Hari Raya Korban atau Aidiladha ini merupakan perayaan bagi semua kaum Muslimin di tempat masing-masing, sama ada mereka yang pergi menunaikan haji atau tidak. Kita semua layak mendapat keampunan dosa dan terlepas daripada azab api neraka pada hari Arafah.
Sesungguhnya ibadah Haji tidak diwajibkan kepada semua orang Islam setiap tahun sebagai keringanan terhadap hamba-hamba-Nya. Haji ialah fardu kifayah ke atas seluruh kaum muslimin pada setiap tahun.
Apabila selesai melakukan ibadat di Arafah, maka terlepaslah orang-orang beriman itu daripada azab api neraka dan selepas itu semua umat Islam menyambut hari raya.
Disyaratkan ke atas umat Islam untuk melakukan penyembelihan iatu dengan menumpahkan darah mana-mana binatang yang dibenarkan untuk dikorbankan.
Selain itu, kita akan berkumpul untuk melakukan zikir, takbir dan solat sunat hari raya. Mikhnaf bin Sulaim, Beliau dalam kalangan sahabat, meraikan Hari Raya Aidilfitri seperti melakukan Umrah, meraikan Hari Raya Aidiladha seperti melakukan Haji.
Selepas itu mereka melakukan korban sebagai mensyukuri segala nikmat yang diberikan. Solat dan korban pada Aidiladha adalah lebih mulia daripada solat dan sedekah pada Hari Raya Aidilfitri. Untuk ini, Rasulullah SAW disuruh melakukan solat dan penyembelihan selepas diberikan al-Kautsar, dan dikatakan,
قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّـهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Maksudnya: ”Katakanlah sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, matiku hanya untuk pencipta sekalian alam.”
(Surah Al-An’am :162)
Oleh itu, kita disuruh untuk membaca ayat ini ketika melakukan penyembelihan korban. Korban merupakan sunnah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad SAW.
Sesungguhnya Allah mensyariatkan ke atas Nabi Ibrahim ketika Allah menebus anak Nabi Ibrahim dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dalam hadis riwayat Zaid bin Arqam, dikatakan kepada Rasulullah SAW:
قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا هَذِهِ الْأَضَاحِيُّ قَالَ سُنَّةُ أَبِيكُمْ إِبْرَاهِيمَ قَالُوا مَا لَنَا مِنْهَا قَالَ بِكُلِّ شَعْرَةٍ حَسَنَةٌ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ فَالصُّوفُ قَالَ بِكُلِّ شَعْرَةٍ مِنْ الصُّوفِ حَسَنَةٌ
Maksudnya: ”Apa itu korban?.” Baginda bersabda, ”Ia sunnah bapa kamu, iaitu Nabi Ibrahim,” Beliau bertanya lagi, ”Apakah padanya kebaikan kepada kami wahai Rasulullah ?” Baginda bersabda,”Setiap helai rambut adalah pahala.” Katanya lagi, ”Bagaimana pula dengan bulunya?” Baginda bersabda, ”Setiap helaian rambut daripada bulunya ialah pahala.”
Riwayat Imam Ahmad (19283), al-Baihaqi (19489) di dalam Sunan al-Kubra,Ibnu Majah (3217)
Ini adalah hari raya yang diraikan oleh seluruh umat Islam di dunia ini selepas menyempurnakan perintah Allah SWT. Juga sebagai pemberian daripada apa yang telah dijanjikan oleh Allah dalam bentuk ganjaran serta pahala.
Apa Ada Pada Raya Korban?
Ingatlah, hari raya korban ini bukan untuk kita memakai pakaian baharu saja tetapi bagi mereka yang bertambahnya ketaatan dalam menyempurnakan suruhan Tuhan.
Hari raya korban ini bukan untuk menunjuk pakaian yang cantik dan kenderaan yang mewah tetapi hari yang diampunkan segala dosa. Pada hari malam raya, diagihkannya tanda kebebasan dan pengampunan ke atas hamba.
Lihatlah di luar sana, ramai terkesan dalam tempoh pandemik ini. Bahkan terdapat ramai saudara Islam kita hidup dalam pergolakan, suasana perang, ditimpa bencana serta kemiskinan.
Mereka tidak dapat merasai nikmat seperti kita di negara ini. Sebab itu, kita perlu banyak bersyukur atas segala nikmat pemberian Allah SWT. Hayati makna kesyukuran di samping kita perlu sanggup berkorban untuk orang lain.
Seorang itu dimuliakan bukan kerana apa yang dimilikinya, tetapi pengorbanan memberi manfaat kepada orang lain. Pengorbanan adalah sifat yang menjelaskan kesanggupan, keberanian dan kesediaan seseorang tanpa sebarang paksaan.
Pengorbanan yang dilakukan bukan untuk meraih pujian manusia, tetapi demi mendapat pengiktirafan di sisi Allah SWT. Kepada yang melakukan ibadah korban, moga ianya akan mendapat keberkatan dan ganjaran berlipat kali ganda daripada Allah SWT.
Lihat keluarga, jiran-jiran di sekeliling anda, bantu apa yang mampu ketika tempoh mencabar ini. Marilah sama-sama, kita jaga kita dan kita mesti menang melawan virus C0vid-19.