Anda sudah berasa mengantuk, jadi anda pastinya mula malapkan lampu sambil mencari mood untuk tidur.
Sudah tentu, sedikit cahaya mungkin memasuki dari sisi tingkap atau pancaran dari jam penggera, modem TV dan semestinya telefon bimbit.
Bukan masalah besar katanya. Betul ke?
Fikir semula. Ternyata walaupun sedikit cahaya memasuki ruang pada waktu malam dari mana-mana sumber mungkin mendatangkan risiko terhadap jantung anda.
Satu kajian baru-baru ini mendapati bahawa mereka yang berumur 63 hingga 84 tahun yang terdedah kepada cahaya semasa waktu tidur lebih berkemungkinan menjadi obes, menghidap diabetes dan mempunyai tekanan darah tinggi.
Kajian itu turut disokong oleh NHLBI yang diterbitkan dalam jurnal SLEEP.
Satu lagi kajian yang diterbitkan dalam PNAS melibatkan mereka yang berusia dalam lingkungan 20-an menunjukkan bahawa pendedahan cahaya semasa tidur boleh meningkatkan ketahanan insulin dan risiko diabetes pada keesokan harinya.
“Kaitan antara cahaya pada waktu malam dan penyakit kardiovaskular telah diabaikan sejak sekian lama. Kini, orang ramai mula menyedari bahawa ini adalah suatu masalah, “kata pengarang kajian SLEEP, Minjee Kim, M.D., yang merupakan penolong profesor neurologi di Pusat Perubatan Circadian & Sleep Medicine di Northwestern University Feinberg di Chicago.
Bagi mengurangkan jumlah cahaya di dalam bilik tidur, penyelidik mengesyorkan supaya mematikan lampu, komputer, tablet, telefon bimbit dan elektronik pemancar cahaya lain sebelum anda tidur.
Sesetengah peranti tersebut, terutamanya telefon bimbit, memancarkan gelombang cahaya biru yang boleh meniru cahaya siang hari dan mengganggu waktu tidur.
Kajian juga telah mengaitkan bahawa pendedahan cahaya biru pada waktu malam memberi kesan kepada peningkatan risiko kardiovaskular, termasuk obesiti.
Akibatnya, sesetengah pakar kesihatan mengesyorkan penggunaan penapis cahaya biru kerana ia seperti mustahil untuk berhenti daripada terus menggunakan gajet tersebut.
Petua lain: Jika cahaya masuk dari tingkap, cuba tutup sepenuhnya atau sekurang-kurangnya alihkan katil anda supaya cahaya tidak bersinar di wajah.
Bagi perlindungan warga emas, penyelidik mengesyorkan lampu malam yang kecil dan berwarna gelap seperti seperti merah atau amber mengurangkan kemungkinan terjatuh daripada katil pada waktu malam.