“Ini ingatan buat anda yang suka diingatkan dan ambil perhatian sebelum buat keputusan untuk melabur duit takut-takut melebur pula nanti,”
Datuk Wira Dr Azizan Osman
Jangan biarkan nasi menjadi bubur . Pelbagai taktik dan strategi dibuat mereka tidak bertanggungjawab ini menggunakan skim cepat kaya dalam bermacam-macam bentuk.
Apatah lagi, bila syarat kemudahan i-Sinar bagi mengeluarkan duit caruman dimansuhkan KWSP. Maka akan ada pihak tak bertanggungjawab ini akan cuba mengambil kesempatan dan memerangkap anda dalam skim cepat kaya mahupun penipuan-penipuan lain.
1/ Jangan “melabur” wang atau cuba fikir banyak kali bila ada orang approach anda untuk buat sebarang pelaburan samada emas, hartanah, perniagaan, tanam pokok kayu atau apa sahaja jenis yang mereka panggil “pelaburan” atau “perkongsian keuntungan”.
2/ Jika anda melabur beli emas anda sepatutnya dapat emas fizikal ditangan, emas tulen ikut nilai yang ada laburkan atau beli. Kecuali anda menyimpan di akaun simpanan emas di Bank seperti ArRajhi, Maybak atau Public Bank.
3/ Jika anda mahu melabur kepada syarikat orang lain, JANGAN serah duit bodoh-bodoh tanpa ada khidmat nasihat peguam luar anda sendiri serta kena faham apakah tahap pemilikan dan control anda terhadap wang tersebut serta syarikat tersebut.
4/ Ada satu lagi skim dan scam untuk buat anda melabur adalah dengan buat atas nama kononnya MLM/ Network Marketing Company sedangkan sebenarnya mereka tidak ada lesen AJL (Akta Jualan Langsung) dan skim mereka adalah Money Game.
Dan kadang-kadang mereka ada lesen juga tetapi mereka create Money Game dengan pelbagai rupa. Bukan semua syarikat MLM/Network Marketing company tidak bagus, banyak yang baik samada dari Malaysia atau negara luar.
Ia cara mudah untuk berjinak-jinak dengan perniagaan. Cuma disebabkan 2-3 syarikat yang buat skim cepat kaya, maka ia merosakkan yang lain. Saya tidak buat MLM, saya cakap fakta kerana saya mengkaji tentang bisnes.
5/ Apa contoh Money Game? Anda masuk duit kononnya beli sesuatu tetapi pada harga yang tidak munasabah kemudian anda kena samada tunggu 2 kaki dibawah cukup dan mereka akan beritahu tak perlu cari orang, duduk mengangkang then tunggu dapat duit atau kononnya nak cepat, anda boleh ajak kawan-kawan join.
Atau anda kononya beli kopi 100 gram berharga RM1,000 (Kopi apa harga RM1,000 untuk 100 gram, mungkin bukan kopi musang tapi kopi ziraffah). Kemudian kena dapatkan 2 kaki orang lain beli kopi macam anda then anda akan dibayar komisen pairing.
Ada lagi power, leader beritahu anda tak payah buat apa-apa, berdoa sahaja lepas itu anda akan dapat duit atau cium duit tiap-tiap hari.
6/ Illegal money deposit- Cuba faham perkara ni. Tidak ada sesiapa di Malaysia boleh collect duit atau ambil duit orang lain dengan sah untuk pelaburan melainkan anda adalah Bank, Syarikat Unit Trust, Koperasi, Tabung Haji, EPF dan syarikat Public Listed tersenarai di Bursa Malaysia melalui pembelian saham di syarikat stock broking firm.
Anda boleh menjadi shareholder (pemegang saham) kepada syarikat sdn bhd atau berhad tetapi anda kena faham apakah syarikat yang anda laburkan duit anda?
7/ Pointnya macam ini, fahami apa risiko anda. Sekiranya anda melabur, apakah tahap risiko hilang duit itu?
8/ Jangan melabur kepada individu. Jangan percaya dengan mudah sesiapa pun bila ia melibatkan hal duit. Hati-hati bila mereka janji anda boleh dapat pulangan yang dijanjikan seperti 10-12% sebulan.
Jika ia bagus, Bank Negara pun akan simpan duit dengan mereka der! Hubungi talian Bank Negara atau layari laman web mereka untuk pengesahan.
9/ Pelaburan Hartanah, Emas, Saham, Amanah Saham, Perniagaan dan instrumen yang lain adalah bagus TETAPI anda mestilah ada ILMU dan STRATEGI yang terbukti berjaya
10/ Pelaburan ilmu juga bagus dan penting tetapi jangan melabur hanya untuk dapatkan ilmu tetapi melabur untuk belajar pelajaran dari kesilapan orang lain, formula kejayaan dan pengalaman orang lain yang telah terbukti berjaya berulang kali bukan hanya kepada dirinya tetapi setiap mereka yang MEMPRAKTIKKAN formula mereka. Ia meningkatkan peluang anda berjaya InsyaAllah.
Setiap pelaburan ada risiko tetapi risiko paling besar adalah bila anda tidak tahu apa yang anda laburkan atau mana pergi duit tersebut.
Skim Cepat Kaya – Bina kewangan, ilmu penting sebelum belajar buat duit sama ada melalui business atau investment adalah :
1/ Belajar JAGA DUIT atau PROTECT DUIT anda. Ilmu lindungi duit sebab ibarat tanaman padi, bila ianya dah masak dan bakal ada hasil, banyak seranggan dan binatang yang nak datang ambil hasilnya
2/ Belajar uruskan duit. 90% orang yang saya kenal dan hadir seminar-seminar saya samada mengenai bagaimana membina perniagaan atau bagaimana memperbaiki kewangan, majoriti mereka tidak tahu ataupun gagal dalam bab menguruskan wang mereka. Jika anda tidak tahu uruskan wang anda walaupun sedikit, macamana anda akan uruskannya bila ianya banyak nanti?!
3/ Lepas mempunyai disiplin untuk 2 perkara di atas, barulah anda belajar buat duit melalui perniagaan yang sebenar dan melalui pelaburan yang sah serta legal.
Ingatan ini penting terutamanya buat anda yang bekerja kerana anda tidak mampu buat silap yang banyak kehilangan duit bukan?
Ingatan ini juga buat mereka yang bakal VSS. Jangan lompat terjun masuk bisnes yang perlukan modal yang besar atau melabur kerana ditakuti lebur semua duit anda. Anda akan melopong nanti hilang semuanya.
Ingatan ini juga buat anda yang berniaga. Berniaga sepatutnya cara pantas untuk mencapai tahap kewangan yang bagus dan menjadi jutawan tetapi ramai orang berniaga cukup-cukup makan sebab ego tidak mahu belajar dari orang lain yang telah terbukti berjaya. Tetapi lebih rela buat silap yang menghabiskan banyak wang.
Jangan salahkan sesiapa bila anda telah buat keputusan setuju untuk serahkan duit anda kepada orang lain. Ingat, duit tidak salah. Yang salah kita bila kita tidak ada ilmu sebagai penyuluh keputusan kita. Jangan percaya sesiapa dengan mudah walau dia kata dia kawan baik dengan MALAIKAT sekalipun.
Saya amat konvensional dalam hal ini. Saya sendiri pernah buat silap dalam mempercayai orang paling dekat dengan saya satu masa dahulu dan nilai jadi “kawan baik” tersebut telah meleburkan lebih setengah juta ringgit dan kesilapan keputusan dalam pelaburan tanpa ilmu ketika itu telah meleburkan lebih tiga juta ringgit.
Sebab itu hari ini saya percaya, ilmu daripada MenThor yang terbukti berjaya itu penting. Sebelum saya mahu mengajar orang lain jadi jutawan, saya telah mencapainya melalui syarikat pengiklanan dan pemasaran saya sejak tahun 2006 lagi.
Alhamdulillah dan syukur ramai anak didik saya yang perbaiki kewangan mereka dengan cara yang betul iaitu berniaga dengan betul serta melabur ditempat yang betul.
Yuran ‘kebodohan’ yang tinggi akan kita bayar bila kita tidak ada ilmu. Anda mungkin tidak suka saya tetapi ingatlah ingatan ini. Anda akan hargainya bila duit anda sudah ‘hilang’ nanti.