Suatu ketika dulu di pertengahan Disember tahun 2019, sebuah bandar bernama Wuhan di Wilayah Hubei, China merekodkan satu permulaan kluster di kalangan penghuni bandar tersebut. Simptom yang seakan pneumonia telah mengakibatkan pengidapnya mengalami demam, gangguan akut pernafasan yang teruk dan kematian cukup membuatkan pemerintah di sana tidak senang duduk melakukan kajian demi kajian untuk mengenal pasti virus aneh yang begitu cepat merebak ini.
Sedangkan pada waktu yang sama itu, semua negara di dunia diumpamakan masih sedang ‘tidur’. Tiada kekangan aktiviti di negara-negara lain malah tiada gangguan ekonomi. Namun sekarang, dunia menyaksikan satu situasi yang berubah drastik. Di mana, daerah di negara China itulah punca merebaknya Covid-19 namun sekarang, negara itu antara negara paling selamat dari ancaman pandemik ini. Manakala saat ini, kebanyakan negara terjejas dengan teruk termasuk Malaysia. Negara Malaysia diibaratkan mengalami gelombang paling dahsyat walaupun sebelum ini kita antara negara teratas di dunia untuk menangani pandemik ini.
Apa yang China lakukan sehingga menjadi negara pertama berdepan dengan pandemik ini, akhirnya menjadi antara negara yang paling selamat? Ini bukan masa untuk menyalahkan mana-mana pihak, tetapi ini masa untuk kita mencegah dan belajar dari negara yang dianggap sebagai gergasi Asia itu.
LOCKDOWN DI CHINA
1. Lockdown Atau Kawalan Pergerakan Yang Sangat Ketat
Pada 23 Januari tahun 2020, China telah mengumumkan lockdown atau kawalan pergerakan yang sangat ketat di kalangan rakyatnya. Hanya seorang wakil keluarga dibenarkan keluar rumah untuk mendapatkan barang keperluan itu pun untuk dua hari sekali sahaja. Tidak dibenarkan keluar dengan alasan lain kecuali untuk bantuan perubatan dan keperluan asas sahaja.
Selang beberapa minggu berada di kawalan pergerakan yang ketat, pada Februari bulan seterusnya, beberapa daerah China yang berdekatan telah mengikut langkah Wuhan sekali gus ianya membantu mengawal keluar masuk warganya dengan lebih efisyen. Bukan itu saja, kampung-kampung, kawasan perumahan/komuniti, apartment mahupun flat dikawal ketat. Hanya satu pintu keluar masuk dibenarkan malah pelawat juga diterhadkan dengan alasan yang konkrit sahaja. Di sesetengah tempat, tiada langsung pergerakan dibenarkan waktu malam. Ada juga yang terus diisytiharkan darurat ketat sehingga tiada langsung yang dibenarkan keluar atau masuk sepanjang hari yang ditetapkan.
2. Mask/Topeng Adalah Kewajipan Utama
Rakyat dan barisan hadapan hidup dalam norma baharu di mana mask/topeng adalah kewajipan utama selain daripada menjaga jarak dan kebersihan.
3. Kawalan Sempadan Negara
Kawalan sempadan negara juga tidak kurang hebatnya dikawal dengan ketat dari segi kemasukan malah di Wuhan sendiri, lapangan terbang ditutup sementara. Semua pelawat dikehendaki melalui ujian thermal dan dikuarantin bagi memastikan tiada jangkitan berulang.
JUSTERU, DI MANA SILAPNYA MALAYSIA?
Boleh dikatakan, apa yang telah China lakukan sudah diamalkan di Malaysia saat menghadapi gelombang kedua pada pertengahan Mac tahun 2020. Malah, boleh dikatakan kerajaan dan rakyat telah memainkan peranan masing-masing sehingga Malaysia mendapat pengiktirafan media dan juga pertubuhan kesihatan antarabangsa. Kadar kebolehjangkitan (Ro/Rt) menurun dengan drastik malahan Malaysia pernah menarik nafas lega saat melihat tiada kes jangkitan, Zero kes tempatan untuk kesekian kalinya pada Julai 2020.
Jadi, wajar untuk kita melihat kembali strategi China setelah wabak ini mula terkawal di negara mereka.
NORMA BAHARU DI CHINA
Inilah sebenarnya jawapan pada semua strategi setelah China bebas dari kawalan ketat. Setelah 70-hari berdepan dengan kawalan pergerakan yang begitu ketat, rakyat negara itu akhirnya berjaya menarik nafas lega apabila buat kali pertama merekodkan Zero jangkitan pada 8 April tahun lalu.
1. Topeng Muka Adalah Kewajipan Paling Penting
Bagi rakyat China, topeng muka adalah kewajipan paling penting. Malah menurut seorang pakar perubatan dari Kerala India yang tinggal di Wuhan, Dr Anila P Ajayan, Wuhan kini bergembira melakukan aktiviti tanpa merasa takut seperti sebelumnya. Namun, itu tidak bermakna mereka terus leka.
Warga China masih tidak meninggalkan amalan pemakaian mask terutama jenis N95 dan topeng medikal lain. Mereka tidak memakai mask jenis sebarangan terutama jenis kain kerana sedar virus itu mampu menembusi jenis tersebut. Di mana-mana, di stesen keretapi mahupun di premis terbuka atau tertutup, mereka memakai topeng.
2. Restoran Dan Gerai Bebas Beroperasi Namun Masih Dengan Kawalan Yang Sangat Ketat
Walaupun tiada kes direkodkan di sekeliling mereka, namun tiada pengunjung dibenarkan andai tidak melepasi pemeriksaan ketat. Andai ada pengunjung yang menunjukkan suhu tinggi, dia tidak akan dibenarkan masuk langsung.
3. Pengesanan Rekod Pergerakan Dan Kesihatan
Setiap aktiviti yang rakyat mereka lakukan sebenarnya masih diperhatikan dengan ketat walaupun mereka bebas untuk beriadah mahupun bekerja. Pengesanan rekod pergerakan dan kesihatan dilakukan dengan baik melalui kod QR dari aplikasi yang ditetapkan malahan mereka perlu mengisi borang akuan kesihatan diri untuk lebih pemeriksaan.
4. Kita Jaga Kita
Penduduk di kawasan perumahan pula saling bertanggungjawab menjaga sesama mereka. Sikap ambil tahu dan memandang serius tentang jangkitan ini akhirnya membawa pada kawalan awal yang baik antara mereka.
5. Kawalan Rapi Kemasukan Penerbangan Dari Luar
Bukan itu sahaja, kemasukan penerbangan dari luar juga dikawal dengan sangat rapi walaupun untuk kemasukan dalam negeri. Contohnya, pelawat tidak dibenarkan masuk ke Beijing selagi mereka tidak melakukan kuarantin wajib 14-hari di tempat lain.
6. Kawalan Ketat Di Sekolah
Sekolah-sekolah pula masih melakukan kawalan ketat dengan menjaga jarak pelajar malah meja-meja mereka dilabel untuk memudahkan pengurusan murid. Setiap hari sebelum sekolah bermula, mereka melakukan sanitasi wajib di dalam kelas bagi memastikan kebersihan di tahap maksimum.
7. Menjaga Penjarakan Sosial
Dari sekolah, tempat kerja hingga tempat awam, mereka masih menjaga jarak malah ada tempat riadah yang terus ditutup dari kegunaan orang awam. Kawalan ini pastinya menyebabkan ekonomi mereka yang dulunya gagah pesat membangun, kini meningkat agak perlahan. Namun apabila mereka dapat mengawal jangkitan, banyak peluang ekonomi tumbuh terutama bagi warga dalam negara mereka sendiri.
PEMULIHAN EKONOMI SETEMPAT DI CHINA
Rentetan pandemik telah membuatkan kerajaan China mengumumkan beberapa pakej stiumulus yang bertujuan memberi suntikan lonjakan ekonomi negara mereka. Penurunan fiskal dapat ditingkatkan kembali sebanyak 3 peratus dari GDP (Pendapatan Kasar Ekonomi Setempat). Sebanyak US$344.1 bilion telah dilaburkan.
1. Memperkenalkan Kupon Digital
Untuk melindungi peniaga setempat, mereka membuat pendekatan yang bijak seperti memperkenalkan kupon digital yang menyokong industri seperti katering, restoran dan juga perniagaan online. Tindakan ini telah meningkatkan simpanan tunai dalam bank sekaligus menaikkan kadar pendapatan kasar ekonomi mereka hanya dengan memilih berbelanja dengan kupon dari penggunaan tunai.
2. Sokongan Kewangan Untuk PKS
Pihak institusi kewangan China juga telah memberi sokongan pada peniaga kecil dan sederhana mereka (SME/PKS) termasuk kelonggaran pembayaran hutang dan memberi lebih pinjaman pada mereka untuk kelangsungan modal.
Kerjasama-kerjasama ini akhirnya memberi banyak manfaat pada peniaga dan ekonomi mereka setelah berjuang mengatasi Covid-19.
Dapatkah kita mengulang kembali kejayaan seperti kawalan pergerakan pertama di kawalan pergerakan ketiga ini dan seterusnya bebas pandemik seperti negara China?
Siapa yang boleh melupakan satu saat pada akhir Februari tahun 2020, di mana Malaysia dikejutkan dengan gelombang kedua dari kes jemaah tabligh yang menjadi satu kluster pandemik besar-besaran di negara ini? Sedangkan sebelum itu, Malaysia masih leka dengan kes jangkitan pertama yang kecil (Kebanyakannya dari kes pelancong luar negara). Kluster ini adalah titik permulaan bagi Malaysia untuk mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan yang pertama.
Rata-rata menyaksikan dari orang tua hingga anak-anak kecil dijemput menaiki ambulan dan lambaian yang mereka berikan ada yang telah menjadi lambaian terakhir pada ahli keluarga mereka. Peningkatan mendadak melihat para pejuang barisan hadapan kita terduduk kepenatan. Manakan tidak? Ketika itu kita tidak bersedia dari segi kelengkapan dan perlindungan para petugas baris hadapan sehingga memaksa wujud ramai NGO dan pertubuhan membantu menyalurkan bantuan pada mereka.
Dalam keperitan berdepan dengan pandemik, kita menyaksikan betapa bersatunya kita semua tanpa mengira kaum dan fahaman politik. Selebriti, ahli perniagaan, pemimpin malah rakyat Malaysia berganding bahu cuba mengawal jangkitan walaupun terpaksa melalui tempoh PKP yang agak panjang iaitu bermula bulan Mac di tahun yang sama itu.
Akhirnya, setelah berlaku penurunan demi penurunan kadar jangkitan tempatan, sedikit demi sedikit kawalan pergerakan dilonggarkan namun masih dalam pemerhatian teliti pihak kerajaan. Bermula April hingga Jun di tahun yang sama, Malaysia mula merasa semakin menang. Tanda KITA MESTI MENANG menjadi simbolik kecintaan seluruh rakyat Malaysia pada semangat melindungi negara dari wabak ini telah tular di media sosial dan rata-rata mula menarik nafas lega.
Pasti juga tiada siapa antara kita yang mampu melupakan betapa bangganya wajah Tan Sri Dr Noor Hisyam Abdullah berdiri di hadapan wartawan saat mengumumkan tiada lagi jumlah jangkitan tempatan di awal Julai 2020. Malah selepas itu beberapa kali Malaysia menyaksikan kosong jangkitan sehingga beliau mengumumkan berita tersebut dengan simbolik telur ayam iaitu mewakili angka sifar.
Malaysia menjadi contoh pada banyak negara yang ketika itu sedang berhempas pulas berdepan dengan pandemik ini. Malah rata-rata negara jiran Malaysia sendiri (Indonesia, Singapura, Filipina dan Myanmar) kecuali Thailand, sedang bergelut melandaikan lengkungan graf jangkitan. Nama Malaysia menjadi sebutan media antarabangsa luar negara.
Ingatkah lagi pada seorang doktor warga Amerika bernama Dr. Justin Pfundheller yang telah membuat video konten mengenai kejayaan Malaysia mengawal pandemik Covid-19? Video beliau menjadi tular dan dikongsi oleh ratusan ribuan pengguna media sosial dalam dan luar negara.
Malangnya, kegembiraan yang Malaysia rasai tidak bertahan lama.
Bermula September di tahun yang sama, tercetus gelombang ketiga yang bermula rentetan Pilihan Raya Negeri Sabah yang menyaksikan beberapa negeri mengalami kenaikan jangkitan mendadak. Beberapa kawasan juga telah diistiharkan sebagai kawasan PKPD melambangkan peningkatan jangkitan itu sendiri. Walaupun sesetengah negeri atau daerah telah diistiharkan zon hijau namun wabak ini akan berulang di tempat yang lain dan akhirnya menjangkiti kawasan yang sudah dianggap bebas Covid.
Pengumuman PKP, PKPD, PKPP dilakukan mengikut kesesuaian namun kes hanya melandai untuk seketika membuatkan Malaysia mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan kedua yang meliputi negeri tertentu yang terjejas teruk seperti Selangor dan Sabah. Namun hari ini peningkatan di Malaysia tetap semakin kritikal. Dengan pertambahan varian Covid dari Afrika Selatan dan India menjejaskan semua sektor ekonomi mahupun sosial. Pengumuman PKP kedua yang dibuat seakan tiada pengakhiran lalu sekali lagi rombakan SOP dilaksanakan membuatkan kerajaan mengumumkan PKP ketiga kerana jumlah keseluruhan jangkitan itu sendiri sudah mencecah 500, 000 kes keseluruhan.
Kes harian tetap meningkat. Rakyat semakin penat, apalagi dengan barisan hadapan.
Untuk mengulang kejayaan PKP yang pertama, seharusnya kita membandingkan kaedah-kaedah yang dilaksanakan dan melihat perbezaan agar kita semua dapat belajar daripadanya. Berikut adalah apa yang dapat kami senaraikan dari kajian kami sendiri:
Tindakan Kawalan Jangkitan Yang Lewat
Saat bermulanya gelombang kedua yang tercetus dari Kluster Tabligh Sri Petaling, Malaysia tidak mengambil masa yang lama untuk pengumuman jangkitan. Malah media masa memberi maklumat tepat melalui pengumuman kerajaan sendiri membuatkan rakyat menjadi berjaga-jaga. Pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan yang pertama diumumkan dengan pantas iaitu hanya kira-kira selang dua minggu dari tempoh kluster dikesan. Tapi pengumuman PKP pada bulan Januari tahun 2021 adalah lewat iaitu lima bulan selepas bermulanya pelbagai kluster. Dengan sistem PKP yang tidak menyeluruh seluruh Malaysia (Hanya negeri yang dianggap terjejas seperti Selangor, KL, Johor dan Penang). Kelewatan ini akhirnya membuatkan jangkitan sukar dikawal dan PKP menjadi berpanjangan.
Prosedur PKP Yang Tidak Lagi Sistematik
Berbeza dengan PKP yang pertama, PKP kedua dan ketiga tidak lagi menekankan untuk patuh duduk rumah sepenuhnya. Munculnya pelbagai kelonggaran syarat PKP yang berubah-ubah akhirnya memakan diri sendiri. Contohnya, kebanyakan jangkitan di zon hijau bermula dari jangkitan dari zon merah yang bebas masuk ke sana. Walaupun kebebasan itu bersyarat, namun ia tidak seharusnya dilakukan di saat wabak masih belum dilandaikan dan dikawal. Kawalan pergerakan di Wuhan, China dan Perintah Kawalan Pergerakan pertama di Malaysia adalah sama justeru itu, hasilnya adalah sama. Saat berlakunya kelonggaran pergerakan di PKP kedua dan ketiga, saat itu Malaysia sudah melalui cetusan kluster lain dan kelonggaran ini tidak seharusnya dipandang remeh.
Pergolakan Politik Mencetuskan Bencana Pada Rakyat Sendiri
Berbanding dengan Wuhan dan ketika PKP pertama di Malaysia. Semua faktor politik diketepikan. Sama ada pembangkang atau pemerintah, mereka bersetuju untuk melupakan politik buat seketika sehingga akhirnya Malaysia mula berjaya melandaikan lengkungan jangkitan. Ini tidak berlaku di PKP seterusnya.
Keletihan Itu Bukan Ciptaan Tetapi Benar Berlaku
Rakyat mula letih. Ini adalah benar. Tempoh kawalan yang panjang namun tidak sistematik membuatkan rakyat mula letih apa lagi barisan hadapan. Keletihan ini membuatkan meningkatnya kadar jenayaah dan putus asa di kalangan rakyat sendiri. Banyak perniagaan tidak dapat bertahan membuatkan kadar pengangguran dan perniagaan gulung tikar meningkat. Hal ini berbeza dengan PKP yang pertama dahulu. Ini kerana itulah saat di mana rakyat sanggup bersatu hati dengan pemerintah dan barisan hadapan. Kali ini, mereka mula bosan dan pelbagai andaian mula tercetus atas dasar tidak percaya ini. Kesudahannya masih jauh, namun keletihan rakyat tidak seharusnya dipandang remeh. Keletihan ini akan membuatkan ramai yang memilih untuk melanggar SOP dari terus patuh dan mengorbankan keselamatan diri, keluarga dan juga orang lain. Keletihan membuatkan mereka tidak lagi mempunyai empati pada diri apa lagi orang lain?
APA LAGI YANG HARUS KITA LAKUKAN?
Pasti umum mengetahui saya pernah melalui wabak ini dan ia memberi kesan mendalam pada diri dan keluarga saya. Ketika itu, tidak pernah terlintas di fikiran saya bahawa ada di antara ahli keluarga terdekat kami menjadi pembawa yang menjangkiti kami dan seterusnya mengorbankan ibu mertua saya sendiri. Memang benar bahawa kita tidak akan tahu siapa yang telah dijangkiti walaupun melibatkan keluarga sendiri. Wabak ini bukan semudah ABC hingga kita mampu mengesan jangkitan antara kita semudah mengesan tandanya di dahi.
Tidak ada tanda mudah untuk mengesan, tidak ada amaran jelas malah di sesetengah situasi, tiada simptom pembawa membuatkan kita sebenarnya terdedah dan berisiko dijangkiti tanpa amaran jelas. Yang terbaik adalah, semua orang perlu mengikut SOP untuk melindungi diri dan ahli keluarga. Kurangkan aktiviti sosial, pakai pelitup muka dan jaga jarak antara kita. Walaupun semua pasti sudah muak dan penat dengan peringatan ini namun hakikatnya, kita perlu sentiasa berjaga-jaga, sesuai dengan laungan KITA JAGA KITA yang satu ketika dulu menjadi kebanggaan kita semua.
Sebenarnya, kita boleh menyenaraikan pelbagai kesilapan dan menyandarkannya pada sesiapa yang kita mahu. Malah pastinya rata-rata masyarakat dunia pun cemburu pada kejayaan China dan Malaysia yang satu ketika dulu berjaya mengawalnya.
Walaupun begitu, rakyat Malaysia sudah penat dan ini juga diakui oleh KKM sendiri. Namun sebenarnya, konsep KITA JAGA KITA yang kita laungkan itu sebenarnya sudah cukup menjadi perisai dalam menangani wabak ini. KITA JAGA KITA sudah lama diterapkan oleh China dan kita sudah berjaya pada awalnya.
Sekarang, seharusnya kita berbalik pada kejayaan dulu dan percaya bahawa kitalah yang menjaga diri kita dan kita juga yang mengubahnya sama ada mahu wabak ini terus ada di sekeliling kita atau pupus buat selama-lamanya. Disiplinkan diri dan ahli keluarga dengan norma baharu dan fokuskan pada pencegahan dari merawat. Ambil strategi yang benar-benar berkesan bukan dari negara China sahaja tetapi dari negara lain yang juga telah berjaya mengawal wabak ini.
Saya zahirkan penghargaan dan rasa penuh simpati saya pada para pejuang barisan hadapan yang dari bermulanya gelombang pertama hingga kini, tidak putus-putus berusaha memastikan keselamatan rakyat kembali terjamin. Doa saya sentiasa mengiringi perjuangan mereka agar mereka sentiasa kuat dan bertahan. Kita semua perlu bersatu bersama mereka dan berganding bahu kembali melandaikan kembali lengkungan jangkitan Covid-19.
Kita mampu mengubahnya.
DATUK WIRA DR AZIZAN OSMAN
Business, Marketing & Leadership MenThor
Perhatian buat PKS, peniaga, usahawan dan sesiapa sahaja yang berniaga:-
Buat para usahawan dan peniaga, kami di RichWorks International sebagai sebuah organisasi swasta yang terlibat dengan program latihan dan bimbingan usahawan sejak 2008 amat komited memberikan sokongan kepada anda PKS, usahawan dan peniaga yang terkesan dengan PKP serta pandemik ini sejak ia mula dilaksanakan pada 18 Mac 2020.
Sejak pandemik bermula, kami sedikit sebanyak dapat memberikan latihan segera secara “virtual” dan Percuma kepada lebih 400,000 orang peserta yang hadir untuk belajar bagaimana untuk perniagaan mereka menghadapi situasi mencabar kesan dari pandemik ini. Impaknya ialah ramai yang berjaya memperkuatkan perniagaan dan pemasaran mereka secara dalam talian dan menggunakan media sosial sebagai strategi utama di dalam memasarkan produk dan perkhidmatan mereka.
Kami percaya ramai usahawan dan PKS masih tidak menggunakan media sosial dan pemasaran zero kos secara agresif sedangkan kadar penggunaan internet dan media sosial rakyat Malaysia meningkat secara mendadak sejak 2020 lagi.
Kami harap kami dapat bantu lebih ramai peniaga, usahawan dan PKS untuk melalui cabaran getir kali ini dengan sesi bimbingan dan seminar virtual yang sedang kami berikan tanpa sebarang bayaran sekarang sebagai salah satu cara kami memberikan sokongan kepada anda. Anda boleh layari BinaBisnesBerjaya.com untuk sertai segera sesi bimbingan bersama kami.
Usahawan dan PKS merupakan kekuatan penting kepada ekonomi negara kita dan saya benar-benar berharap kerajaan akan berikan sokongan dan suntikan dana bagi menyelamatkan peniaga, usahawan dan PKS untuk “survive” PKP 3.0 selain membantu rakyat Malaysia secara menyeluruh.