2020 adalah tahun di mana ramai selebriti antarabangsa melancarkan jenama produk kecantikan sendiri termasuklah Selena Gomez.
Melancarkan produk kecantikan Rare Beauty, apa yang membezakan jenama ini berbanding yang lain adalah misi dermawan yang diketengahkan oleh syarikatnya.
Rare Beauty memfokuskan kepada nilai menyayangi diri sendiri, meningkatkan kesedaran dan mengumpul dana bagi sokongan serta perkhidmatan kesihatan mental.
Selena telah membuat pengumuman tentang Rare Beauty pada 4 Februari 2020, melalui akaun Instagramnya sebelum jenama itu dilancarkan secara rasmi pada 3 September 2020.
Nama “Rare” merujuk kepada album studio ketiganya dengan nama yang sama.
“Saya sentiasa mahukan nama Rare. Ia telah menjadi identiti jenama saya dan siapa yang saya mahu menjadi,” jelas Selena.
Misi Kecantikan
Dia juga telah mencipta Rare Beauty kerana mahu memperkasakan wanita untuk memakai solek kerana mereka mahu, bukan kerana mereka perlu.
Terdapat banyak takrif kecantikan yang tidak realistik di luar sana yang telah melekat di minda masyarakat seperti yang dibawa oleh media dan produk solekan lain.
Piawaian yang tidak realistik ini telah menjejaskan Selena Gomez sebagai seorang selebriti dan sebagai manusia biasa.
“Saya telah menghabiskan bertahun-tahun dalam hidup untuk cuba kelihatan seperti orang lain. Saya akan melihat imej dan berkata, ‘Ya ampun, kenapa saya tidak kelihatan seperti itu?
Jadi, misi Rare Beauty adalah untuk memusnahkan standard kecantikan yang tidak realistik dan memberitahu orang ramai untuk berhenti membandingkan diri mereka dengan orang lain dan menghayati keindahan serta keunikan semula jadi mereka,” kongsinya.
Bagi menjayakannya, Selena Gomez telah mencipta produk kecantikan yang menghasilkan solekan semula jadi dan membuat wajah berseri.
Dengan melakukan ini, individu yang menggunakan produk Rare Beauty boleh meningkatkan kecantikan dan ciri semula jadi mereka berbanding menggunakan produk yang menutup atau menukar ciri mereka sepenuhnya.
Kempen Kesihatan Mental 101
Selain misi berkaitan kecantikan, Selena Gomez juga mempunyai misi berkaitan kesihatan mental.
Pada Mei 2021, Rare Beauty telah mengadakan kempen Kesihatan Mental 101. Mereka memilih bulan Mei secara khusus kerana ia adalah bulan kesedaran kesihatan mental.
Kempen itu diadakan sepenuhnya di Instagram, Tik Tok, Twitter, Facebook, dan LinkedIn. Melalui siaran maklumat di platform media sosial, Rare Beauty dapat mengumpul $82,000 untuk Dana Rare Impact mereka, mendapatkan lebih 60,000 tandatangan untuk petisyen Kesihatan Mental 101 dan menjana lebih 300,000 penglibatan sosial merentas semua platform.
Secara keseluruhannya, kempen ini sangat berjaya dan memberi impak serta bermanfaat untuk diadakan setiap tahun pada bulan Mei.
Adalah sangat mengagumkan bahawa Selena Gomez sangat terbuka tentang pengalamannya dan ingin memberi nilai apabila berkaitan dengan kesihatan mental.
Dia menyedari bahawa dia mempunyai platform dan menggunakannya secara aktif untuk membuat perubahan.
Mungkin ada yang berpendapat bahawa dia tidak memerlukan jenama kecantikan untuk memenuhi misinya dan hanya perlu menumpukan pada Rare Impact Fund jika benar-benar mahu memberi kesan kepada kesihatan mental.
Walau bagaimanapun, Rare Beauty telah membuktikan inisiatif mereka boleh berjaya. Dengan mengumpul wang melalui jualan produk, Rare Beauty boleh menyediakan produk kepada pengguna, sambil tetap memberikan kesedaran tentang cintai diri sendiri, mendidik dan mengumpul dana untuk sokongan serta perkhidmatan kesihatan mental.
Anda dapat sesuatu?