiti Mereka:
- Benarkan mereka mencuba perkara baharu walaupun ada risiko. Idea-idea terbaik kadang-kadang datang daripada pemikiran di luar kotak.
- Mereka suka kerja berpasukan. Sediakan peluang untuk mereka bekerjasama dalam sesi brainstorming atau projek antara jabatan.
- Apabila mereka menghasilkan idea yang hebat, beri mereka pengiktirafan yang sewajarnya.
8. Akhiri zaman ‘micromanagement’
Gen Z tidak suka dikawal secara ketat. Mereka berdikari dan lebih suka bekerja secara autonomi. Mengawasi mereka terlalu dekat hanya akan menyebabkan ketidakselesaan.
Bagaimana Anda Boleh Beri Ruang kepada Mereka:
- Beritahu apa yang anda jangkakan, tetapi jangan kawal setiap langkah mereka. Biarkan mereka mencari cara untuk mencapai matlamat tersebut.
- Semakan secara berkala adalah baik, tetapi jangan mengawasi setiap butiran.
- Biarkan mereka membuat keputusan tentang kerja mereka. Ini akan meningkatkan keyakinan dan rasa tanggungjawab mereka.
Ajar mereka jadi orang yang hebat
Macam mana? Dah bersedia nak bekerja dengan Gen Z secara lebih dekat? Tak dinafikan, banyak perniagaan yang ada pengalaman yang tidak baik dengan Gen Z. Tapi perlu diingat juga, tanpa mereka siapa yang akan jadi pelapis negara suatu hari nanti.
Dan tak semua Gen Z bermasalah. Sebab itulah adanya sesi temuduga sebelum menggajikan pekerja. Untuk majikan nilaikan adakah mereka layak untuk digajikan.
Kalau dah pilih mereka, ajar mereka untuk jadi hebat seperti anda. Buat mereka selesa dan akan terus setia bekerja dengan anda.
Peribahasa ada mengatakan, ‘masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum.’ Ambillah generasi apa pun untuk bekerja, kalau mereka sendiri tak nak ubah sikap yang kurang baik kepada baik, tak boleh nak buat apa.
Yang penting, anda jalankan tanggung jawab sebagai majikan yang baik dan hebat di mata mereka agar mereka terinspirasi dan ubah sikap.