Pengembangan dunia digital hari ini telah banyak mempengaruhi cara hidup kita semua.
Ia telah merubah cara kita berfikir, bekerja dan fokus pemerhatian seharian. Begitu juga sekiranya kita berhasrat memperkukuh aspirasi keusahawanan dan pembangunan kerjaya dalam arus digital kini.
Pendekatan yang perlu diambil melibatkan beberapa inisiatif tertentu termasuk membina penjenamaan peribadi (personal branding).
Dalam dunia perniagaan hari ini, tidak cukup dengan hanya memiliki produk dan perkhidmatan yang cemerlang. Pengguna hari ini juga ingin mengetahui kisah di sebalik penjenamaan peribadi.
Memanfaatkan penjenamaan peribadi boleh menjadi alat yang sangat berkesan sebagai senjata bangsa usahawan.
Definisi penjenamaan peribadi
Secara amnya, pemahaman tentang penjenamaan peribadi adalah usaha untuk mempromosikan diri dan kerjaya seseorang sebagai jenama dengan membentuk citra diri sehingga mendapat kepercayaan masyarakat umum.
Pendapat lain mengatakan, penjenamaan peribadi adalah bagaimana seseorang memperkenalkan atau memperkenalkan dirinya kepada masyarakat umum.
Oleh itu, penjenamaan peribadi dapat membantu seseorang untuk mengembangkan diri dan menjadikan diri mereka sebagai seseorang yang mempunyai kuasa dalam bidang atau industri tertentu.
Apabila anda sudah ada jenama peribadi, kerja-kerja memasarkan apa juga produk menjadi lebih mudah.
Dunia dalam talian hari ini membolehkan jenama dibina dan dimiliki individu-individu biasa dan tidak lagi terhad kepada syarikat-syarikat besar sahaja.
Secara ringkas, penjenamaan peribadi merujuk kepada keupayaan seseorang membentuk persona tersendiri sehingga mudah diingati orang lain, dan mengaitkannya dengan perniagaan, produk atau syarikat yang dimiliki atau diwakilinya.
Contoh penjenamaan peribadi
Elon Musk: Tesla
Jack Ma: Alibaba
4 langkah bina penjenamaan peribadi:
1. Tonjol kualiti terbaik
Untuk menjadikan diri kita sebagai satu jenama, tak perlu jadi yang bukan-bukan untuk menarik perhatian. Kita harus bersifat jujur. Tonjolkan kualiti terbaik yang anda miliki. Pada masa sama, usah berubah sehingga dilihat seperti tidak asli pula.
Apa yang perlu anda buat ialah supaya sentiasa menjadi tempat rujukan dan sentiasa ada apabila diperlukan untuk memberi pandangan dan pendapat.
2. Audit semula akaun media sosial
Audit semula semua akaun media sosial yang kita miliki, dan seragamkan gambar profil kita.
Pilih gambar terbaik (terbaik bermaksud gambar yang jika ia muncul di surat khabar, kita bangga melihatnya!), seelok- eloknya dari jarak dekat, diberi fokus pada bahagian pinggang ke atas.
Setelah memilih gambar, gunakan gambar yang sama untuk semua profil, baik di Facebook, Instagram, Twitter, Google, e-mel dan lain- lain medium media sosial yang anda gunakan.
3. Membangunkan laman web
Bagi mengukuhkan jenama peribadi atas talian adalah melalui laman web milik sendiri.
Akaun Facebook, Instagram dan Twitter sahaja tidak mencukupi jika anda benar-benar serius mahu menaiktarafkan diri kita sebagai satu jenama.
Laman web merupakan platform terbaik untuk kita memberi posisi yang paling tepat tentang kepakaran dan kelebihan anda kepada orang lain.
Usah rasa rendah diri sekiranya anda hanya seorang ejen insurans yang baru nak mula, atau pengedar produk jamu kampung beroperasi di rumah, atau peniaga jualan langsung sambilan.
Laman web milik peribadi lebih dekat dengan pembaca berbanding laman web syarikat besar dan terkemuka. Ini memberi anda kelebihan di mata dan hati pelanggan.
4. Tentukan kumpulan sasar
Bukan nak jual produk dan perkhidmatan sahaja perlu ada kumpulan sasar. Penjenamaan peribadi juga begitu.
Sebagai contoh, jika seseorang ingin dikenali sebagai penceramah pemasaran internet, maka dia mesti dapat menghubungi orang perniagaan dalam talian. Dengan cara itu, orang tersebut dapat melakukan pelbagai usaha untuk mempromosikan diri dengan lebih terarah.
Dengan membangunkan penjenamaan peribadi sekali gus dapat membina kepercayaan pelanggan terhadap produk dan perkhidmatan yang anda tawarkan.
Pada masa sama, membuatkan pelanggan lebih mengingati perniagaan dan penjenamaan peribadi anda sendiri.
Ada ratusan produk yang sama diluar sana, jika anda telah bina penjenamaan peribadi yang unggul itu sudah jadi nilai tambah dan membuatkan pelanggan nampak produk dan perkhidmatan anda lebih istimewa.