ANDA setuju tak dengan tajuk di atas ini?
Bisnes ini jika dilihat dengan mendalam dan menyeluruh, semuanya mengenai manusia.
Yalah, bisnes datangnya daripada masalah yang mana usahawan bantu untuk selesaikannya melalui produk dan perkhidmatan anda.
Masalah yang dihadapi oleh siapa? Manusia, individu atau organisasi yang diuruskan juga oleh manusia bukannya makhluk lain!
Untuk anda membina bisnes yang berjaya, sangat penting menguruskan manusia ini dengan sebaik-baiknya.
Bagaimana hendak naikkan jualan, jika produk atau perkhidmatan anda tak diketahui manusia, tak dilihat, tak didengar dan tak diyakini.
Jadi, saya cadangkan selepas ini cuba ambil masa sekejap di tempat tanpa ada gangguan dan lihat balik realiti keadaan bisnes anda sekarang ini.
Anda sendiri sudah boleh lihat adakah sasaran bulan Mac ini atau suku tahun pertama 2022 dapat dicapai seperti ditetapkan?
Tulis dan lihat balik apa yang perlu diubah dan tambah baik agar dapat mencapai target dan matlamat anda.
Jika tak tahu caranya dan masih buntu, rujuk kepada yang lebih arif.
Target yang jelas
Sudah ada target itu betul, namun adakah ia sangat jelas?
Umpama target saya nak naik Gunung Kinabalu pada tahun depan.
Ada sesiapa yang nak ikut ke?
Dari impian hanya angan-angan, saya tak berani nak target untuk mendakinya sebab dulu badan lagi besar tetapi kini saya dalam proses menurunkan berat badan.
Saya ada masa lebih kurang 12 bulan untuk mempersiapkan diri dengan latihan termasuk mula mendaki di bukit dan gunung bagi membiasakan diri.
Sama juga seperti anda sebagai usahawan, perlu ada target yang jelas, contohnya matlamat anda nak capai jualan RM1 juta pertama.
Bagus ada matlamat itu, tapi soalnya bila? Dalam tempoh masa 1 tahun lagi, 10 atau 50 tahun lagi? Dan kemudian pecahkan, jika matlamat anda selama setahun itu kepada 12 bulan untuk ketahui berapa pula purata jualan sebulan diperlukan.
Inilah magic numbers yang anda perlu tahu supaya lebih jelas dan dapat buat rancangan yang lebih baik lagi dan merupakan antara perkara asas tapi sangat penting bagi seseorang usahawan itu dalam membina bisnes yang berjaya.
Saya ada terangkan dengan jelas pasal magic numbers ini dalam program Zero To Million (ZTM) kami.
Sebenarnya, untuk anda membina bisnes berjaya memerlukan dalam tiga ke enam bulan atau setahun saja bila anda mengikut formula yang saya ada.